Selasa, 22 Mei 2018 | 3:14pm
PELUKIS, Ainun Jariah Yaacob memberi penerangan kepada Ahmad Zakie (dua dari kiri) dan Raja Zahabuddin (kiri) di Pameran Seni Khat Islam Kontemporari di Galeri Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
PELUKIS, Ainun Jariah Yaacob memberi penerangan kepada Ahmad Zakie (dua dari kiri) dan Raja Zahabuddin (kiri) di Pameran Seni Khat Islam Kontemporari di Galeri Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

GSA pamer 72 karya seni khat 8 pelukis

SHAH ALAM: Lapan pelukis seni khat atau kaligrafi moden tanah air bergabung mempamerkan karya kaligrafi Islam menerusi Pameran Seni Khat Kontemporari At Tayyibah yang berlangsung di Galeri Shah Alam (GSA) di sini, sehingga 22 Jun ini.

Ahli Lembaga Yayasan Seni Selangor, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob, berkata pameran seni khat yang bermula dari 15 Mei lalu, julung kalinya dianjurkan oleh galeri berkenaan sejak pembukaannya kira-kira 25 tahun lalu.

"Sebelum ini ada juga penyertaan daripada pelukis seni khat tetapi dipamerkan bersama karya pelukis moden pada pameran terbuka dan ini kali pertama GSA menganjurkan pameran seni khat sepenuhnya.

"Pada pameran kali ini peminat seni lukisan akan disajikan dengan 72 karya yang dihasilkan oleh pelukis dari Tajdid Islamic Arts Group.

"Pelukis yang terbabit ialah Ismail Md Zain, Abd Ghafur Thohir, Ariff Ashaari, Sharinah Md Noor, Fadil Sulaiman, Ahmad Rajaei Awang, Ainun Jariah Yaacob dan Ahmad Dhia Abd Ghafur," katanya pada Majlis Perasmian Pameran Seni Khat Kontemporari di sini.

Pameran itu dirasmikan Pengarah Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Zakie Ahmad Shariff.

Raja Zahabuddin berkata, seni kaligrafi Islam adalah khazanah tertua dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam, kini diadaptasi dengan karya yang lebih moden tanpa menghilangkan ciri dan nilai keislamannya.

Sementara itu, Ismail berkata, seni khat asalnya seni yang lama tetapi dipersembahkan secara kontemporari agar bersesuaian dengan keadaan semasa dan kehendak peminat seni.

"Pelukis khat asasnya perlu pandai menulis dan faham bahasa jawi malahan kini lebih mudah untuk hasilkan seni kaligrafi kerana terdapat pelbagai jenis alatan yang boleh digunakan. Bagaimanapun, ciri tradisional perlu dikekalkan.

"At Tayyibah bermaksud 'kalimah yang baik' dan diharapkan menerusi pameran ini, melalui kata-kata yang baik serta kalimah suci yang dipersembahkan dapat dihayati serta difahami maksudnya," katanya.

Beliau berkata, minat menghasilkan kerja seni khat juga lahir daripada rasa tanggungjawab menyebarkan kalimah yang baik untuk dihayati serta diingati.

Menurutnya lagi, beliau mensasarkan peminat seni khat daripada pelbagai lapisan dan peringkat usia akan hadir untuk menghayati karya seni khat berkenaan.

Ismail yang pernah bekerja sebagai pelukis grafik berkata, minat mendalam terhadap seni lukis mendorongnya untuk meneroka bidang seni baharu iaitu lukisan kaligrafi digital.

Berita Harian X