Khamis, 21 September 2017 | 3:51pm
PRESIDEN Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah ketika sidang media Seminar Internasional Sastera Melayu Islam (SISMI) di Masjid Abd Rahman Auf, Jalan Puchong. - Foto Asyraf Hamzah
PRESIDEN Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah ketika sidang media Seminar Internasional Sastera Melayu Islam (SISMI) di Masjid Abd Rahman Auf, Jalan Puchong. - Foto Asyraf Hamzah

Empat tokoh terima anugerah persuratan Nusantara

KUALA LUMPUR: Empat penggiat dalam bidang kritikan sastera, penulisan dan deklamasi dari Malaysia serta Indonesia dipilih menerima Anugerah Tokoh Persuratan Nusantara Melayu Raya pada tahun ini.

Presiden Persatuan Sasterawan Numera Malaysia (NUMERA), Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, berkata pengkritik sastera Indonesia, Hudan Hidayat Gozali (Hudan Hidayat) dipilih menerima Anugerah Tokoh Persuratan Dunia NUMERA 2017.

"Selain aktif dalam bidang kritikan sastera sejak 2007, Hudan Hidayat yang dilahirkan di Jogjakarta, adalah pengarang dan turut melahirkan buku seperti Nabi Tanpa Wahyu dan Ada Mata Lain.

"NUMERA turut memilih Presiden Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-Sastera), Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abas (Irwan Abu Bakar) dan aktivis seni, budaya dan sastera Indonesia, Putu Ikhirma sebagai penerima Anugerah Tokoh Patria Numera 2017.

"Sementara itu, deklamator, Norazimah Abu Bakar pula dipilih menerima Tokoh Srikandi NUMERA," katanya pada Sidang Media Penobatan Tokoh NUMERA di Masjid Abdul Rahman Bin Auf (MARBA) di sini, hari ini.

Ahmad Kamal berkata, sebagai organisasi sastera, NUMERA berhasrat mengangkat kesusasteraan secara konsisten melalui penganugerahan itu.

"Pemilihan mereka dilakukan berdasarkan pembabitan tokoh ini dalam konteks kesusasteraan Nusantara Melayu Raya dan dalam bidang kajian, kreativiti dan juga aktivisme di Jabatan Pengajian Melayu-Indonesia di negara luar.

"Mereka juga menyumbang kepada NUMERA Malaysia bagi memastikan organisasi ini dapat memartabatkan persuratan NUMERA ke seluruh pelosok dunia," katanya

Majlis penganugerahan akan diadakan pada 29 September ini sempena Malam Kesenian Melayu Islam Seminar Internasional Sastera Melayu-Islam 2017 (SISMI17).

SISMI17 yang dianjurkan buat kali keempat oleh NUMERA dengan kerjasama MARBA kali ini, akan berlangsung bermula 28 hingga 30 September ini.

Dengan tema Melestari dan Mengabdi Sastera Melayu Islam, ia akan menampilkan 12 penulis kertas kerja termasuk dari negara ini, Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand, Singapura dan Bangladesh.

Kemala berkata, penganjuran itu menjadi usaha sulung MARBA mengadakan seminar sederhana dengan kandungan besar yang memberi fokus kepada kesusasteraan nusantara dalam konteks keislaman.

"NUMERA bersama MARBA cuba membuat pengisian masjid bukan saja bagi tujuan penyebaran dakwah, malah kesusasteraan khususnya di Nusantara Melayu Raya.

"Kita akan melihat apakah kita merujuk sensitiviti keislaman ketika berkarya atau menulis sekadar untuk menulis saja dan membawa teori Barat tanpa mencipta teori sendiri berdasarkan keislaman dengan al-Quran dan hadis sebagai rujukan," katanya.

Berita Harian X