Rabu, 23 Ogos 2017 | 4:48pm
NOVEL Panglima Salleh Selempang Merah.

Novel Panglima Salleh Selempang Merah kenang perjuangan menentang komunis

KUALA LUMPUR: Perjuangan pahlawan Melayu yang bermati-matian menyelamatkan bangsanya daripada kekejaman penjajah dan komunis wajib dikenang.

Bagi Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan, ia boleh dilakukan dengan membaca karya sastera Malaysia seperti novel Panglima Salleh Selempang Merah oleh Zaharah Nawawi.

Katanya, novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1991 itu adalah novel sejarah yang sangat menginsafkan.

"Dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan, kita wajib mengenang pahlawan yang bermati-matian untuk menyelamatkan bangsanya daripada kekejaman.

"Antaranya, Salleh Abdul Karim atau lebih dikenali Panglima Salleh Selempang Merah yang kisahnya diceritakan dalam novel ini," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, Panglima Salleh mengetuai kumpulan orang kampung untuk menentang kekejaman komunis.

"Ketika itu, orang Melayu yang tidak mempunyai kemerdekaan dan kebebasan diri, berdepan dengan kekejaman komunis. Ia terjadi di sekitar Batu Pahat dan Muar.

"Novel ini penuh dengan gambaran perbuatan kejam komunis terhadap penduduk kampung yang rata-rata adalah orang Melayu.

"Ketika membacanya, darah sentiasa menyirap ke kepala kerana mengingatkan semua kejadian yang diceritakan adalah peristiwa yang benar-benar berlaku," katanya.

Zurinah berkata, peristiwa itu diceritakan oleh orang yang mengalaminya kepada pengarang novel berkenaan, sekali gus menjadikan watak yang ditemui dalam novel berkenaan adalah watak sebenar.

"Ada antara mereka yang masih hidup pada hari ini. Bagaimanapun sebahagian nama mereka diubah atas sebab-sebab keselamatan.

"Latar masa novel ini bermula pada tahun 1941. Ketika itu, rakyat di seluruh negara hidup dalam serba kekurangan dan kesengsaraan, manakala makanan tidak cukup dan penyakit sentiasa melanda.

Beliau berkata, novel yang sangat menginsafkan pembaca itu mengingatkan masyarakat supaya memelihara kemerdekaan yang kita miliki supaya tidak tertindas dan dizalimi semula.

Pemilihan novel itu bersempena Jejak Novel Merdeka di Sastera BH yang menyenaraikan karya yang wajib dibaca sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-60.

Berita Harian X