Sabtu, 5 Ogos 2017 | 10:02am
Novel Sandera karya Sasterawan Negara (SN) Arenawati.

Bara ideologi politik Sandera gugah sastera Melayu

KUALA LUMPUR: Novel Sandera karya Sasterawan Negara (SN) Arenawati menggugah sastera Melayu dengan sisi ideologi politik dan sosial yang penuh bara.

Justeru, adikarya Arenawati itu dipilih oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Syed Mohd Zakir Syed Othman, untuk disenaraikan pada Jejak Novel Merdeka.

"Sandera ialah novel yang memenangi hadiah tertinggi Peraduan Mengarang Novel sempena sambutan 10 tahun kemerdekaan Tanah Melayu dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1973.

"Ia bukan saja berat dengan ideologi perjuangan, bahkan sarat dengan sejarah perjuangan zaman menuntut kemerdekaan.


Syed Mohd Zakir Syed Othman atau nama pena, SM Zakir. - Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad

"Novel ini bermula dengan kisah Busad, sebagai warga Nusantara yang hidup di kedua-dua belahan tanah Melayu dan Indonesia, sekali gus berjuang atas semangat kemerdekaan tanah Nusantara daripada penjajah asing," katanya kepada Sastera di sini.

Syed Mohd Zakir berkata, perjalanan perjuangan Busad memunculkan watak demi watak dan bercabang menumbuhkan subplot yang berkembang serta melebar menjadi akar sejarah yang penuh tragis.

"Daripada Busad, muncul sub-plot keluarga Hakim Mahmud, Bahar, Sapiah, Andang, dan pelbagai watak yang menggerakkan perjuangan kemerdekaan.

"Keluarga Hakim Mahmud dengan anak-anaknya Zahid, Mahadi dan Midah menjadi tunggak cerita setelah Busad.

"Novel ini adalah kronologi sejarah yang panjang, iaitu dari zaman kolonial Inggeris dan Belanda kepada zaman penjajahan tentera Jepun kepada zaman perjuangan golongan kiri, komunis, kemerdekaan dan selepas kemerdekaan yang turut mengisi zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia," katanya.

Beliau berkata, Sandera dipenuhi dengan ideologi perjuangan dan prinsip politik yang berselirat, selain menitipkan sejarah pedih terbahaginya tanah watan oleh peninggalan politik penjajah.

Berita Harian X