Rabu, 25 April 2018 | 4:26pm
Pengarang Palestin, Ibrahim Nasrallah (kanan) bersalaman dengan Pengerusi Pelancongan Abu Dhabi, Mohamed Khalifa Al-Mubarak selepas novelnya, The Second War of the Dog memenangi IPAF. - Foto AFP
Pengarang Palestin, Ibrahim Nasrallah (kanan) bersalaman dengan Pengerusi Pelancongan Abu Dhabi, Mohamed Khalifa Al-Mubarak selepas novelnya, The Second War of the Dog memenangi IPAF. - Foto AFP

Novelis Palestin menang hadiah sastera terkemuka Arab

ABU DHABI: Pengarang Palestin, Ibrahim Nasrallah meraih hadiah fiksyen terkemuka dunia Arab melalui novelnya, The Second War of the Dog, iaitu kisah distopia yang tidak berperikemanusiaan.

Karya Ibrahim memenangi Hadiah Antarabangsa Fiksyen Arab (IPAF) yang bergabung dengan Hadiah Man Booker dalam majlis penganugerahan yang dianjurkan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berlatarkan negara tanpa nama yang dilanda keganasan, The Second War of the Dog menyelongkar moral dan kerakusan material manusia melalui kehidupan watak utamanya, Rashid yang berubah daripada penentang regim berkepala batu menjadi pelampau yang korup.

"Novel ini bertujuan untuk menggegarkan pembaca, memusnahkan pemahamannya terhadap dunia dan menghancurkan sikap berpuas hatinya. Tidak seorang yang akan selamat sekiranya persekitaran di sekelilingnya runtuh.

"Kita ialah sasaran kepada satu bentuk penindasan oleh kuasa besar yang angkuh di dunia ini.

"Membunuh anak kita, menolak kita kepada kemiskinan dan merampas kekayaan dunia Arab juga adalah antara bentuk penindasan. Penindasan bukan hanya melakukan sesuatu seperti yang dibuat oleh kumpulan pengganas," katanya kepada AFP.

Dilahirkan daripada keluarga Palestin di Jordan pada 1954, Ibrahim pernah bertugas sebagai wartawan menjadi penulis sepenuh masa pada 2006.

IPAF menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$50,000 (RM196,000) dan dana untuk menterjemah karya ke bahasa Inggeris.

Berita Harian X