Sabtu, 26 March 2022 | 10:00am

Keazaman politik kunci antarabangsakan bahasa Melayu

Bahasa Melayu yang akan diusahakan menjadi bahasa kedua ASEAN seperti dihasratkan dan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini, masih memerlukan persetujuan pemimpin negara serantau kerana negara ASEAN mempunyai sejarah dan tradisi bahasa masing-masing.

Bagaimanapun, jika ditinjau demografi penduduk ASEAN menggunakan bahasa Melayu, kita yakin hasrat itu dapat dijadikan kenyataan kerana penutur bahasa Melayu di rantau ini merangkumi jumlah yang besar.

Malaysia sahaja mempunyai penduduk 32 juta jiwa yang sebahagian besar boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Indonesia pula mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 274 juta. Walaupun terdapat pelbagai bahasa sukuan di negara itu, mereka menggunakan bahasa pemersatuan bahasa Indonesia yang berasal daripada bahasa Melayu.

Brunei pula dengan penduduknya kira-kira 483,000 mendaulatkan bahasa Melayu dengan slogan kenegaraannya, Melayu, Islam, Beraja.

Bahasa Melayu juga antara bahasa rasmi di Singapura dengan penduduk hampir 7 juta. Daripada jumlah itu, kira-kira 15 peratus hingga 20 peratus penduduknya, terutama berbangsa Melayu boleh menguasainya dengan baik. Perdana Menteri negara itu juga boleh bertutur bahasa Melayu tinggi.

Terdapat juga penutur bahasa Melayu di beberapa negara ASEAN lain. Sungguhpun mereka minoriti, bahasa Melayu masih hidup dalam kalangan mereka di Selatan Thailand, Vietnam, Kemboja dan Selatan Filipina.

Mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa warisan atau kerana urusan perniagaan atau kerana adanya pusat pengajian menggunakan bahasa Melayu yang digerakkan mereka yang pernah menuntut di negara ini atau Indonesia.

Timbul persoalan, adakah idea untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN ini suatu idea yang baharu?

Jika kita mengimbau kembali beberapa resolusi persidangan kebahasaan di negara kita atau matlamat pengantarabangsaan bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) umpamanya, idea ini sudah muncul sejak beberapa dekad lalu.

Sungguhpun resolusi atau matlamat berkenaan sudah diangkat 'ke atas,' segala-galanya tinggal
terapung-apung buat sekian lama.

Benarlah harapan pejuang bahasa dan pencinta bahasa Melayu bahawa keazaman politik atau political will amat diperlukan bagi mencapai sesuatu resolusi atau matlamat seumpama ini.

Justeru, Perdana Menteri membuka kunci keazaman politik berkenaan yang tampaknya memang dilandasi keikhlasan dan keyakinan terhadap potensi bahasa Melayu.

Perdana Menteri juga menyentuh beberapa program penegasan dan pengembangan bahasa Melayu. Antaranya adalah untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua acara kerajaan di dalam dan luar negara – suatu pendekatan yang tidak dilakukan pemimpin terdahulu.

Di samping itu Akta DBP akan ditambah baik dengan tujuan agar agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu ini lebih 'bertaring.'

Matlamat daripada penambahbaikan Akta DBP itu adalah untuk melihat bahasa Melayu digunakan dan dimartabatkan dalam pelbagai sektor kehidupan di negara ini.

Ilmu pengetahuan harus juga dikutip daripada tradisi keilmuan bahasa lain. Inilah dasar pemikiran Perdana Menteri apabila beliau mengumumkan akan memperkasa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Program terjemahan akan diperkembangkan dan kita berharap ini termasuk juga menterjemahkan buku mengenai Malaysiana dan karya sastera Melayu hebat ke bahasa dunia.

Perdana Menteri juga tampaknya mengambil berat akan penguasaan bahasa Melayu diplomat kita dan anak mereka di luar negara. Lantaran bertugas lama di luar negara dan anak mereka pula terdidik di sekolah antarabangsa, mereka tidak atau kurang menguasai bahasa Melayu.

Justeru, Perdana Menteri mahu masalah ini diatasi melalui program pendidikan bahasa Melayu yang sesuai kepada mereka.

Segala perancangan pengembangan bahasa Melayu yang diungkapkan Perdana Menteri itu penting. Bahasa Melayu harus dilihat cukup subur di tanah air sendiri untuk layak menjadi bahasa utama ASEAN.

Jika sebaliknya, iaitu taraf bahasa Melayu itu masih rendah di negara ini, tentu suatu ironi untuk menjadi bahasa kedua utama di ASEAN.

Strategi pengembangan bahasa Melayu kelihatan sudah direncanakan dengan baik dan meliputi kawasan luas.

Di samping pengembangan bahasa Melayu dalam negara, Perdana Menteri juga menyebut untuk menghidupkan kembali pusat pengajian Melayu atau kursi pengajian Melayu yang pernah hidup subur di beberapa universiti di Eropah, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea Selatan.

Strategi ini mengukuhkan harapan kita betapa bahasa Melayu memang layak menjadi warga bahasa dunia kerana bahasa Melayu antara bahasa besar dunia.

Perdana Menteri juga dilihat sebagai tokoh yang ingin menegaskan betapa pentingnya jati diri kita sebagai warga Malaysia yang melembagakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.

Beliau mengotakan dan memberi contoh langsung apabila baru-baru ini dalam kunjungan rasmi ke Vietnam, menggunakan bahasa Melayu dalam setiap perbincangannya.

Beliau menegaskan 'tidak harus berasa malu, sebaliknya berbangga dengan bahasa Melayu.' Beliau menggarisbawahi bahawa bahasa Melayu adalah nurani kita semua.

Berita Harian X