Khamis, 3 Ogos 2017 | 12:25pm

Putera Gunung Tahan bukti Melayu bangsa besar, berfikir

KUALA LUMPUR: Novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako bukan hanya bertujuan mengkritik penjajah, sebaliknya menyalakan kesedaran pemikiran anak bangsanya.

Hal ini menjadikan novel terbitan tahun 1938 itu bukan saja malar segar, bahkan wajar dijadikan buku wajib baca untuk Jejak Novel Merdeka pada sambutan kemerdekaan ke-60 pada tahun ini.

Penyair dan pengarang, Muhammad Lutfi Ishak, berkata Putera Gunung Tahan sentiasa mengingatkannya akan pentingnya kebijaksanaan pengarang.

"Ia bukan saja dalam menyatakan buah fikiran, bahkan memahami konteks dan ruang ekspresi yang ada pada sesuatu masa.

"Biarpun mengkritik dan menyindir penjajah dengan cara yang keras, namun jika dibaca dengan teliti, itu bukanlah tujuan utama Pak Sako.

"Putera Gunung Tahan ditulis untuk menyalakan kesedaran pemikiran anak bangsanya sendiri," katanya kepada Sastera & Budaya di sini, semalam.

Muhammad Lutfi berkata, setiap kali mengingati novel ini, beliau sentiasa yakin pengarang yang baik sentiasa mengimpikan kebebasan dan kemerdekaan.

"Namun ruang kebebasan dan kemerdekaan itu bukannya diminta secara kosong dan semu, sebaliknya dengan menghadirkan bukti kebijaksanaan anak bangsa.

"Dengan menulis Putera Gunung Tahan, Pak Sako bukan saja menyalakan kesedaran anak bangsa, bahkan membuktikan orang Melayu juga berhak menikmati kebebasan dan kemerdekaan.

"Ini kerana mereka ialah bangsa besar yang tahu berfikir dan kreatif," katanya yang juga menghasilkan kumpulan puisi Dondang Pembukaan.

Pak Sako atau nama sebenarnya, Ishak Haji Muhammad menulis Putera Gunung Tahan yang berkisar watak utamanya, Ratu Bongsu yang berdepan dengan penjajah seperti Tuan Robert dan Tuan William.

Ketamakan penjajah sehingga mahu merampas Puncak Gunung Tahan itu mencetuskan kemurkaan Ratu Bongsu hingga membawa kepada rentetan peristiwa yang menjadi simbol sindiran pengarang dan pada masa sama melambangkan kebijaksanaan bangsa Melayu.

Berita Harian X