Isnin, 2 Oktober 2017 | 1:37pm
AHMAD Kamal Abdullah

Penulis contohi idealisme Pak Sako, letak jawatan hakim

Kuala Lumpur: Pengarang perlu memiliki idealisme yang kuat sebelum memulakan perjuangan dengan karya mereka.

Presiden Persatuan Sasterawan Numera Malaysia (NUMERA), Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, berkata tanpa idealisme yang kuat, sukar seseorang pengarang berjuang yang pernah dilakukan pengarang terdahulu seperti Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako.

"Ini sudah dimulakan di Indonesia oleh tokoh pejuang mereka misalnya melalui Angkatan 30 dan Malaysia turut mengambil inspirasi daripada perjuangan itu.

"Keadaan sastera pada masa itu sangat gawat dan kita ada sasterawan seperti Pak Sako yang menulis cerpen serta novel Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang memberi sindiran yang tajam kepada Inggeris.

Tinggalkan jawatan, bela orang miskin

"Pak Sako bertindak lebih drastik dengan meninggalkan jawatan tingginya sebagai hakim mahkamah rendah.

"Inggeris selalu memerhatikannya disebabkan beliau sering membela orang miskin dalam perbicaraan," katanya pada Malam Kesenian Melayu Islam Seminar Internasional Sastera Melayu-Islam 2017 (SISMI17) di Masjid Abdul Rahman bin Auf (MARBA) di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas; Penaung Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Walikota Banjarbaru, Nadjmi Adhani.

Sementara itu, Abdul Adzis berkata, usaha NUMERA bersama-sama dengan MARBA dalam menganjurkan SISMI17 wajar diberikan pujian.

Iktiraf sumbangan penulis konsisten

"Selain meningkatkan ilmu melalui percambahan idea dengan perkongsian pemakalah, acara ini juga dilihat satu langkah baik dalam menyemarak pentas sastera dengan kehadiran penyair Nusantara.

"Saya juga melihat penobatan empat individu dalam pelbagai bidang sebagai cara baik dalam mengiktiraf sumbangan penulis yang konsisten dalam perjuangan mereka memastikan khazanah dan warisan persuratan Melayu tidak tenggelam dalam modenisasi," katanya.

Pada acara itu juga, NUMERA memberi penghargaan kepada empat penggiat dalam bidang kritikan sastera, penulisan dan deklamasi dari negara ini serta Indonesia melalui Anugerah Tokoh Persuratan Nusantara Melayu Raya tahun ini.

Anugerah Tokoh Persuratan Dunia NUMERA 2017 diterima oleh pengkritik sastera Indonesia, Hudan Hidayat Gozali, manakala Presiden Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-Sastera), Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abas dan aktivis seni, budaya dan sastera Indonesia, Putu Ikhirma (Anugerah Tokoh Patria Numera 2017) serta deklamator, Norazimah Abu Bakar (Anugerah Tokoh Srikandi NUMERA).

Berita Harian X