Khamis, 10 Ogos 2017 | 3:08pm
Hasri Hasan

Novel Kanang rakam saat cemas berdepan komunis

KUALA LUMPUR: Ketabahan jiwa, kekuatan mental dan fizikal mendiang Pegawai Waran 1, Temenggong Datuk Kanang anak Langkau hingga kini masih kekal dalam ingatan sebahagian warga Malaysia.

Malah, kisah Kanang yang kemudiannya ditulis semula oleh Mejar (B) Maznan Noordin adalah antara karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang laris dijual dan malar segar.

Bagi Pengurus Kanan Harta Intelek, Inisiatif Digital, Penyelidikan dan Konsultansi (HIPP), Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan, Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, menjadi kisah yang cukup membekas dalam jiwanya.

"Saya masih di bangku sekolah ketika pertama kali membaca naskhah itu. Kanang sebagai ikon patriotik negara adalah contoh insan yang sangat cintakan negaranya," katanya.

Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, pertama kali diterbitkan pada 1988 sebelum terpilih sebagai teks Komponen Pengajaran dan Pembelajaran Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) 2010.

Kisah Kanang yang juga pernah diadaptasi ke layar perak pada Mac lalu menceritakan mengenai kecekalan dan kegigihan semangat anggota tentera keturunan Iban, Kanang Anak Langkau dalam mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Kata Hasri, penulis novel itu merakamkan pengalaman hidup Kanang dengan baik, terutama saat cemas pertempuran dengan pengganas komunis ketika Operasi Pukat.

"Gambaran yang dibuat Maznan sangat berjaya sehingga membuatkan air mata menitis mengenangkan tragedi yang menimpa Kanang demi mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Hasri menyifatkan, kecekalan hati Kanang selain sikap beliau yang bertanggungjawab seharusnya menjadi contoh kepada generasi masa kini, walaupun zaman ini tidak perlu mengangkat senjata untuk berperang.

Berita Harian X