Isnin, 4 Jun 2018 | 8:55am
PAMERAN Visual Dialects: Cultural Ties That Bind mengetengahkan 98 karya oleh 43 seniman di Galeri Petronas, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
PAMERAN Visual Dialects: Cultural Ties That Bind mengetengahkan 98 karya oleh 43 seniman di Galeri Petronas, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Abadi kemajmukan, identiti kedaerahan dalam seni visual

KUALA LUMPUR: Pameran Visual Dialects: Cultural Ties That Bind yang kini berlangsung di Galeri Petronas menonjolkan kemajmukan identiti kedaerahan rakyat negara ini sebagai tarikan utama melalui seni visual.

Ketua Pengurusan Seni Galeri Petronas, Ratna Siti Akbari, berkata 'gemaan' artistik itu meskipun tebal dengan identiti kedaerahan senimannya, ia menghimpunkan karya yang dapat membangkitkan kesamaan dan keserasian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

Ratna Siti berkongsi bagaimana karya oleh Chang Fee Ming, iaitu antara 98 karya oleh 43 seniman dalam pameran itu, membawa beliau kembali kepada kenangan zaman kanak-kanak sewaktu menghadiri Pesta Cingge.

"Saya berasal dari Terengganu tetapi melihat kepala singa yang ditampilkan Fee Ming dalam karyanya menimbulkan perhubungan emosi kepada saya dengan Pulau Pinang ketika menghadiri pesta tradisi masyarakat Cina di negeri itu.

"Kemajmukan budaya masyarakat di negara ini memperkayakan Malaysia, justeru penampilan identiti kedaerahan yang berbeza," katanya ketika ditemui BH di Galeri Petronas, di sini.

Tegas Ratna Siti, hal ini diharapkan bukan saja akan dapat memberi hubungan emosi, malah membolehkan kita saling faham-memahami dan hormat-menghormati.

"Aspek nilai ini perlu ada dalam jiwa masyarakat yang berbudaya tinggi. Jiwa mesti halus tetapi besar walaupun warna kulit, ras dan bahasa kita berbeza, sekali gus inilah yang mahu dicapai melalui pameran ini," katanya

Sastera dalam lukisan

Menariknya kesusasteraan turut diberi peranan dalam pameran ini apabila enam sajak oleh penyair besar negara dipilih mengiringi pameran ini.

Meskipun kebanyakan karya yang dipamerkan memaparkan 'dialek' dan isu kedaerahan yang berbeza, ia turut menarik perhatian apabila berpeluang melihat kreativiti seniman ini dalam mengekspresikan diri mereka ketika membicarakan perkara sama.

Pelukis daripada dua generasi, Dr Siti Zainon Ismail dan Teoh Joo Ngee misalnya, membicarakan mengenai perihal masyarakat Orang Asli Mahmeri yang terpinggir dalam arus kemodenan hari ini.

Di tangan Joo Ngee, naskhahnya kuat dengan bauan kontemporari tetapi Siti Zainon pula menangkap emosi apabila turut menyelitkan puisi daripada tulisan Jawi lama bagi berkongsi perasaannya mengenai masyarakat orang asli itu.

Sementara itu, Kurator Pameran, Sarah NH Vogeler melihat karya pelukis Borneo, Dr Zaimie Sahibil yang mengetengahkan gunung sebagai 'bintang utamanya' menonjolkan ciri kerohanian yang sangat ketara.

"Beliau mengutip kembali maksud gunung dalam al-Quran yang berperanan sebagai pasak bumi, bagi memberi kestabilan dan pada masa sama menampilkan penghayatan terhadap falsafah timur dan falsafah estetika Melayu," katanya.

Simbol Bajau Laut

Zaimie katanya, turut mengabadikan peranan gunung bukan saja sebagai satu simbol kegagahan malah peranan pentingnya terhadap masyarakat Bajau Laut.

"Sebagai sebahagian etnik yang sudah begitu mesra dengan laut, gunung sering dijadikan sebagai pemandu arah atau kompas supaya mudah mereka mengetahui di mana mereka berada," katanya.

Secara keseluruhannya menurut Sarah, pemilihan karya dan seniman ini dilakukan bagi melihat bagaimana karya seni daripada pelbagai aspek budaya dapat diikat dengan elemen sepunya seperti sejarah dan tradisi.

"Kebanyakan karya ini menjadi dokumentasi sejarah secara visual. Dalam masa sama, ekspresi seniman ini diluahkan diatas kanvas dengan membawa pesanan berharga, meskipun kemodenan ada masanya merubah sesuatu tetapi sejarah dan tradisi akan terus kekal hingga akhir masa," katanya.

Berita Harian X