Rabu, 25 Oktober 2017 | 10:54am

Bajet diharap suntik semangat sasterawan

SUMBANGAN golongan sasterawan dan pengarang kreatif tanah air tidak dapat disangkal berdasarkan rakaman dan dokumentasi sejarah perjuangan memupuk semangat nasionalisme sejak sebelum kemerdekaan melalui mata pena.

Selepas 60 tahun kita menikmati kemajuan dalam pelbagai bidang, rakyat gigih bersama kerajaan membangunkan negara hingga ada mencipta nama di luar negara dan dalam hal ini, sasterawan dan pengarang tidak terkecuali menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi.

Kini, semua rakyat tidak ketinggalan golongan sasterawan dan penulis, ternanti-nanti pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal menjadi landasan perbelanjaan dan wajah aktiviti ekonomi, khususnya bagi tahun depan.

Masa depan, kebajikan

Penulis dan persatuan penulis yang mengharapkan perhatian dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50), pastinya berdebar-debar menanti pengumuman Perdana Menteri yang merangkap juga Menteri Kewangan, terutama menyentuh masa depan kesusasteraan dan kebajikan sasterawan serta pengarang.

Untuk rekod sekitar 2012, Perdana Menteri pernah memperuntukkan dana jutaan ringgit demi menyaksikan penulis kreatif bergiat dalam penulisan melalui penerbitan karya.

Ia dipertanggungjawabkan di bawah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Gerak kerja itu cukup baik dan produktif dalam menguruskan penerbitan buku mengikut amanah dipertanggungjawabkan.

Nilai hadiah dinaikkan

Pada 2016 pula, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dana RM5 juta untuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) sebagai menghargai dan mengiktiraf golongan penulis.

Sudah tiba masanya peningkatan dana wang tunai Anugerah Sastera Negara (ASN) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), dilaksanakan sempena Bajet 2018. Ia mampu menyuntik semangat kepada pengarang dan sasterawan meneruskan penciptaan karya bermutu. Alangkah baiknya kerajaan menaikkan jumlah hadiah wang tunai ASN kepada RM100,000, selain kenaikan dalam HSPM.

Kita berterima kasih komitmen kerajaan mewujudkan teks Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) dan Kesusasteraan Melayu.

Bagaimanapun, usaha memperkasakan subjek dan kelas Kesusasteraan Melayu perlu dilaksanakan di sekolah, manakala kepemimpinan sekolah diberikan inisiatif membantu kerajaan menzahirkan falsafah pendidikan kesusasteraan Melayu.

Falsafah pendidikan kesusasteraan Melayu ialah 'Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia bertujuan menjana minda dan emosi, mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa dan memupuk sikap berdaya saing ke arah pembinaan insan bestari.'

Dalam konteks kebajikan pengarang yang uzur dan hidup pada penghujung usia, mereka perlu didekati dan tidak dipinggirkan selepas zaman muda dan prolifik, menyumbang kepada dunia sastera dengan karya hebat dan mencabar pemikiran. Mereka perlu dihargai dari aspek kepengarangan dan nilai karya kerana kehebatan serta kematangan kepengarangan yang dibina penuh berliku dalam menyelongkar ilmu menerusi pembacaan dan pengalaman.

Kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memikirkan usaha mewujudkan Bahagian Kebajikan Pengarang, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan memikirkan bentuk aktiviti kebajikan untuk pengarang.

Potongan harga tambang

Ini termasuklah melaksanakan kadar potongan harga tambang untuk pengarang yang menggunakan pengangkutan awam seperti yang dinikmati oleh pesara kerajaan dan warga emas kerana sumbangan mereka sama penting dengan profesion lain.

Kita mengharapkan Perdana Menteri bakal mengumumkan sesuatu yang bermakna kepada penulis dan sasterawan yang berjasa dalam meneruskan tradisi keilmuan demi kemajuan negara.

Percayalah, kesusasteraan akan terus hidup bila-bila sehingga ia tidak boleh dipandang sepi, meskipun pengarang yang menulisnya tiada lagi di dunia ini.

Penulis adalah Penasihat Kelab Penulisan Kreatif dan Deskriptif (KREATIF), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X