Khamis, 24 Februari 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Serius jayakan Pelan Antirasuah Nasional pulih kedudukan CPI

Pengumuman kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia seperti didedahkan Transparency International Malaysia (TI-M) baru-baru ini mendapat perhatian yang meluas daripada pelbagai pihak kerana ia mempunyai kesan positif dan negatif terhadap imej negara.

Kedudukan Malaysia dalam CPI dunia bagi 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke-57 pada 2020. TI-M menyatakan daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 48 berbanding skor sebanyak 51 pada tahun sebelumnya.

Pelbagai persoalan timbul dalam pemikiran rakyat mengenai punca sebenar kejatuhan CPI ini. Dalam hal ini, sebagai sebuah NGO antirasuah, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) terpanggil memberi maklum balas berdasarkan keadaan semasa secara adil dan saksama.

MCW menyeru kumpulan penyelidik yang terbabit dalam membuat penilaian indeks ini mengikut spesifikasi acuan Malaysia dan bukan berdasarkan persepsi diukur menggunakan fakta atau pembandingan dengan negara membangun lain.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak boleh terus berdiam diri atau mengambil sikap penafian selepas melihat CPI Malaysia jatuh tahun demi tahun. Ini menjadi tanggungjawab bersama sebagai rakyat menyelamatkan negara daripada terus musnah akibat gejala rasuah.

Pada tahun ini, keputusan CPI menunjukkan kejatuhan kedudukan Malaysia sangat serius dan membimbangkan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan meminta kerjasama orang ramai bagi membendung perbuatan rasuah berikutan pengumuman itu.

Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), sebuah agensi penting di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula menyatakan penurunan skor Malaysia ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara lain boleh memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

GIACC menyeru semua agensi peneraju supaya lebih cakna dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dikatakan pelan terbaik di dunia untuk menambah baik prestasi agensi kerajaan dan mempunyai impak besar dalam memastikan rasuah serta salah guna kuasa dibanteras dengan lebih tuntas di Malaysia.

MCW mengemukakan 25 persoalan berkenaan CPI ini kepada pihak TI-M pada 31 Januari lalu, namun sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak TI-M. Adakah terlalu rahsia untuk dinyatakan sebagai jawapan yang mampu meredakan kerisauan rakyat?

Pada pandangan MCW, persoalan itu amat penting untuk membantu memberikan keadilan kepada semua pihak, terutama kepada agensi kerajaan yang sangat fokus dalam melaksanakan tugasan dan mengatasi masalah rasuah dalam negara.

Persoalan berkaitan CPI dibahagikan kepada lapan perkara utama. Persoalan pertama ialah mengenai pihak memberi dana kepada penyelidikan CPI ini. Sekiranya negara menjadi penaja utama dana penyelidikan sentiasa berada pada kedudukan teratas, adakah adil kepada negara yang tidak mahu memberi sumbangan kepada NGO ini seperti Malaysia.

Kedua, jelas terlihat negara mengamalkan salah satu kesalahan rasuah yang serius, iaitu 'pengubahan wang' berada pada kedudukan baik dalam indeks ini. Kami meminta penjelasan namun, tiada jawapan daripada mereka sehingga saat ini.

Ketiga, agensi penguatkuasaan antirasuah negara, iaitu SPRM mengambil pelbagai tindakan agresif dengan menyiasat dan menangkap serta mengumumkan kes mereka dalam media. Tindakan ini memberi gambaran Malaysia benar serius melawan rasuah. Tidak wajar kes terbabit didiamkan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks ini.

Keempat, saban tahun TI-M menyebut isu pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik adalah antara faktor penyebab kedudukan Malaysia terus menjunam. Dalam hal ini, kita semua sedia maklum negara bertukar 'kerajaan pemerintah' sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun ini dan hakikatnya ketidakstabilan politik ini penyebab utama akta berkenaan tidak dapat dilaksanakan serta memberi kesan terhadap status kedudukan CPI Malaysia.

Adakah kedudukan Malaysia terus merudum sekiranya ketidakstabilan politik negara tidak pulih?

Kelima, TI-M sering dilibatkan dalam pelbagai perbincangan berkaitan transformasi kerajaan dan menerima makluman mengenai status penambahbaikan ini. Soalnya, mengapa TI-M tidak menggunakan maklumat dan pengetahuan itu untuk membuat justifikasi tepat dan dapat memberi keadilan kepada kedudukan Malaysia menerusi indeks ini.

Keenam ialah berkenaan kaedah kajian CPI yang membandingkan 'epal' dengan 'oren' pastinya akan memberikan keputusan penilaian yang sangat tidak tepat. Sebagai contoh, membandingkan Denmark dan Somalia berdasarkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi (inflasi dan kadar pengangguran) dan lain-lain sedangkan semua faktor ini adalah penyumbang utama kepada berlakunya jenayah rasuah.

Ketujuh, tidakkah TI-M bercadang untuk melaksanakan kajian CPI khusus mengikut acuan Asia atau ASEAN atau khusus untuk negara Islam supaya dapat mencatatkan CPI lebih adil kepada negara Asia dan juga negara Islam.

Selain itu, kami turut bertanya adakah terdapat sesuatu kriteria yang dijadikan sebagai syarat penyertaan dan pengecualian bagi setiap negara yang terbabit dalam ranking berkenaan. Kami mendapati Brunei Darussalam tidak tersenarai dalam ranking CPI pada tahun ini.

Adakah ia by default atau setiap negara akan terus dinilai sekiranya tiada bantahan dikemukakan. Bolehkah Malaysia mengambil pendirian berkecuali daripada penilaian ini pada tahun akan datang kerana pengumuman CPI ini lebih banyak memberi kesan buruk berbanding kebaikannya kepada pembangunan dan imej negara.

Secara dasarnya, pengumuman CPI ini 'kejutan terbaik' di atas kelalaian dan sikap tidak ambil berat kita melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menjadi dokumen utama kerajaan memerangi rasuah.

MCW mengakui komitmen kerajaan amat penting dalam menjayakan pelan ini demi menjamin kesejahteraan generasi Keluarga Malaysia yang bebas rasuah pada masa hadapan.

Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Berita Harian X