Selasa, 31 Julai 2018 | 11:21pm

Tanah ini bumi Melayu

ISU yang sedang hangat dibincangkan akhir-akhir ini terpusat pada satu dakwaan nakal, iaitu oleh kerana agama Hindu sudah bertapak 2,500 tahun di bumi Melayu, maka orang India tidak boleh dikategorikan sebagai kaum pendatang.

Jika benar frasa di atas wujud seperti didakwa, maka izinkan saya melontarkan pertanyaan mudah seperti berikut.

Pertama, bumi ini adalah Melayu, dikenali sebagai Tanah Melayu. Jika benar orang India menduduki Tanah Melayu, mengapa bumi ini tidak pernah menjadi India?

Sedarlah, bangsa India duduknya di India, bangsa Cina duduknya di China. Orang India yang menjadi warga Malaysia bukanlah lagi bangsa India begitu juga orang Cina dan lain-lain bangsa.

Mereka sewajarnya menerima asimilasi jati diri bangsa Malaysia, menjadi bangsa Malaysia dan wajib menerima prinsip perlembagaan Malaysia.

Ketahuilah bahawa Bangsa Melayu itu mula wujud secara terbuka apabila bangsa asal rakyat Raja Melayu (orang Melayu dan pribumi) bersetuju menerima kaum pendatang sebagai warga Tanah Melayu melalui kuat kuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 21 Januari 1948.

Ketahuilah, pada hakikatnya setiap warga Malaysia adalah bangsa Malaysia. Setiap warga Malaysia wajib menjunjung jati diri bangsa yang termaktub prinsip perlembagaan negara, iaitu:

a. Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri

b. Setia kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu

c. Berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi

d. Mengamalkan nilai-nilai murni adat Melayu, adat anak negeri Sarawak dan adat anak negeri Sabah (bergantung di mana mereka tinggal)

e. Menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi lain serta kepentingan sah kaum-kaum lain yang menjadi warga Malaysia

f. Mengamalkan hidup beragama dan kepercayaan bertuhan

Bukti sejarah kuno

Kedua, bumi (Semenanjung Tanah Melayu) ini adalah Melayu yang berada di Alam Melayu. Alam Melayu terdiri daripada 15 koloni semasa zaman keagungan Kerajaan Melayu Sriwijaya, malah sudah wujud Laut Melayu sebelum Kesultanan Melayu Melaka.

Adanya orang Melayu di sini kerana tanahnya Melayu, kerajaannya Melayu dan ciri-ciri Melayu adalah identiti watan tanah air ini.

Sejarah manakah yang menafikan bumi ini Melayu? Bukankah dalam Ramayana dan Vayu Purana, tulisan Hindi kuno pada abad 3 Sebelum Masihi juga merujuk bumi ini Melayadvipa (Semenanjung Emas)?

Begitu juga halnya rekod Ptolemi sebagai Maleu-Kolon dan sumber Cina sebagai Ma-La-Yu.

Ketiga, Lembah Bujang bukanlah sebuah kerajaan hindu, candi-candi yang ditemui adalah tempat ibadat berupa persinggahan pedagang beragama hindu yang singgah sebelum tiba monsun untuk mereka pulang.

Adakah wujudnya sejumlah penganut Hindu itu menjadikan bumi ini India atau milik semua orang India?

Taat prinsip perlembagaan

Insaflah, Bangsa Malaysia terbentuk kerana Tanah Melayu bersekutu dengan Sabah dan Sarawak. Bahkan Sabah dan Sarawak dahulu pun di bawah Empayar Melayu, kemudiannya buat beberapa ketika mereka berkembang hingga berbeza identiti selepas tidak lagi berada di bawah kedaulatan Raja Melayu.

Apabila Perjanjian Malaysia ditandatangani, mereka kembali di bawah kedaulatan Raja Melayu.

Perlu ditegaskan, bangsa Malaysia itu adalah sesiapa yang menjadi warga secara sah dan wajib taat setia kepada prinsip perlembagaan negara.

Perlu juga dinyatakan bahawa Islam juga agama Nabi Adam AS. Nabi Muhammad SAW membawa syariat akhir zaman dan nabi terakhir yang diutuskan kepada alam ini.

Adalah tidak betul menganggap bahawa agama Hindu itu lebih awal wujud daripada agama Islam.

Akhirnya, ketahuilah bahawa wujudnya Malaysia tidak pernah menafikan jati diri watan bumi ini, termasuklah kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi.

Kedudukan itu bukanlah satu ciptaan yang dirunding antara kaum, tetapi warisan watan yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sedarlah bahawa bangsa asal itu adalah rakyat Raja Melayu sebelum wujud istilah bangsa. Setelah kita semua bernaung sebagai warga Malaysia, hormatilah prinsip undang-undang negara kerana di situlah terletaknya kedaulatan undang-undang.

Justeru, sedarlah bahawa Melayu dan orang Melayu bukan pendatang. Inilah bumi Melayu, inilah bumi Malaysia. Sesungguhnya Malaysia masih berada di Alam Melayu.

Janganlah sekali-kali menafikan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal tanah air ini. Pelbagai kaum yang diterima sebagai warga Malaysia, wajib menjunjung prinsip perlembagaan negara dengan hati terbuka dan taat.

Penulis adalah pemegang PhD Undang-Undang Perlembagaan (Konsep Kedaulatan Raja-Raja Melayu) UKM & Penasihat Gabungan MI'RAJ

Berita Harian X