Selasa, 22 Ogos 2017 | 7:23pm
NOVEL Penyeberang Sempadan karya Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Penyeberang Sempadan angkat sikap mudah terpesona ideologi kiri

KUALA LUMPUR: Sikap mudah terpesona dengan ideologi kiri seperti komunisme dan sosialisme diangkat dalam novel Penyeberang Sempadan karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Mohd Ridzuan Harun, memilih novel itu untuk disenaraikan dalam Jejak Novel Merdeka kerana ia mengungkap perjuangan berlandaskan sejarah kemerdekaan tanah air.

"Novel itu mengangkat semangat pejuang untuk membebaskan negaranya daripada berterusan dibelenggu oleh kuasa penjajah, manakala ideologi untuk memperjuangkan kebebasan tanah air yang ada pada masa itu, diilhamkan daripada gerakan yang berlaku di tanah air.

"Perjuangan ini dilangsungkan melalui dua pertubuhan penting yang ada pada ketika itu, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Komunis," katanya kepada Sastera BH di sini.

Mohd Ridzuan berkata, teknik naratif novel itu berbentuk seperti pengembaraan yang sarat dengan wacana ideologi dan merungkai persoalan sejarah negara daripada perspektif baharu.

"Anwar cuba membawa sejarah perjuangan nasionalisme Melayu daripada perspektif berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk merdeka.

"Beliau juga merungkai sejarah gerakan watak berfahaman kiri yang berada dalam dilema, akhirnya kembali ke pangkal jalan, sesuai dengan pegangan agamanya," katanya.

Beliau berkata, novelis itu berjaya mencitrakan semua fahaman terpenting dunia seperti komunis, sosialis dan demokrasi tetapi pada masa sama meletakkan Islam sebagai wahana terbaik sebagai landasan dalam perjuangan.

"Kebenaran dalam perjuangan hakiki dan kebebasan hidup merdeka hanya ada pada jalan Islam. Dalam konteks ini, Anwar Ridhwan sebagai pengarang berjaya menggarap persoalan besar dengan rantaian peristiwa menarik sebagai novel yang mengadunkan nilai pemikiran manusia, soal kemanusiaan dan pencitraan bangsa yang besar jiwanya.

Dalam Penyeberang Sempadan, Mohd Ridzuan berkata, novel itu merungkai pergelutan diri pemuda Melayu, Kuay yang terjebak dalam gerakan nasionalisme Melayu dan menjadi buruan pihak Inggeris dengan perwatakannya seolah-olah muncul sebagai watak noir, iaitu watak bulat dalam dunia yang hitam.

"Anwar membentuk gambaran fizikal dan non-fizikal Kuay pada peringkat awal secara samar dan tidak langsung dalam teknik monolog Kuay. Satu perkara menarik dan memberi kesan kreatif ialah kehadiran dunia bawah sedar Kuay yang menonjolkan sisi psikologi mengalami gangguan personaliti bahagi dua.

"Kuay kemudian lari membawa diri menyeberangi sempadan hingga ke China dan Russia serta kota besar seperti New York, Kaherah dan Amman. Sepanjang pelarian, Kuay dihadapkan dengan bauran silang pengalaman dan pemetaan ideologi antara negara Timur dan Barat sebagai satu perbandingan.

"Sebagai anak muda, dia mudah terpesona dengan propaganda ideologi seperti komunisme, sosialisme dan demokrasi tetapi menjadi insaf secara berhikmah untuk kembali kepada Islam sebagai petunjuk jalan kehidupan terbaik berbanding dengan ideologi ciptaan manusia yang menarik minatnya selepas bertemu wanita Palestin, Shafi'aa di Amerika Syarikat," katanya.

Berita Harian X