Ahad, 10 April 2022 | 11:00am

Martabat bahasa Melayu jadi bahasa kedua ASEAN perlu kesepakatan

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menamatkan lawatan ke Indonesia baru-baru ini, salah satu pengumuman ialah cadangan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua bagi negara ASEAN.

Ketika ini semua orang memahami bahasa utama dan pengantara di ASEAN masa kini adalah bahasa Inggeris.

Ismail Sabri menyebut Presiden Indonesia, Joko Widodo turut menyokong saranan beliau walaupun tiada kenyataan secara rasmi dikeluarkan lstana Presiden.

Namun, kenyataan Ismail Sabrti ini tidak disanggah Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penelitian dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim yang mendakwa bahasa lebih layak diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN ialah bahasa Indonesia.

Beliau berhujah, bahasa Indonesia mempunyai penutur terbesar di ASEAN, berjumlah 279 juta orang di samping mendakwa ia turut digunakan di 47 negara.

Jika kita melihat kembali inti pati ucapan Ismail Sabri, apa yang kita dapati ialah tidak banyak perbezaan maksud saranan antara kedua-dua tokoh itu kecuali perbezaan penggunaan dan maksud istilah bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Keduanya, kenyataan di pihak menteri Indonesia itu boleh dianggap bersifat lndonesian centric dan mungkin belum menyelami apa dimaksudkan harapan Ismail Sabri.

Dalam kenyataan Ismail Sabri, beliau menyatakan secara jelas yang dimaksudkan istilah bahasa Melayu itu adalah bahasa dituturkan di negara seperti Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Myanmar, Filipina serta Kemboja.

Perdana Menteri menggunakan nama generic bahasa Melayu yang asal bagi negara Indonesia kini dikenali sebagai bahasa Indonesia.

Di media sosial tertentu, timbul perdebatan hangat mengenai apa itu bahasa Indonesia atau lebih tepat lagi asal usul bahasa Indonesia.

Bagi kumpulan tidak begitu mengetahui sejarahnya, mereka menganggap terdapat perbezaan jelas di antara kedua-dua bahasa ini.

Bahasa Indonesia adalah bahasa nasional bagi sebuah negara bangsa dan bahasa penyatu bagi negara itu.

Hakikatnya, bahasa Melayu dianggap sebagai salah satu daripada bahasa suku bangsa di Indonesia yang penutur asalnya mendiami di wilayah Kepulauan Riau dan bahagian tertentu di Sumatera dan Kalimantan.

Sejarah membuktikan bahasa Melayu pernah muncul dan berfungsi sebagai bahasa perdagangan dan bahasa pengantara atau lingua franca, sebagai bahasa istana, bahasa persuratan dan bahasa perkembangan agama Islam.

Ia digunakan sejak zaman Empayar Sriwijaya di antara kurun ketujuh hingga ke-14 berpusat di Sumatera yang berkesinambungan pula dengan empayar Melaka pada abad ke-15 hingga ke-16.

Dari sudut sejarah, bahasa Indonesia muncul hasil perjuangan pejuang bahasa, sasterawan dan budayawan negara itu daripada suku bangsa Melayu Riau yang melihat potensi bahasa Melayu untuk muncul sebagai bahasa penyatu wilayah kepulauan Melayu Nusantara didiami ratusan suku bangsa bertutur dalam bahasa dan dialek masing-masing yang amat berbeza.

Pada waktu itu, selain sebagai bahasa pengantara dan bahasa perdagangan, bahasa Melayu diguna secara meluas dalam dunia persuratan di Alam Melayu ini.

Karya Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Hamzah Fansuri, Munshi Abdullah dan sebagainya muncul sebagai hasil pengucapan minda rumpun Melayu-Nusantara pada peringkat supranasional.

Melalui acara Sumpah Pemuda di bawah pimpinan Muhammad Yamin pada 1928, bahasa Melayu terpilih untuk diangkat sebagai bahasa milik bersama bagi rakyat Indonesia yang gigih menuntut kemerdekaan daripada penjajah Belanda.

Maka mulai tarikh itu, terhasil satu bahasa yang asalnya adalah bahasa sukuan bagi etnik Melayu yang diangkat martabatnya menjadi bahasa nasional untuk sebuah negara baharu bernama Indonesia yang merdeka pada 1947.

Dalam konteks kenyataan Ismail Sabri, istilah bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa paling ramai penutur dalam wilayah ASEAN ini, ia turut merujuk bahasa Indonesia kerana asas serta asal usulnya adalah daripada bahasa Melayu.

Konteks ini sama seperti di Malaysia menggunakan istilah bahasa Malaysia yang sebenarnya bermaksud asalnya adalah bahasa Melayu.

Seperti orang Eropah kekal menggunakan satu nama saja untuk bahasa Inggeris atau English, walaupun bahasa itu adalah bahasa nasional bagi negara seperti Amerika Utara, Australia, New Zealand serta di negara lain juga.

Barangkali, aspek ini yang terlepas pandang di pihak negara jiran Malaysia, iaitu dari sudut sejarah perkembangan bahasa Indonesia itu sendiri yang nama asalnya adalah bahasa Melayu ditutur di alam Melayu.

Jika pemimpin negara ASEAN memilih bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi kedua, Malaysia patut menerima serta memberi sokongan yang padu tanpa perbahasan kerana keputusan ini sama seperti memilih bahasa Melayu baku.

Ia tetap sama walaupun tidak serupa, berbeza sedikit saja dari segi sebutannya. Perdana Menteri atau Menteri Luar serta menteri lain tidak perlu mengikuti satu kursus khas untuk menggunakan sebutan 'bahasa Melayu ala Indonesia' kerana ia lumrah digunakan sasterawan Malaysia.

Untuk menjernihkan perkara yang sedikit terganggu sehingga menjadi keruh kerana salah erti dan pemahaman dari segi penggunaan istilah bahasa Melayu, dicadang perlunya dikirim satu nota khas dari Pejabat Perdana Menteri Malaysia kepada Pejabat Presiden Indonesia mengenai pendirian Malaysia ini.

Seperti kata pepatah, 'carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga' atau 'air dicincang tak akan putus'.

Penulis adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X