Jumaat, 20 Oktober 2017 | 5:05pm
LUKISAN Twin Sister yang dihasilkan oleh pelukis Perancis, Pierre-Auguste Renoir.
LUKISAN Twin Sister yang dihasilkan oleh pelukis Perancis, Pierre-Auguste Renoir.

Trump beli lukisan palsu?

NEW YORK: Bagaimana jika catan atau lukisan yang berdekad lamanya diketahui hanya ada satu unit saja dalam dunia dan berada dalam simpanan galeri seni, tetapi ada pihak yang mendakwa beliau memiliki sebuah lagi catan asli serupa?

Hal itu menggemparkan peminat seni halus apatah lagi dakwaan itu dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

The Telegraph melaporkan, Trump mendakwa beliau memiliki catan asli pelukis Perancis, Pierre-Auguste Renoir meskipun diketahui salinan asal lukisan itu, Twin Sister sejak 84 tahun lalu berada dalam simpanan Art Institute Chicago.

Penulis buku biografi Trump, Tim O'Brien menyebut, beliau terlihat catan itu pertama kalinya dalam kapal terbang peribadi Trump tahun lalu sebelum ia dipindahkan ke Menara Trump di New York.

"Saya tahu catan Trump itu palsu sebab yang asli berada dalam simpanan Art Institute Chicago. Selama berdekad Trump percaya ia catan asli," katanya.

Trump bagaimanapun berkali kali, menegaskan catan Twin Sisters itu adalah karya asli meskipun diberitahu, lukisan berkenaan hanya ada satu dalam dunia dan ia berada dalam simpanan Art Institute Chicago.

Sejak 1933, Twin Sister itu memang diketahui berada dalam simpanan Art Institute Chicago selepas institut berkenaan menerima catan berkenaan daripada Annie Swan Coburn yang membelinya pada 1933 daripada seorang pengedar seni Paul Durand Ruel.

Durand Ruel membeli catan itu daripada Renoir sendiri pada 1881.

Sehingga kini, Rumah Putih masih belum memberi sebarang komen berhubung hal itu.

Berita Harian X