Rabu, 23 Februari 2022 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pinda Perlembagaan beri kuasa penuh semak kehakiman Mahkamah Syariah

Sekali lagi hal berkaitan pengasingan kuasa antara negeri dengan Persekutuan membabitkan hal ehwal Islam mendapat perhatian umum apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diisytiharkan tidak mempunyai bidang kuasa atau tidak kompeten untuk menggubal peruntukan di bawah Seksyen 66A itu. Maksudnya, DUN bukan badan perundangan kompeten untuk membuat peruntukan berkenaan dan seksyen digubal menjadi tidak sah.

Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor memperuntukkan, antara lain Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman ke atas keputusan dibuat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau jawatankuasa menjalankan fungsi di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 (Enakmen 2003) Seksyen ini dimasukkan dalam Enakmen 2003 menerusi pindaan pada 2015.

Sebelum ini, awal tahun lalu, Mahkamah Persekutuan juga membuat keputusan DUN Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat undang-undang bagi kesalahan liwat kerana kesalahan itu adalah satu jenayah terletak di bawah ruang lingkup kuasa badan perundangan Persekutuan, iaitu Parlimen.

Bagi kebanyakan masyarakat, apabila membabitkan hal ehwal Islam, ramai menganggap semuanya terletak hak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan badan kompeten untuk membuat undang-undang berkaitan hal ehwal Islam adalah DUN. Kefahaman ini boleh dikatakan sebagai kefahaman umum.

Dalam hal ehwal pembahagian atau pengasingan kuasa antara negeri dengan Persekutuan dalam hal ehwal Islam, terdapat beberapa komplikasi lain bersifat teknikal. Kuasa semakan kehakiman ini adalah antaranya.

Hal berkaitan semakan kehakiman adalah antara perkara rumit dalam pembahagian atau pengasingan kuasa dalam sebuah negara Persekutuan.

Semakan kehakiman secara ringkas adalah kuasa badan kehakiman (mahkamah) untuk menyemak keputusan mana-mana pihak atas sebab, antara lain, ia bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang bertulis, termasuk Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang lain.

Semakan kehakiman juga boleh membabitkan semakan oleh mahkamah atas tindakan pihak eksekutif berkaitan pentadbiran. Contohnya, pihak eksekutif tidak menepati prosedur dalam membuat sesuatu tindakan. Umpamanya, lihat keputusan kes Indira Gandhi dibuat Mahkamah Persekutuan, awal 2018.

Bagi memahami konsep semakan kehakiman, beberapa perkara perlu diteliti dan dirungkai dengan jelas. Ini termasuk pertama, sifat negara sebagai sebuah negara Persekutuan; kedua, prinsip ketinggian Perlembagaan; ketiga konsep kuasa kehakiman dan keempat, konsep kebebasan kehakiman.

Di bawah sistem pentadbiran sebuah negara Persekutuan, lazimnya mahkamah paling tinggi adalah mahkamah mempunyai bidang kuasa semakan kehakiman. Mahkamah pada peringkat Persekutuan adalah mahkamah mempunyai bidang kuasa dalam menentukan sebarang kes membabitkan hal ehwal berkaitan Persekutuan, termasuk kedudukan legislatif pada peringkat negeri.

Sifat Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara menyatakan Perlembagaan Persekutuan adalah rujukan paling utama dalam menentukan keabsahan atau keberperlembagaan suatu undang-undang, yang setiap undang-undang diluluskan mana-mana badan perundangan hendaklah selaras dengan Perlembagaan.

Termasuk di sini, badan perundangan, Parlimen atau DUN hendaklah juga bertindak mengikut kuasa atau bidang kuasa ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu dalam konsep kuasa kehakiman, ia terletak hak (vested) oleh badan kehakiman. Di negara kita, sebelum pindaan kepada Perkara 121(1) pada 1988, kuasa kehakiman disebut dengan jelas terletak hak kepada badan kehakiman.

Namun, selepas pindaan, letak hak kuasa kehakiman kepada badan kehakiman dibaca secara implikasi kerana tiada lagi vesting clause itu. Keputusan mahkamah mutakhir menyatakan kuasa kehakiman secara semula jadi berada pada mahkamah pada peringkat Persekutuan.

Seterusnya mahkamah hendaklah bebas dalam membuat keputusan berpandukan undang-undang dan metodologi tafsiran tepat berasaskan teori penafsiran undang-undang.

Berasaskan konsep dan prinsip dijelaskan di atas, jelas Perlembagaan Persekutuan mempunyai prinsip itu. Namun, beberapa persoalan mungkin berlegar dalam fikiran khalayak, terutama dalam hal pembahagian atau pengasingan kuasa ini.

Antara persoalan berkaitan dengan pembahagian kuasa itu ialah pertama, adakah DUN mempunyai kuasa mutlak untuk membuat apa juga undang-undang berkaitan hal ehwal Islam dan kedua, adakah Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar segala macam kes membabitkan agensi atau institusi Islam pada peringkat negeri, termasuk adakah Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman.

Dari sudut peruntukan dalam Butiran 1, Senarai Negeri, pada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah dinyatakan dengan jelas Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa seperti diperuntukkan dalam undang-undang dibuat DUN.

Oleh itu, DUN dianggap khalayak sebagai pihak kompeten untuk membuat undang-undang berkaitan perundangan dan pentadbiran hal ehwal Islam, termasuk bidang kuasa menetapkan kuasa semakan kehakiman ke atas perkara termaktub sebagai di bawah bidang kuasa negeri.

Walaupun anggapan kebanyakan khalayak, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia), kelmarin, kuasa membuat semakan kehakiman, walaupun dalam hal substantif berkaitan hal ehwal Islam, adalah di luar bidang kuasa DUN.

Kesan keputusan ini ialah sebarang tindakan majlis agama Islam atau jawatankuasa di bawah enakmen pentadbiran agama Islam adalah tertakluk kepada mahkamah pada peringkat Persekutuan (iaitu mahkamah diistilahkan sebagai mahkamah sivil).

Mungkin ada dalam kalangan khalayak mahukan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa membuat semakan kehakiman ke atas apa juga perkara membabitkan hal ehwal Islam atau agensi Islam di negeri, maka kehendak ini tidak dapat dipenuhi dengan pendirian tafsiran dibuat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan ini.

Justeru, bagi membolehkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa semakan kehakiman, maka DUN hendaklah diberikan atau dijamin sepenuhnya bidang kuasa membuat undang-undang itu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan ini hendaklah dengan jelas menyebut DUN mempunyai bidang kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan semua perkara dalam hal ehwal Islam, termasuk bidang kuasa membuat peruntukan berkaitan semakan kehakiman secara eksklusif ke atas semua perkara terletak hak di bawah kuasa negeri.

Pindaan seumpama juga boleh dibuat dengan menjelaskan letak kuasa membuat semakan kehakiman khusus juga kepada mahkamah pada peringkat Persekutuan untuk perkara berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Kuasa melakukan semakan kehakiman dikatakan terletak pada mahkamah pada peringkat Persekutuan itu juga tidak mempunyai peruntukan eksplisit atau harfiah. Dengan kata lain, kuasa semakan kehakiman berkenaan adalah diambil atas peruntukan umum berkaitan kuasa kehakiman dikatakan letak hak kepada mahkamah pada peringkat Persekutuan.

Penulis adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Berita Harian X