Khamis, 14 September 2017 | 9:38pm
KOMPOSER Lagu Sabah Tanah Airku, HB Hermann adalah juga seorang jurubahasa, ahli kimia dan astrologi selain pemuzik. - Foto Malai Rosmah Tuah
PERISYTIHARAN Malaysia diadakan di Jesselton, Borneo Utara pada 16 September 1963.

Lagu Sabah Tanah Airku sinonim usia pembentukan Malaysia

KOTA KINABALU: Lagu Sabah Tanah Airku yang amat sinonim dengan usia pembentukan Malaysia, dikatakan digubah oleh seorang komposer dari Geyland Road, Singapura.

HB Hermann yang dibesarkan di Warsaw, Poland, terpilih sebagai pemenang dalam satu pertandingan penciptaan lagu rasmi negeri ini pada Mei 1963.

Ketika itu Hermann yang juga seorang jurubahasa, ahli kimia dan astrologi selain pemuzik menjelajah ke Jerman, Russia, Siberia dan beberapa negara Asia untuk bekerja.

Lagu ciptaannya dikatakan dipasang setiap hari di radio di Sabah yang ketika itu dikenali Borneo Utara, pada awal Julai 1963 sehingga tarikh perisytiharan Malaysia pada 16 September tahun sama.

Jika berdasarkan tahun pertandingan pada 1963, kini lagu itu yang menjadi lagu rasmi Sabah sudah mencecah usia 54 tahun, seusia dengan penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura.

Dikatakan, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun (Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama) dan Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephen (Ketua Menteri Sabah pertama) mengarahkan pasukan Pancaragam Polis Tentera Borneo Utara pada masa itu untuk mengadakan pertandingan penciptaan lagu rasmi negeri ini.


ALLAHYARHAM Tun Mohd Fuad Stephen (Ketua Menteri Sabah pertama).

Mengulas lanjut mengenai asal usul lagu 'Sabah Tanah Airku', Pengarah Arkib Sabah, Mohd Said Hinayat, berkata lagu itu menjadi lagu rasmi negeri ini sejak 16 September 1963 hingga sekarang.

"Berdasarkan maklumat yang ada, lagu ini dicipta oleh HB Hermann, seorang penggubah lagu yang telah memenangi pertandingan ini dan ia ditulis dalam bahasa Melayu.

"Bagaimanapun, sama ada beliau (Hermann) yang menulis lirik lagu itu atau orang lain, ia belum jelas dan kita masih mengkaji perkara ini," katanya kepada BH.

Pada Mei 1963, pemimpin Perikatan Sabah ketika itu termasuk Ketua Pancaragam Polis Borneo Utara, Kapten FJ Brooke dan Father Rusted yang berpengalaman luas dalam bidang seni muzik telah memilih karya Hermann sebagai pemenang mencipta lagu kebangsaan negeri ini.

Atas kejayaan itu Hermann menerima wang tunai $1,000 daripada Guthrie & Co Singapore.

Berdasarkan rekod Arkib Sabah, sebanyak 34 penyertaan dari Malaya, Singapura, Brunei dan Borneo Utara diterima penganjur dalam pertandingan itu.


PENGARAH Arkib Sabah, Mohd Said Hinayat. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Mohd Said berkata, tajuk asal Sabah Tanah Airku ialah "Sabah" saja seperti yang tercatat dalam nota lagu itu.

Beliau berkata, kajian terperinci mengenai asal usul lagu Sabah Tanah Airku perlu dilakukan bagi mengetahui beberapa lagi persoalan termasuk berkaitan penulis liriknya.

"Saya berharap mana-mana individu yang lazimnya terbabit dalam kajian agar membuat kajian terperinci mengenai lagu Sabah Tanah Airku. Setakat ini, hanya sedikit maklumat yang kita tahu mengenai lagu ini," katanya.

Tambah beliau, sebelum penubuhan Malaysia, Borneo Utara yang sebahagian daripada koloni British telah mempunyai lagu kebangsaan iaitu "God Save The Queen".

Bagaimanapun, sumber lain menyebut lagu ciptaan Hermann itu telah dirakam dengan iringan Pancaragam Polis Borneo Utara dipimpin FJ Brooke dan telah berkumandang buat kali pertama menerusi siaran Radio Sabah pada 19 Julai 1963.

Mengulas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, beliau mengalu-alukan jika maklumat atau sejarah yang diketahui berkaitan tarikh itu untuk diserahkan kepada jabatan berkenaan.

"Kita mahu lebih banyak bahan atau maklumat termasuk gambar untuk disimpan dan menjadi pameran di Arkib negeri. 

"Selain pelbagai gambar dan maklumat ketika pengisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, jabatan ini memelihara rekod yang menunjukkan Sabah pernah menjadi sebuah negara untuk tempoh singkat dari 1 hingga 15 September 1963 selepas mendapat kemerdekaan daripada kerajaan British pada 31 Ogos 1963," katanya.

INFO

  • Lagu Sabah Tanah Airku digubah oleh HB Hermann, komposer berasal dari Geyland Road, Singapura.
  • Menang pertandingan penciptaan lagu rasmi Sabah pada Mei 1963.
  • 34 penyertaan dari Malaya, Brunei dan Singapura serta Borneo Utara.
Berita Harian X