Jumaat, 3 November 2017 | 12:13pm
DR Mohamad Saleeh Rahamad pada sesi temuramah di Universiti Malaya. - Foto Mahzir Mat Isa
DR Mohamad Saleeh Rahamad pada sesi temuramah di Universiti Malaya. - Foto Mahzir Mat Isa

Hapuskan 'syarikat hantu' baucar buku

KUALA LUMPUR: Kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan pihak industri buku untuk menghapuskan penjual buku yang tidak sah atau 'syarikat hantu' dalam mekanisme baucar buku, dapat membaiki imej kerajaan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat mengenai ketirisan dalam penyenaraian penjual buku yang merosakkan matlamat asal pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), perlu diberi perhatian serius.

"Kemunculan senarai penjual buku yang yang tidak sah ialah jenayah perompakan yang halus oleh kapitalis tidak beretika.

"Jika dibiarkan berterusan, penjual dan penerbit buku yang sebenar, tidak akan menerima faedah sepenuhnya daripada skim baucar buku itu," katanya kepada Sastera BH di sini, hari ini.

Semalam, BH melaporkan ketirisan dalam BB1M boleh dielak dengan penambahbaikan mekanismenya termasuk menapis senarai penjual buku dan menggunakan kaedah penebusan e-wallet.

Arief Hakim berkata pada program terakhir BB1M 2016, terdapat 1,500 penjual buku yang berdaftar di Bank Simpanan Nasional (BSN), sedangkan pihaknya memaklumkan kementerian berkenaan bahawa hanya ada lebih 600 syarikat saja bernaung di bawah Dewan Industri Buku Malaysia.

Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Dasar Buku Negara, Budiman Mohd Zohdi menyarankan KPT bekerjasama dengan MABOPA untuk mengenal pasti senarai penerbit yang layak menerima BB1M bagi mengelak ketirisan BB1M seperti berlaku sebelum ini.

Saranan Budiman yang juga Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) itu susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 yang mengumumkan BB1M kepada 1.2 juta pelajar universiti dan Tingkatan Enam.

Mohamad Saleeh berkata, ketirisan itu akan menyebabkan industri buku yang sedang sakit sekarang akan bertambah tenat.

"Pihak kementerian yang terbabit hendaklah memastikan jenayah ini dihapuskan dengan cara bekerjasama dengan pihak industri buku umumnya dan MABOPA khususnya.

"Ini bukan saja akan mengurangkan derita penerbit dan penjual buku yang sah malahan akan membaiki imej kerajaan sendiri.

"Cukuplah begitu banyak ketirisan yang berlaku sehingga imej kerajaan tercalar sepanjang masa," katanya.

Berita Harian X