Selasa, 7 Ogos 2018 | 7:06pm
DR Farouk Yahya. - Foto NSTP

Semangat jahat, makhluk halus dalam perubatan Melayu

KUALA LUMPUR: Konsep keimanan kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan manusia memohon pertolongan daripada-Nya memang dipegang dalam perubatan Melayu, tetapi ia tetap mempunyai konsep dunia ini dipenuhi dengan pelbagai jenis makhluk dan kuasa baik serta jahat.

Konsep baik dan jahat itu dapat dilihat dalam kepercayaan wujudnya semangat jahat, makhluk seperti jin dan hantu yang boleh menjejaskan kehidupan manusia, termasuk kesihatan.

Penyelidik Pascasiswazah, Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS), Universiti London, Dr Farouk Yahya, berkata antara hantu yang wujud dalam kepercayaan Melayu ialah langsuir, selain kepercayaan pada konsep semangat dan badi.

“Dalam perubatan Melayu tradisional, ada penyakit ‘biasa’, iaitu seperti sakit perut, demam atau masalah pernafasan yang selalunya dirawat dengan ramuan herba dan urutan, selain amalan berpantang daripada mengambil sesetengah jenis makanan.

“Namun penyakit dalam kategori ‘biasa’ ini mampu menjadi ‘luar biasa’ apabila semua rawatan yang diberikan gagal,” katanya dalam Siri Wacana Medicine and Malay Manuscripts di Muzium Kesenian Islam di sini.

Keadaan itu tegas Farouk, dikaitkan dengan peranan makhluk ghaib apabila seseorang yang lemah semangat dikatakan mudah diserang oleh makhluk berkenaan.

Dipulihkan dengan ayat al-Quran

“Orang yang lemah semangat dipulihkan dengan ayat al-Quran. Walaupun orang kebanyakan mungkin tahu jampi atau petikan doa daripada al-Quran, ada golongan ‘profesional’ yang boleh menangani masalah ini, iaitu bomoh, dukun atau pawang.

“Golongan ulama juga tidak kurang dijadikan rujukan untuk memulihkan penyakit,” katanya.

Farouk berkata, mereka ini juga merujuk manuskrip perubatan Melayu lama dalam amalan mereka, malah turut menyimpannya. Misalnya, bomoh dari Kelantan yang terkenal, Allahyarham Nik Abdul Rahman Nik Dir diketahui mempunyai koleksi manuskrip ubat-ubatan Melayu dan amalan perbomohan yang diwarisi daripada datuknya.

“Manuskrip Melayu terlalu banyak dan merentas pelbagai genre. Namun umumnya, ia mempunyai satu persamaan, iaitu ditulis dalam tulisan Jawi.

“Manuskrip ini bukan sahaja mengandungi sistem kepercayaan Melayu, bahkan merekodkan perubatan tradisional yang dikenali sebagai kitab tib yang menggunakan kalimah bahasa Arab. Al-Tibb bermaksud kaedah untuk merawat dan memahami penyakit,” katanya.

Tegas Farouk, kebanyakan amalan perubatan yang ditulis dalam kitab tib sebenarnya adalah dalam bentuk ramuan untuk menyediakan ubat, manakala ubat-ubatan pula ialah herba, tetapi ada juga dicampur dengan ramuan lain misalnya, telur ayam atau mineral seperti sulfur, selain penyediaannya juga kadangkala disertakan dengan jampi serapah.

“Ada beberapa amalan perubatan dalam kalangan orang Melayu hari ini sebenarnya sudah berusia ratusan tahun, misalnya penyakit meroyan antara yang disebut ialah meroyan angin.

“Untuk menyembuhkan meroyan angin, antara ramuannya ialah akar gelenggang gajah, akar lalang, akar rukam dan akar balan yang ditumbuk sebelum dibungkus dalam kain putih serta dihangatkan sebelum diletakkan pada kepala pesakit.

“Meroyan angin ini dalam istilah perubatan Melayu lama dirujuk sebagai sakit di dalam otak kepala,” katanya.

Beliau berkata, antara amalan yang kekal hingga kini ialah penggunaan pilis untuk orang dalam pantang.

Kitab tib

“Kaedah rawatan yang menggunakan kata-kata azimat juga kekal dalam amalan perubatan Melayu seperti minum daripada mangkuk ditulis ayat yang dipetik dari al-Quran,” katanya.

Tegas Farouk, secara umumnya kitab tib jarang menggambarkan ubat-ubatan dan herba-herba yang digunakan atau rupa bentuk penyakit itu secara visual.

Bagaimanapun katanya, ada sejenis penyakit, iaitu puru yang digambarkan secara visual dalam kitab tib, iaitu penyakit kulit yang berjangkit disebabkan bakteria.

“Dalam kitab tib, ilustrasi menggambarkan pelbagai bentuk puru yang ada pada tubuh manusia.

“Setiap bentuk puru itu diberikan nama, tahap atau usianya dan kadang-kadang di mana ia muncul pada tubuh manusia.

“Sebagai contoh, apabila puru mencecah usia 15 hari, bentuknya kelihatan seperti buaya. Dalam kitab tib, ia dirujuk sebagai Buaya Laut,” katanya.

Berita Harian X