Jumaat, 28 Julai 2017 | 7:00am
NOVEL Breathe. - Foto ihsan pembaca
NOVEL Breathe. - Foto ihsan pembaca

Breathe sorot memori silam, realiti derita pakar kardiologi

BREATHE, novel sulung tulisan pakar kardiologi, Dr Beni Isman Rusani, mengambil watak Dr Adam, yang memperoleh peluang 'berada' antara masa kini dan masa lalunya, ketika beliau diserang sakit jantung.

Naskhah ini ditulis secara berselang seli, antara kisah Dr Adam pada masa kini dengan imbas semula kehidupannya ketika bergelar pelajar perubatan dan doktor pelatih.

Imbas semula itu memainkan peranan yang sangat penting dalam penceritaan naskhah ini kerana fasa kehidupan lalunya yang banyak menggerakkan jalan cerita dan menjawab persoalan pembaca.

Tidak sukar menghabiskan novel berbahasa Inggeris berhalaman 262 muka ini.

Bab awalnya dikuasai dengan babak di dewan kuliah dan hospital yang ia bukanlah sesuatu yang pelik, apatah lagi seperti Dr Beni sendiri, watak utamanya ialah pakar kardiologi.

Meskipun maklumat istilah teknikal berkaitan perubatan bermanfaat untuk pengetahuan, ada masanya ia dirasakan terlalu banyak menyebabkan pembacaan sedikit melelahkan.

Namun, jangan berhenti dahulu kerana selepas hampir setengah pembacaan, plotnya semakin rancak, terutama ketika babak imbas semula Dr Adam sebagai doktor pelatih, yang menyaksikan 'pertemuannya' dengan ramai watak menarik.

Watak sekejap-sekejap

Kebanyakan watak yang disentuh, muncul sekejap-sekejap dan bagi saya, banyak lagi sebenarnya yang menarik untuk diketahui misalnya perihal beliau dan Julia ataupun kisah tragis zaman kanak-kanak Dr Adam yang ditinggalkan bapanya sebelum ibunya pula meninggal dunia disebabkan barah.

Ada juga kisah pertemuan semula beliau dengan pesakit yang pernah dirawatnya, sebelum pesakit itu, Diana merawat Dr Adam ketika beliau terkena serangan jantung.

Garapan pengarang terhadap watak Mad Doc paling menarik, doktor yang keras hati dan memiliki kemahiran sosial yang sangat sedikit itu paling banyak dikaitkan dengan kisah lalu Dr Adam.

Mungkin sahaja sesuai dengan peredaran masa, kehadiran individu itu mengubah perasaan dekat kepada jauh dan benci, sama ada dalam persahabatan atau percintaan.

Namun, daripada terus terendam dalam perasaan dan enggan memaafkan, kenapa tidak ambil sahaja yang jernih sebagai peluang kedua untuk meneruskan kehidupan pada masa hadapan seperti yang berlaku kepada Dr Adam.

Berita Harian X