Sabtu, 25 September 2021 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kreativiti tenaga kerja universiti corak usahawan graduan digital

Keusahawan digital dapat memecah kebuntuan masalah pengangguran siswazah yang menjadi isu sejak lebih dua dekad lalu, bahkan semakin meruncing akibat COVID-19.

Dalam kajian terbaru Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bertajuk Kesan Pandemik Terhadap Peluang Pekerjaan Di Kalangan Graduan pula mendedahkan bilangan siswazah menganggur meningkat kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya dengan 70 peratus daripadanya membabitkan graduan Bumiputera.

Ia lebih kritikal apabila kajian sama mendapati sebahagian besar jumlah itu adalah dalam kalangan kumpulan B40 dan M40 yang bergantung kepada gaji dan upah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Justeru, keusahawanan sebagai tulang belakang ekonomi negara menjadi pemangkin perubahan dan perkembangan ekonomi. Malah sejak pandemik, keusahawanan masih giat dilaksanakan demi kelangsungan industri, komuniti dan individu.

Sebenarnya, dalam sektor pendidikan, kerajaan memperkenal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2016-2020 sebagai persediaan kepada bakal mahasiswa melangkah ke arah keusahawanan digital, seterusnya menarik minat mahasiswa menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya.

Selaras hasrat memperkasakan pendidikan keusahawanan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021-2025 pada Februari 2019.

Pelan ini menterjemahkan penambahbaikan strategi pelaksanaan sedia ada, selain menggariskan strategi baharu bagi mencapai hasrat melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduan. Matlamat utama pelan tindakan itu adalah bagi mentransformasi landskap keusahawanan di IPT, daripada keusahawanan berasaskan keperluan kepada berasaskan peluang.

Langkah ini dilihat amat bersesuaian dengan pandemik COVID-19 yang menyaksikan pemerkasaan penggunaan digital sebagai norma baharu diamalkan dalam pelbagai gerak kerja seharian.

Mahasiswa perlu bijak melihat dan merebut peluang di samping memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran dan teknologi.

Isu lambakan graduan umumnya dikaitkan pelbagai faktor seperti kurang penguasaan bahasa Inggeris, permintaan rendah majikan untuk kursus diambil graduan dan sikap terlalu memilih pekerjaan. Terdapat juga kajian ilmiah mendapati masalah pengangguran disebabkan sesuatu pekerjaan tidak sepadan dengan kemahiran dimiliki graduan.

Laporan Kajian Pengesanan Graduan pada 2019 dikeluarkan KPT melaporkan 10.4 peratus daripada 14,118 graduan, belum bekerja hingga 2020, iaitu membabitkan 1,468 graduan universiti awam (UA), institut pengajian tinggi swasta (295 ) dan IPT lain-lain (seorang).

Data ini membimbangkan kerana ia belum berubah seperti tahun sebelumnya yang mencatat kadar pengangguran pada paras peratusan hampir sama, iaitu 10.8 peratus. Bagaimanapun, bilangan siswazah bekerja meningkat kepada 6.9 peratus pada 2020, iaitu 4.25 juta orang berdasarkan Statistik Siswazah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Namun, jumlah itu masih membimbangkan kerana jauh lebih rendah berbanding bilangan keluaran graduan setahun, iaitu dalam lingkungan 300,000 graduan. Masalah pengangguran graduan berpanjangan akan memberi impak negatif kepada kemajuan dan pembangunan negara dalam usaha mencapai hasrat serta aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berpendapat masalah pengangguran dalam kalangan graduan dapat diatasi dengan menerokai bidang keusahawanan dan memanfaatkan revolusi platform digital.

Ini selaras pandangan pada peringkat berhubung rapat dengan kampus seperti Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri yang menegaskan perlunya peluang dan ruang perniagaan diberikan kepada pelajar di universiti untuk memastikan keusahawanan dapat dipupuk dan dilatih ketika di universiti.

Cara ini dapat membantu pelajar untuk memahami selok-belok menjalankan perniagaan dan memberi kemahiran kepada mereka sebelum bersedia melangkah ke dunia keusahawanan.

Ini menunjukkan perkembangan bidang keusahawanan bergantung kreativiti tenaga kerja sesebuah universiti untuk mencorakkannya. Hakikat inilah juga yang mendorong Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjalankan pelbagai usaha, termasuk menggalakkan mahasiswa menceburi perniagaan secara digital selari perkembangan semasa.

Profesor Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), UMK, Prof Dr Raja Suzana Raja Kasim menjelaskan kejayaan melahirkan usahawan digital dalam kalangan siswazah universiti berkenaan antaranya disebabkan kurikulum pendidikan keusahawanan sedia ada bersifat terkini, mengikuti arus dunia dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan bergerak ke arah keusahawanan mapan, sekali gus dapat melahirkan usahawan halal dan patuh syariah.

Mahasiswa dan graduan harus bertindak lebih keusahawanan dan memanfaatkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 sebaiknya.

Ada pelbagai ruang dan peluang disediakan untuk memastikan ilmu keusahawanan dapat disalurkan kepada golongan ini, sekali gus memberi manfaat kepada mereka. Mahasiswa dan graduan juga perlu lebih banyak membaca bahan ilmiah serta maklumat terkini bagi memastikan mereka mendapat hebahan maklumat berguna.

Kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif dari semasa ke semasa seperti contohnya Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT–Career Advancement Programme khusus untuk graduan. KPT juga memperluas kerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam menawarkan program serta latihan keusahawanan.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menawarkan program KPT-MEDAC: Siswapreneur dirangka untuk usahawan pelajar dan akan ditawarkan pembiayaan mikro kredit oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Dengan adanya Pelan PTK IPT 2021-2025 ini, diharapkan agar ia dapat mencapai matlamat dan sasarannya untuk memastikan pembentukan ekosistem keusahawanan di IPT lebih menyeluruh, kondusif dan lestari.

IPT perlu menjadikannya sebagai garis panduan dalam memformulasikan program pendidikan keusahawanan secara terancang dan mantap untuk membangunkan kecenderungan, minat dan aspirasi kerjaya keusahawanan pelajar IPT dan merealisasikan aspirasi kerjaya keusahawanan sebagai kerjaya pilihan mereka.

Pelaksanaan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang kini berada di Fasa 1 diharapkan akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025) seterusnya dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa dan graduan ke arah melaksanakan keusahawanan digital.

Kedua penulis adalah adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan

Berita Harian X