Isnin, 21 Ogos 2017 | 5:01pm
NOVEL Projek 238 karya BH Amir.

Projek 238, novel espionaj Malaysia

KUALA LUMPUR: Bagaimana kalau kemerdekaan yang kita miliki hari ini dirampas? Novel Projek 238 karya BH Amir menyorot kemungkinan itu.

Hal itu memberikan daya tarikan kepada pengarang, Saharil Hasrin Sanin untuk menikmati karya berkenaan, sekali gus menyenaraikannya sebagai Jejak Novel Merdeka.

"Naskhah ini adalah wajib baca jika bercakap tentang novel kemerdekaan. Ia boleh dianggap sebagai karya kontemporari berbanding kebanyakan karya patriotik lain.

"Bagaimanapun ia adalah sebuah novel espionaj yang mengisahkan usaha sebuah kuasa besar asing menjajah kembali Malaysia demi mahu merebut hak galian uranium oksida yang ditemui di Tanjung Jara, Tanjung Gelang dan Tanjung Tenggaroh," katanya kepada Sastera BH di sini.

Saharil berkata, BH Amir sangat pintar dalam penulisannya malah mencampuradukkan sulaman fakta dengan media seperti selitan daripada makalah kerajaan, transkrip siaran televisyen, petikan akhbar, surat-menyurat rasmi, saifer dan kriptografi, puisi, lirik lagu dan pantun, selain turut diselitkan formula matematik.

Beliau berkata, meskipun ada bahagian yang meleret dan ada perenggan yang seolah-olah diterjemah secara langsung dari karya espionaj Inggeris tulisan Jeffrey Archer atau Ian Fleming, ia tidak melarutkan rasa kagum beliau kepada naskhah itu.

Projek 238 mengangkat kisah keupayaan bangsa Malaysia melawan apabila dibuli bangsa besar dunia, kemampuan mematahkan penjajahan ekonomi dan globalisasi zaman moden dan diakhiri dengan kemenangan bergaya apabila masyarakatnya teguh menentang korupsi dan penindasan serta kecintaan tiada tolok banding kepada ibu pertiwi.

Berita Harian X