Isnin, 22 Januari 2018 | 1:16pm

Syor urus setia Sasterawan Negara ketengah calon wibawa

KUALA LUMPUR: Penubuhan urus setia khusus sepenuh masa bagi mengetengahkan pengarang berwibawa sebagai calon Sasterawan Negara (SN) boleh mengatasi 'kerumitan' dalam isu pencalonan Anugerah Sastera Negara (ASN).

Presiden Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan, berkata beliau bersetuju terdapat pengarang berwibawa yang boleh diketengahkan sebagai calon bagi ASN tetapi proses pencalonan sedia ada dilihat sebagai agak merumitkan.

PRESIDEN Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan
PRESIDEN Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan

Beliau berkata, persatuannya sendiri pernah berhasrat hendak membuat pencalonan tetapi kerumitan mengisi data dan maklumat menyebabkan pencalonan itu tidak diteruskan.

"Saya bersetuju kita mempunyai pengarang berwibawa yang boleh dicalonkan untuk penganugerahan tertinggi itu tetapi proses pencalonan kadangkala menyukarkan kami mencalonkan pengarang terbabit.

"Sudah sampai masanya diwujudkan satu urus setia khusus yang menangani pemilihan berdasarkan perkembangan semasa serta rekod yang lebih sistematik.

"Urus setia ini juga akan mengumpul data untuk mengenalpasti mereka yang berkelayakan dan memenuhi kriteria digariskan sebelum ia disenarai pendek oleh barisan pakar," katanya kepada Sastera & Budaya BH di sini.

Sastera & Budaya BH sebelum ini melaporkan mengenai tanda tanya pengarang yang akan diangkat sebagai SN selepas kali terakhir Datuk Dr Zurinah Hassan diumumkan sebagai SN Ke-13 pada tahun 2015.

Walaupun penobatan SN itu tidak semestinya dibuat setiap tahun, berdasarkan barisan pengarang mapan yang masih hidup dan menulis dalam bahasa Melayu sekarang, isu kekontangan calon sepatutnya tidak timbul.

Ini kerana tidak keterlaluan untuk menyebut dari Sabah hingga Perlis, hampir setiap negeri sebenarnya mempunyai pengarang yang boleh dicalonkan sebagai SN.

DATUK Dr Zurinah Hassan dinobat sebagai Sasterawan Negara Ke-13. - Foto Fariz Iswadi Ismail
DATUK Dr Zurinah Hassan dinobat sebagai Sasterawan Negara Ke-13. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Jaafar berkata, kewujudan urus setia ini juga akan dapat menolak isu pencalonan bukan atas dasar keupayaan seseorang pengarang itu.

"Kita tidak mahu pencalonan dilihat dalam konteks kawan dan bukannya kewibawaan seseorang pengarang itu.

"Paling utama, kriteria pemilihan perlu ditentukan dengan tepat. Bukan setakat berkarya, malah perlu dipastikan pengarang itu mampu menyumbang dalam anjakan pemikiran dengan membina pandangan yang unik, segar dan inovasi.

"Penilaian ini juga termasuklah kepada keperibadian dan personaliti mereka," katanya.

Dua kaedah pencalonan

Sastera & Budaya BH dalam laporannya pada 22 Ogos 2016 berjudul Format Genre Terbuka Beri Peluang melaporkan pemilihan penerima ASN yang akan menggunakan format baharu berdasarkan pangkalan data penulis yang dibina Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan tiada pengarang tercicir.

LAPORAN BH pada 22 Ogos 2016.
LAPORAN BH pada 22 Ogos 2016.

Dalam laporan itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas, berkata bagi pemilihan calon ASN, urus setia menggunakan dua kaedah untuk pencalonan.

Abdul Adzi dipetik berkata, atas dasar keterbukaan, DBP menerima cadangan supaya urus setia menyediakan data dan menentukan calon yang difikirkan layak dan dalam konteks ini, urus setia akan melantik satu jawatankuasa untuk menapis calon yang dikemukakan urus setia dan pencalonan dari luar untuk dinilai oleh panel penilai.

Berita Harian X