Jumaat, 20 Mei 2022 | 11:08am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Perakui 'kontrak sosial' demi perkukuh Keluarga Malaysia

Gagasan Keluarga Malaysia bagi menjadikan bangsa Malaysia yang inklusif diperkenalkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021.

Gagasan ini sangat penting kerana rakyat berbilang agama dan etnik membentuk Keluarga Malaysia bersatu padu, harmoni, sejahtera, bantu-membantu, saling melengkapi yang penuh dengan rasa hormat dan kasih sayang antara satu sama lain.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata; "Marilah kita dengan fikiran dan dada terbuka, menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan Keluarga Malaysia".

Tunjang terbinanya gagasan Keluarga Malaysia ialah Perlembagaan dan Rukun Negara. Keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan etnik perlu menerima kontrak sosial termaktub dalam Perlembagaan.

Empat peruntukan penting dalam Perlembagaan iaitu kedudukan agama Islam (Perkara 3), hak
keistimewaan orang Melayu dan pribumi (Perkara 153), bahasa Melayu (Perkara 152) dan kedudukan Raja-raja Melayu (Perkara 38) mesti dihayati dan terima penuh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia diberi hak kebebasan
beragama dengan kedudukan agama Islam diberi kedudukan tinggi ketika kepercayaan lain dianuti dan diamalkan masyarakat bukan Islam. Hormat menghormati terhadap agama antara orang Islam dan bukan Islam perlu menjadi amalan seharian.

Kedudukan hak istimewa orang Melayu dan
pribumi perlu diterima Keluarga Malaysia kerana jurang pencapaian ekonomi dan pendidikan golongan ini masih jauh ketinggalan walaupun negara mencapai 65 tahun kemerdekaan.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa menyatu padukan Keluarga Malaysia mesti dikuatkuasakan. Ia bukan sahaja Bahasa Kebangsaan yang menjadi kebanggaan negara, malah ditutur lebih 300 juta populasi di Malaysia, Indonesia dan negara lain.

Justeru, usaha menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa utama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hendaklah dipertingkatkan supaya ia menjadi satu kenyataan di masa hadapan.

Raja-Raja Melayu pula payung Keluarga Malaysia. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai peranan sangat penting dalam semak dan imbang dalam semua urusan negara meliputi cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Ini kerana Raja-Raja Melayu bersumpah dengan nama Allah berjanji melaksanakan tugas berlandaskan Perlembagaan dan sentiasa memelihara agama Islam. Atas landasan ini, Keluarga Malaysia dikehendaki supaya taat dan setia kepada Raja dan negara.

Kewujudan manusia yang menganuti pelbagai agama dan terdiri dari pelbagai etnik serta keturunan adalah fitrah ciptaan Allah SWT. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam Surat Al-Hujurat Ayat ke-13 yang bermaksud: "Wahai manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa serta bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih takwanya di antara kamu, (bukan lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Kepelbagaian penganut agama dan etnik bukan satu fenomena baharu dalam Islam. Rasulullah SAW menyatupadukan penduduk Madinah terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam.

Nabi Muhammad SAW menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin. Penerimaan penduduk asal (Ansar) di Madinah terhadap Muhajirin satu perkara pokok ikatan persaudaraan berbilang agama dan kabilah.

Ini ditambah pula dengan penyatuan ummah tanpa mengira agama dan kabilah melalui Sahifah Madinah yang menjadi perlembagaan bertulis pertama dunia.

Sahifah Madinah menyatukan kepelbagaian
kabilah dan agama dalam perjanjian mempertahankan hak warga Madinah serta kesepakatan semua untuk mempertahankan Madinah.

Kesajagatan Sahifah Madinah ialah ia menekankan betapa mulianya kejadian manusia, yang semuanya berasal dari tanah yang membawa maksud kita semua sama.

Sahifah Madinah mengiktiraf semua warga
Madinah dan mempertahankan hak setiap individu tanpa membezakan antara yang majoriti dan minoriti. Ia mengiktiraf kepelbagaian warganya sebagai satu bangsa (one nation) dengan ikatan kontrak sosial.

Keluarga Malaysia diasaskan sejak kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 tercalar dengan peristiwa hitam rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Akibatnya, Rukun Negara diperkenalkan sebagai satu falsafah kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos 1970. Dua komponen penting terkandung dalam Rukun Negara:

Pertama: Objektif utama Rukun Negara diperkenalkan adalah untuk merealisasikan cita-cita Malaysia ke arah:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat
  • Memelihara satu cara hidup demokratik
  • Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak
  • Membina satu masyarakat progresif dengan penggunaan sains dan teknologi moden
  • Kedua: Dalam memenuhi cita-cita ini, Rukun Negara menggaris lima prinsip utama:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan undang-undang
  • Kesopanan dan kesusilaan
  • Kedua-dua komponen ini saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan demi perpaduan Keluarga Malaysia.

    Pentingnya gagasan Keluarga Malaysia ialah ia membawa mesej menerima persamaan dan perbezaan masing-masing berlandaskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

    Tiga nilai teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (common ground) dan kesyukuran (contentment) menjadi asas acuan hidup rakyat pelbagai agama, etnik dan budaya di Malaysia.

    Pembentukan Keluarga Malaysia perlu dibina atas semangat persaudaraan (ukhuwah) terdiri daripada tiga prinsip iaitu ta'aruf (saling mengenali), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling membantu).

    Dalam hal ini pendekatan fiqh Malaysia yang mengambil kira persekitaran dan budaya berbeza dengan Asia Barat serta fiqh al-Ta'ayush (hidup bersama) menggariskan kehidupan masyarakat minoriti bukan Islam di negara majoriti Islam seperti Malaysia.

    Di samping itu, pendekatan 'tasamuh' yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan hendaklah diterapkan. Dengan pendekatan ini, Keluarga Malaysia yang berbeza agama dan etnik dapat menerima realiti kepelbagaian masyarakat seperti digariskan Islam.

    Dalam menerima pakai pendekatan tasamuh, sifat mahabbah (kasih sayang) memerlukan setiap individu bersikap berlapang dada, rasional dan membentuk persefahaman baik.

    Ini dapat membawa kepada kedamaian dan keharmonian yang mampu menjadi tunjang kepada agenda Keluarga Malaysia yang 'kalis' cabaran masa depan.

    Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

    Berita Harian X