Selasa, 24 April 2018 | 6:55am
ZAEN Kasturi (kiri) bersama Ainunl Muaiyanah dan Ridzuan ketika sesi Kata Pembaca Kata Penulis bertajuk 'Diam Adalah Kata-Kata Yang Tidak Sempat Sampai Kepadamu' di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyair matang lebih menghargai kisah lalu

KUALA LUMPUR: Karya yang dilahirkan khusus untuk sayembara selalunya sarat dengan idealisme hingga kadangkala sukar untuk menemui diri pengarangnya.

Penerbit Studio Anai Anai, Azalan Hussin, berkata kesimpulan itu dibuat ketika menerbitkan kumpulan puisi terbaru Ridzuan Harun, Diam Adalah Kata-Kata Yang Tidak Sempat Sampai Kepadamu (DKTSM).

Azalan berkata, Ridzuan sebelum ini sudah menerbitkan empat kumpulan puisi dengan satu daripadanya, Negeri Kunang-Kunang memenangi hadiah pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2013.

"Berbanding Negeri Kunang-Kunang, DKTSM ialah sisi lain Ridzuan apabila keseluruhan naskhah itu mengangkat tema cinta yang lebih dekat dengan pembaca.

"Semua orang pernah melalui zaman bercinta, jadi apabila membaca DKSTM kita sebenarnya melihat diri kita," katanya pada acara Kata Pembaca Kata Penulis (K-PAP) di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di sini.

Pandangan Azalan itu diakui Ridzuan sendiri sewaktu karyanya diperkatakan oleh penerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010, Zainal Palit atau lebih dikenal sebagai Zaen Kasturi.

"Apabila bercakap soal cinta apakah yang lebih baik jika bukan diri sendiri," katanya pada sesi yang dikendalikan oleh penulis, Ainunl Muaiyanah Sulaiman.

Penulis ada jati diri

Ridzuan berkata, DKSTM dihasilkan ketika beliau usai menulis Negeri Kunang-Kunang, tetapi ia lambat diterbitkan kerana proses menyusun puisi yang mahu dimuatkan dalam naskhah itu agak sulit dan mengambil masa yang panjang.

Sementara itu, Zaen Kasturi menyifatkan Ridzuan sebagai penyair yang mempunyai identiti dan jati diri yang kuat kerana sebagai penyair, beliau tidak bersifat berlebih-lebihan, sebaliknya bijak memilih kata-kata yang sederhana dan sangat merendah diri.

"Ridzuan tidak perlu memeningkan kepalanya dengan hal yang besar. Dalam puisinya, beliau bercakap perkara yang dekat dengan dirinya dan beliau melakukannya dengan yakin dan jujur," katanya.

Tambah Zaen Kasturi, apabila penyair semakin matang dalam pengkaryaannya, mereka lebih menghargai setiap detik yang dilaluinya dan ini jelas dilihat dalam karya Ridzuan.

"DKSTM ialah puisi mengenai musim lalu Ridzuan. Melaluinya, kita melihat beliau berpusing ke belakang dan merasakan setiap detik lalu sangat berharga dan beliau merinduinya," katanya.

Kata Zaen Kasturi, meskipun DKSTM adalah kumpulan puisi yang mengangkat tema cinta, apa yang didefinisikan oleh Ridzuan bukan hanya pada hubungan sesama manusia, bahkan juga kepada Tuhan.

Karya plagiat

Pada majlis itu, Zaen turut menegur segelintir penulis atau mereka yang ingin menjadi penyair gemar menceduk bait puisi orang lain dan ditampalkan dalam karya mereka.

"Kata-kata ialah segalanya mengenai puisi. Pembaca mengenal seseorang penyair dengan susunan kata-katanya yang menjadi identiti.

"Jika penyair lain mencedok kata-kata itu, ia bukan hanya kelihatan cuba menjadi penyair yang ditiru, tetapi sebenarnya ia juga adalah plagiat," katanya.

Berita Harian X