Selasa, 14 Ogos 2018 | 10:46am
VS Naipaul. - Foto AFP

Pengarang VS Naipul 'tutup buku' kontroversi hina Islam

KHALAYAK Malaysia mungkin lebih mengenali novelis India Salman Rushdie dan penulis Bangladesh, Taslima Nasrin yang kini masing-masing menetap di Britain serta Amerika Syarikat (AS) sekiranya menyentuh kontroversi menghina Islam dalam dunia sastera.

Rushdie mencatat nama sebagai musuh terbesar umat Islam apabila menghasilkan novel The Satanic Verses yang menghina Nabi Muhammad SAW, manakala Nasrin pula menulis novel Lajja yang mengisahkan keluarga Hindu diserang oleh orang Islam, selain mengeluarkan kenyataan ofensif termasuk menghapuskan undang-undang syariah.

Bagaimanapun sasterawan yang tidak kurang kontroversi ialah Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2001, VS Naipaul yang meninggal dunia, Sabtu lalu.

Naipaul yang dilahirkan di Trinidad selepas keluarga berhijrah dari Uttar Pradesh, India itu, mencipta nama melalui novel A House for Mr Biswas yang diinspirasi daripada kisah hidup ayahnya dengan menggunakan kerangka pascakolonial.

Novel In A Free State pula menempatkan Naipaul sebagai pengarang hebat apabila mencatat nama sebagai pemenang Hadiah Man Booker, iaitu anugerah berprestij sastera berbahasa Inggeris.

Pada 2004, Naipaul mencetuskan kontroversi dengan menyokong tindakan pelampau Hindu yang meruntuhkan Masjid Babri, India pada 1992, sekali gus menyebabkan luka lama berdarah kembali.

Anehnya tiga tahun sebelum itu, pengarang berkenaan membangkitkan protes intelektual Muslim apabila menyamakan pengaruh Islam dengan kesan kolonialisme Barat.

Serang Islam

Naipaul pada acara baca bukunya, Half a Life di London, menyerang Islam dengan menuduh agama ini memperhambakan dan cuba menghapuskan kebudayaan orang lain khususnya mereka yang memeluk Islam.

“Memeluk Islam bermakna anda perlu menghapuskan masa silam dan sejarah anda. Anda perlu memijaknya dan berkata: ‘kebudayaan nenek moyang saya tidak wujud.’

“Apa yang dipanggil sebagai penghapusan diri yang dituntut oleh orang Islam lebih buruk daripada penghapusan identiti oleh kuasa penjajah kolonial,” katanya seperti yang dipetik dalam The Guardian.

Dengan menjadikan Pakistan sebagai contoh, Naipaul berkata, kisah negara itu sebenarnya ialah cerita keganasan yang bermula dengan seorang penyair yang menganggap umat Islam sudah mengalami evolusi tertinggi hingga memerlukan tanah yang istimewa untuk mereka.

Dapat bantahan

Serangan terhadap Islam itu bukan saja mendapat reaksi balas daripada intelektual, pengarang dan wartawan dari dunia Islam, bahkan jemputan Naipaul ke Parlimen Penulis Eropah di Istanbul pada 2001 mendapat bantahan pengarang Turki.

Antara yang membantah ialah penyair dan ahli falsafah Turki, Hilmi Yavuz yang menganggap jemputan itu sebagai bersikap tidak hormat kerana Naipaul pernah menghina Islam sebelumnya.

Bagaimanapun kontroversi Naipaul bukan hanya dalam konteks agama Islam, bahkan pengarang itu turut menghina masyarakat Afrika yang dianggap primitif dan tidak bertamadun, malah tanah kelahirannya, Trinidad serta negara moyangnya, India tidak terlepas daripada sasaran.

Tidak hairanlah Naipaul dikritik hebat oleh sasterawan Nigeria, Chinua Achebe yang disifatkan sebagai ‘pembaik pulih mitos bangsa kulit putih’, manakala pengkritik dari India, HB Singh melabelkannya ‘pak turut neokolonialisme yang tercela.’

Malah, pengarang wanita juga tidak terlepas daripada sasaran kritikan Naipaul yang menganggap golongan itu sentimental dan memandang dunia secara sempit.

Kontroversi yang dicipta oleh Naipaul itu sebenar menyebabkan sebahagiannya karyanya ‘terhalang’ daripada sampai kepada pembaca seperti juga novel Rushdie (selain The Satanic Verses) dipandang curiga. Penulis sendiri ketika membaca buku kumpulan esei Rushdie, Imaginary Homelands: Essays and Criticism 1981-1991 dan novelnya yang memenangi Hadiah Man Booker pada 1981 serta The Best of the Booker (2008), Midnight’s Children pernah diberikan nasihat supaya berhati-hati membacanya.

Bagaimanapun melihatkan terlalu banyak kontroversi yang tidak hanya dalam konteks Islam, barangkali pandangan yang memandang rendah dan mempersendakan kelompok lain memang sebati dalam dirinya hingga menggerakkan karyanya.

Karyanya akan sentiasa diterima dengan perasaan berbelah bahagi oleh pembaca dan pengarang tetapi sekurang-kurangnya akan dibaca tanpa sebarang kemarahan yang baru dijentik oleh Naipaul apabila ‘buku hidupnya’ yang penuh kontroversi ditutup dengan noktah kematian.

Berita Harian X