Selasa, 24 Oktober 2017 | 5:41pm
Suasana Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 edisi ke-41 di Frankfurt.

Penerbit gembira pasaran buku kembali atasi e-buku

Khabar dari Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 edisi ke-41 di Frankfurt yang berakhir minggu lalu sangat positif.

Selain delegasi Malaysia yang diketuai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) berjaya melepasi sasaran nilai kontrak jualan yang ditetapkan, FBF juga membawa khabar tentang keupayaan pasaran buku fizikal mengatasi jualan e-buku.

Pada hari pertama pembukaan FBF di Messe Frankfurt, Ketua Pegawai Eksekutif, Penguin Random House, Markus Dohle dalam sidang medianya berkongsi khabar gembira tentang iklim penerbitan buku di seluruh dunia menunjukkan tanda positif.

Bagaimanapun beliau mengakui beberapa negara masih berhadapan masalah ketidakstabilan politik dan kewangan yang turut menjejaskan industri buku.

Buku fizikal kuasai pasaran

Dalam laporan harian FBF, Dohle dilaporkan berkata, pasaran buku di seluruh dunia menunjukkan perkembangan yang berterusan meskipun mengakui ia masih dalam gerakan perlahan.

"Satu daripada sebabnya adalah perkembangan semasa jualan buku fizikal yang meningkat meskipun permintaan pasaran digital masih ada.

"Jualan buku fizikal menguasai 80 peratus dan bakinya adalah buku digital. Siapa yang boleh meramal keadaan ini kerana lima tahun lalu, ramai yang beranggapan pasaran digital akan mendahului berbanding buku konvensional," katanya.

Jualan e-buku merosot

Wall Street Journal melaporkan perkembangan hampir serupa dengan jualan e-buku merosot, manakala jualan buku fizikal meningkat. Persatuan Penerbit Amerika pula dilaporkan berkata, antara tahun 2013 hingga 2016, peningkatan itu mencecah sehingga 50 peratus.

Khabar ini mewarnai FBF dengan rata-rata pemain industri buku yakin pasaran akan kembali kepada asalnya, iaitu peningkatan jualan buku fizikal. Doa kita juga hanya satu, semoga khabar gembira itu juga mewarnai industri buku tanah air.

Menjelang Bajet 2018 yang akan dibentangkan nanti, bukan sedikit yang berdoa dan berharap, baucer buku 1Malaysia atau walau apapun namanya nanti akan dikembalikan.

Satu hal juga yang menarik untuk diperkatakan, FBF sebenarnya medan terbaik untuk penerbit Malaysia berdagang di pentas dunia dengan prestij FBF sebagai pesta buku antarabangsa terbesar dan sejarahnya yang panjang.

Benar, bukan mudah untuk menjual hak cipta karya tempatan di pasaran luar negara tetapi jalan terbaik adalah melalui penyertaan penerbit tanah air di FBF, selain tidak mengabaikan kepentingan pesta buku antarabangsa lain secara konsisten.

Buku Malaysia tembusi pasaran

Memetik pandangan Naib Presiden Pembangunan Perniagaan FBF, Claudia Kaiser, buku Malaysia mampu untuk menembusi pasaran buku dunia.

Bagaimanapun ia perlu dilakukan dengan sabar dan tekun kerana sebagai bahasa yang tidak ramai penutur (dalam konteks berkait dengan negara), keperluan penterjemah sangat besar.

Hal ini sangat benar kerana secara logiknya sesuatu penerbit lebih berminat untuk membeli karya dalam bahasa yang mereka fahami dan tahu misalnya bahasa Inggeris.

Penterjemah masih sedikit

Dalam hal penerbitan tempatan, jumlah penterjemah bahasa Melayu ke bahasa asing terutama bahasa Jerman masih sangat sedikit.

Kali ini juga delegasi Malaysia ke FBF agak ramai, 31 penerbit termasuk enam penerbit universiti.

Meskipun ada sebahagiannya datang kali pertama dan terpinga-pinga, ada juga yang lebih bimbang dimarahi Naib Canselor kerana salah menyebut nama universiti daripada tidak membawa satu kontrak jualan pun.

Bagaimanapun, tidak mengapa kerana anggap saja penyertaan ke FBF itu sebagai langkah pertama untuk ribuan langkah yang akan membawa kejayaan.

Berita Harian X