Rabu, 1 November 2017 | 5:03pm
NISAH Haron. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Agungkan naskhah Indonesia, usah sampai pinggir karya kita

KUALA LUMPUR: Di sebalik keupayaan sastera Malaysia melahirkan ramai sasterawan dan pengarang bagus serta naskhah hebat, ada pembaca cenderung mengagungkan karya Indonesia.

Tidak hairanlah, ada kelompok pembaca merasakan pengarang Indonesia jauh lebih baik dan mempunyai banyak karya besar berbanding sastera tanah air.

Tidak pasti apakah ukuran diguna pakai menjurus kandungan 'karya besar' atau sistem pengurusan sastera? Namun, ramai pembaca tempatan lebih mengenali karya pengarang muda seperti Aan Mansyur atau Eka Kurniawan berbanding penulis segenerasi tanah air sendiri.

Apakah hal itu meresahkan atau hanya dianggap sebagai kecenderungan biasa yang wajar disambut dengan lapang dada?

Bagi Penerima Hadiah Sasterawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2017, Nisah Haron, pembaca perlu menggali sastera tempatan sebaik mungkin sebelum melabelkan sastera kebangsaan tidak ada karya besar.

"Hanya kerana tidak tahu dan mencari serta terlalu bergantung pada sumber internet, mereka melihat sastera kebangsaan dengan pandangan yang kecil.

Jangan hanya cari di internet

"Perlu diingat bukan semua maklumat ada di internet. Sikap begini menyebabkan pengarang muda tidak berkenalan dengan naskhah sastera yang baik.

"Pengarang muda perlu mendampingi atau belajar ilmu penulisan daripada generasi pengarang terdahulu termasuk Sasterawan Negara (SN) seperti Datuk Baharudin Zainal (Baha Zain); Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Datuk Dr Zurinah Hassan, selain Dr Siti Zainon," katanya kepada Sastera BH di sini.

Tegas Nisah, menjadi pengarang bermaksud perlu banyak membaca dan pelbagaikan genre bacaan. Mulakan dengan karya SN atau penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write).

"Kadang-kadang orang terpengaruh dengan penampilan dan langsung tidak mahu mengenal karyanya. Misalnya Siti Zainon mungkin lebih menonjol dengan busana beliau tetapi karya beliau sangat kuat dan terperinci," katanya.

Penulis rujuk Indonesia

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Saifullizan Yahaya menyifatkan sastera Indonesia sudah lama dilihat sebagai 'abang besar' sejak dulu kerana dianggap memiliki jati diri hingga penulis muda mutakhir kita terus menjadi mereka semakin rujukan.

"Memang ada penulis kita cuba nafikan dan alihkan pandangan agar tidak lagi melihat sastera Indonesia sebagai rujukan tetapi kita tidak boleh nafikan mereka mempunyai tenaga luar biasa menghasilkan karya terbaik," katanya.

Saifullizan menganggap sastera Indonesia sebagai jauh lebih ke hadapan kerana pengarang di sana menjadikan sastera sebagai antara medium penting dalam perjuangan kemanusiaan bukan setakat permainan estetika.

"Bagaimanapun, itu tidak bermakna sastera kebangsaan jauh ke belakang dan tidak ada karya yang besar dan baik. Tanggapan sedemikian adalah prasangka semata-mata," katanya.

Saifullizan berkata, penulis tempatan memang sentiasa berusaha menghasilkan karya yang besar dan berselera tetapi cabarannya ialah cara menjual karya kepada pembaca tempatan serta luar negara yang terlalu lemah dan tidak ada kreativiti baharu.

"Pembaca bagi saya memang ingin membaca karya yang bagus tetapi kita tidak memperkenalkan kepada mereka dengan cara yang betul.

"Sebaliknya sastera Indonesia selalu ada cara baharu dalam menyokong karya mutakhir sehingga kesan sampai kepada pembaca kita di sini," katanya.

Berita Harian X