Selasa, 8 Ogos 2017 | 1:02pm

Novel Pak Sako kritik sikap Melayu

KUALA LUMPUR: Novel Anak Mat Lela Gila oleh Pak Sako memperlihatkan pemikiran besar pengarang itu mengenai perjuangan bangsa yang tidak terhenti hanya dengan mengecapi kemerdekaan.

Pengarang, Hazwani Rameli atau lebih dikenali sebagai Rebecca Ilham, berkata Pak  Sako melalui novel yang terbit tiga tahun selepas merdeka itu, membawa nuansa berbeza daripada novel monumentalnya, Putera Gunung Tahan.

"Putera Gunung Tahan yang terbit 20 tahun sebelum kemerdekaan iaitu pada tahun 1937, membawa gagasan pascakolonial yang memperlihatkan Pak Sako 'memukul' habis penjajah.

"Bagaimanapun Anak Mat Lela Gila yang terbit pada tahun 1960 pula mengkritik sikap orang Melayu yang leka dengan perkara trivia dan jelik.

"Pak Sako mengingatkan orang Melayu bahawa mereka sepatutnya menumpukan perhatian kepada usaha mempertahan dan mengisi kemerdekaan yang baru dikecapi," katanya kepada Sastera & Budaya di sini.

Anak Mat Lela Gila mengisahkan pemuda yang dianggap gila oleh penduduk kampung dan kemudian 'diisi' dengan banyak maksud tersirat dan kritikan halus buat masyarakat.

Rebecca Ilham berkata, Anak Mat Lela Gila mungkin tidak sehebat Putera Gunung Tahan dalam nafas pascakolonialnya, tetapi ia juga adalah novel yang sangat baik.

"Naskhah ini membuktikan Pak Sako sebagai pengarang tidak dapat lari daripada konteks sejarah sezaman dan hal ini adalah antara tema utama yang dibincangkan oleh Edward Said melalui bukunya Culture and Imperialism.

"Ia memperlihatkan pemikiran besar Pak Sako yang memahami perjuangan sesuatu bangsa itu tidak terhenti dengan mencapai kebebasan fizikal semata-mata kerana peralihan zaman akan membawa pelbagai cabaran baru," katanya.

Berita Harian X