Rabu, 19 Julai 2017 | 12:21am
PRESIDEN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad pada sesi temuramah di Universiti Malaya. - Foto Mahzir Mat Isa
PRESIDEN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad pada sesi temuramah di Universiti Malaya. - Foto Mahzir Mat Isa

'Jangan semberono hantar manuskrip'

KUALA LUMPUR: Manuskrip terlalu banyak diterima tetapi hanya sedikit berkualiti untuk diterbitkan. Itu antara dilema syarikat penerbitan tanah air mengenai lambakan manuskrip diterima untuk dinilai bagi tujuan penerbitan.

Dari satu sudut, ia menunjukkan pertumbuhan pesat gerakan melahirkan masyarakat berilmu hinggakan ramai berlumba-lumba menghasilkan karya.

Bagaimanapun, kuantiti tidak membawa sebarang makna jika apa yang dihasilkan tidak membawa kebaikan kepada perkembangan masyarakat dan sastera itu sendiri.

Ketua Jabatan Buku Malaysia, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Rozlan Mohamed Noor, berkata terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan sesuatu manuskrip itu dikategorikan sebagai lemah.

Kekurangan nilai bahasa

Beliau berkata, ada antaranya mempunyai idea dan gagasan besar tetapi gagal dipersembahkan dengan baik kerana kekurangan dalam aspek nilai bahasanya.

"ITBM berperanan sebagai badan penata dan pemegang amanah kepada sesuatu manuskrip yang dihantar untuk dinilai dengan pihak kami melantik panel penilai luar yang akan membuat laporan penilaian.

"Sesebuah karya sastera itu dilihat sebagai suatu binaan yang saling melengkapi dan utuh dengan kerangka kreativiti serta estetika keseluruhan.

"Justifikasi penolakan selalunya melihat beberapa aspek penting dalam pembinaan manuskrip, iaitu nilai kreativiti, pemikiran, akhlak, bahasa, keprihatinan dan keseimbangan yang difikirkan munasabah oleh panel penilai dilantik," katanya kepada Sastera & Budaya, di sini.

Meskipun tidak menafikan masih terdapat beberapa kelonggaran yang diberi demi membangunkan sastera tanah air, Mohd Rozlan berkata, penulis tidak boleh semberono menghantar karya dan terus mengharapkan manuskripnya diterbitkan.

Katanya, tidak hanya perlu memahami terlebih dulu sesebuah syarikat penerbitan itu, tetapi penulis juga perlu berusaha untuk mendapatkan ilmu pemasaran.

Lebih baik katanya jika penulis menyertai bengkel dan kelas penulisan atau penerbitan, kerana melaluinya mereka akan didedahkan proses dan prosedur penghantaran manuskrip serta paling utama mengetahui fokus penerbitan sesebuah penerbit itu.

Pandangan itu diakui Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penerbitan ITBM-Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata isu manuskrip ditolak kebanyakannya membabitkan penulis yang enggan melakukan anjakan dan tidak memperlihatkan pembaharuan bermanfaat bagi perkembangan sastera dalam penulisan mereka.

Penilai katanya, akan melihat aspek releven sesuatu manuskrip dan menolak karya yang masih mengikut gaya lama serta mengangkat persoalan yang klise.

"Penerbit perlu mengutamakan karya yang mempunyai pembaharuan supaya ia boleh menjadi penanda aras kepada perkembangan sastera negara, justeru manuskrip yang masih berada dalam pola lama akan dilihat sebagai sesuatu yang kosong," katanya.

Mohamad Saleeh berkata, hanya 20 hingga 30 peratus daripada lambakan manuskrip yang diterima boleh diterbitkan dan ada antaranya memiliki begitu banyak kesalahan, terutama membabitkan manuskrip penulis baharu yang belum teruji secara eceran.

"Sebaiknya manuskrip yang dihantar perlu disunting terlebih dahulu dengan cara sama ada saring secara sendiri atau minta bantuan rakan penulis lain supaya manuskrip yang dihantar untuk dinilai adalah manuskrip yang bersih," katanya.

Buat kajian, rujukan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kata-Pilar, Fahd Razy, berkata adalah penting untuk seseorang penulis itu membuat kajian dan rujukan yang mendalam bagi memastikan subjek yang ingin ditulis lebih asli.

Sebagai persediaan katanya, penting untuk mengkaji pasaran buku dengan merujuk buku yang hampir sama tetapi diberi kelainan sebagai nilai tambah untuk manuskrip yang dihantar.

"Kebanyakan manuskrip yang ditolak kami menampilkan konsep sedia ada dalam pasaran. Tidak salah sekiranya menghasilkan idea dan genre sama tetapi dalam masa sama, ia perlu diberi kelainan.

"Ada juga manuskrip yang ditolak menunjukkan kelemahan daripada aspek binaan cerita dan teknik penulisan.

"Bagaimanapun sekiranya idea yang ditampilkan sangat baik dan memuaskan hati penilai, kami akan memberi cadangan supaya ia dapat diperbaiki," katanya.

Berita Harian X