Rabu, 16 Disember 2020 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Konsensus politik, kompromi hiasi drama Belanjawan 2021

DRAMA pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 berakhir apabila Dewan Rakyat meluluskan selepas bacaan kali ketiga.

Ia menafikan dakwaan bahawa belanjawan kali ini gagal mendapat sokongan, sekali gus memberi kesan khususnya kepada perkembangan politik negara.

Dengan perbezaan hanya tiga undi - 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir - Belanjawan 2021 akan dibawa ke Dewan Negara untuk ke peringkat seterusnya.

Belanjawan 2021 diluluskan secara dasar pada 26 November lalu dengan undian belah bahagian.

Pengundian semalam mendapat perhatian apabila masih ada gerakan untuk menggagalkan kelulusan Belanjawan 2021.

Sidang media dua seteru politik yang kini menjadi rakan, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, secara jelas menolak Belanjawan 2021.

Belanjawan kali ini sangat signifikan kerana ia sudah berkait dengan agenda politik, termasuk membabitkan masa depan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, pembentangan Belanjawan 2021 ini dikenal pasti kumpulan tertentu sebagai satu platform terbaik untuk membawa agenda politik bagi menukar kerajaan. Namun, ternyata perancangan mereka gagal lagi dan tidak kesampaian.

Sejak Belanjawan 2021 ini dibentangkan pada 6 November lalu, seluruh perhatian rakyat Malaysia tertumpu kepada urusan penting ini.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, belanjawan berjaya menarik minat mendalam rakyat lebih-lebih lagi beberapa perkara diangkat dan disensasikan wakil rakyat, khususnya berkaitan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Belanjawan 2021 yang diluluskan semalam diperdebatkan secara mendalam sebelum ini oleh wakil rakyat di Parlimen.

Banyak penambahbaikan dilakukan untuk memastikan semua pihak berpuas hati dan dengan itu, belanjawan boleh diluluskan.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang kemudian dijenamakan sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-Kom misalnya, dikurangkan separuh daripada jumlah asal, hasil daripada kritikan dalam perbahasan dan masyarakat awam.

Perkembangan yang berlaku sekitar pengundian belanjawan kali ini jelas menghantar kita beberapa mesej.

Pertama, kerajaan perlu berkompromi dan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan semua pihak, sama ada pembangkang serta parti politik seperti UMNO dan lain-lain dalam rang undang-undang selepas ini, bagi mendapatkan konsensus.

Kedudukan kerajaan dengan majoriti tipis mendesak mereka untuk mendapatkan sokongan pihak lain melalui perbincangan dan tawar-menawar.

Bagaimanapun, kedudukan kerajaan semasa tidak sewajarnya menjadi alasan dan justifikasi kepada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk meraih populariti dengan mengetepikan kepentingan rakyat.

Dalam kata lain, kepentingan negara perlu mendahului kepentingan politik.

Kedua, kerajaan PN masih mempunyai masa dan peluang untuk membuktikan bahawa mereka boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dengan kelulusan Belanjawan 2021 ini, mereka boleh menggunakan peruntukan yang diluluskan ini untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Barisan menteri di kementerian juga boleh meneruskan tugasan seperti biasa dan melaksanakan setiap dasar yang dipersetujui untuk kepentingan semua pihak berkepentingan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) misalnya melancarkan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang bermatlamat memacu ekonomi bernilai tinggi baru-baru ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula boleh meneruskan agenda menambah nilai sektor pendidikan tinggi negara, khususnya dalam usaha memperkasa kualiti pelajar dengan nilai kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelawan.

Perubahan landskap dalam ekosistem pendidikan tinggi sewajarnya menjadi fokus kementerian dengan penjajaran baharu seiring perubahan impak COVID-19.

Ketiga, selepas kelulusan Belanjawan 2021 ini, kita sedia maklum bahawa kerajaan semasa masih kekal. Namun, persoalannya sampai bilakah kerajaan ini boleh dipertahankan?

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan sejurus penularan pandemik COVID-19 berakhir.

Memandangkan penularan pandemik masih berlaku dan dunia dijangka berhadapan dengan fasa 'hidup dengan COVID-19' sukar untuk memastikan bilakah kita benar-benar bebas daripada virus ini. Hanya masa yang menentukan.

Keempat, semakin lama jangka hayat kerajaan, maka sudah tentu akan berlaku lagi drama politik dan usaha untuk menukar kerajaan.

Mampukah kerjasama Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh atau Ku Li yang diibaratkan sebagai 'politik gegar vaganza' menggugat kerajaan sedia ada? Adakah masih relevan pendekatan 'otai masih berbisa'?

Kelima, PRU-15 boleh menjadi jawapan kepada semua kekalutan politik dengan mengembalikan mandat kepada rakyat. Malah ramai yang menebak bahawa 2021 adalah tahun pilihan raya atau PRU-15.

Belanjawan 2021 mencipta sejarah tersendiri apabila ia menyaksikan pelbagai aksi, drama dan tingkah laku wakil rakyat yang diperhati secara cermat oleh rakyat.

Belanjawan ini juga menzahirkan kepentingan kesenian politik untuk mencapai kompromi dan konsensus demi mencapai satu-satu matlamat.

Perkembangan yang berlaku sekitar pembentangan dan pengundian Belanjawan 2021 banyak memberi pengajaran tentang cabaran kehidupan.

Apa yang perlu diperjuangkan dan apa yang perlu dikompromikan. Cabaran jugalah yang akan merangsang kehidupan kita.

Mengakhiri tulisan ini, saya suka memetik ungkapan daripada Allahyarham Prof Diraja Ungku Aziz yang menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam.

Beliau menyebut dalam kata pengantar buku Mahasiswa Menggugat tulisan Muhammad Abu Bakar: "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar. Al-Fatihah.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan karyawan tamu Jabatan Pengajian Tinggi (JPT)

Berita Harian X