Isnin, 20 November 2017 | 5:30pm
PROFESOR Datuk Seri Dr. Md Salleh Yaapar menyerahkan cenderamata kepada ahli panel Wacana Pemikiran Penulis Muda Wilayah Utara, Norshah Aizat Shuaib atau Shahkang.- Foto Norazura Abdul Rahman

Bahasa rojak, ejaan 'kontot' rosakkan sastera

ALOR SETAR: Setiap penulis perlu lebih bertanggungjawab terhadap karya masing-masing dengan menggunakan bahasa yang boleh memberi pendidikan, pengajaran selain berupaya menjaga adab bahasa itu sendiri.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, berkata bahasa rojak atau ejaan dikontotkan yang ditulis dalam novel, cerpen serta sebarang bentuk karya  memberi kesan yang parah terhadap bahasa Melayu dan sastera.

"Saya salah seorang pengelola dalam DBP tidak boleh menghalang penulisan sebegitu daripada dicetak syarikat penerbitan, namun sebagai insan prihatin, elaklah mengeluarkan karya sebegitu.

"Walaupun ia memudahkan untuk pembaca muda faham, namun ia tidak berfungsi sebagai bahan bacaan yang memberi ilmu bahasa sehingga hilang kemurnian bahasa sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Pemikiran Penulis Muda Wilayah Utara dan Majlis Dialog Editor di Alor Setar, semalam.

Novel tanpa suntingan

Yang turut hadir Pengarah DBP Wilayah Utara, Abdul Wahab Hamzah dan Ketua 1, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Saidin Abdullah.

Md Salleh berkata, novel yang ditulis tanpa penilaian ketat daripada penyunting mahupun penerbit akan turut menjadi penyumbang kepada berlakunya lambakan novel di pasaran.

Katanya, DBP sangat mengharapkan setiap karya yang dihasilkan penulis melalui proses penilaian yang sebaik-baiknya dan dicerna oleh pengarang dengan bantuan penyunting dan editor.

"DBP memainkan peranan untuk memastikan karya termasuk novel dapat ditulis dengan tema yang bersesuaian seiring dengan peranan kami untuk memartabatkan sastera dan bahasa Melayu.

"Diakui lebih banyak karya penulisan itu adalah lebih baik, namun kita mahu lahirkan yang berkualiti dan peningkatan penghasilannya adalah dengan cara yang lebih baik," katanya.

Md Salleh yang juga Ombudsman Universiti Sains Malaysia berharap penulis yang memuat naik karya mahupun cerpen di media sosial dapat menghantar karya mereka kepada pihak yang lebih pakar untuk dinilai.

"Fenomena memuat naik karya sastera di media sosial sedikit sebanyak memberi kesan kurang baik terutama kepada pelajar universiti yang menjadikannya sebagai rujukan gaya bahasa.

"Ada pelajar datang membandingkan apa yang saya ajar dengan yang mereka rujuk di media sosial, sedangkan karya itu mungkin ditulis tanpa penilaian.

"Jadi adalah lebih baik, cerpen itu dimurnikan dan jika ia baik, kita boleh hantar kepada DBP untuk diterbitkan," katanya.

Wacana Pemikiran Penulis Muda Wilayah Utara dan Majlis Dialog Editor dianjur DBP Wilayah Utara dengan kerjasama ASASI dan ITBM menampilkan penulis muda serta editor syarikat dan akhbar.

Wacana disertai oleh Shafiq Said yang berkongsi pengalaman dalam genre puisi; Wan Nor Azriq (novel); Shahkang (cerpen); Aina Nabila Ahmad (drama) dan Nazreen Shahul Hamid (kritikan sastera).

Berita Harian X