Selasa, 1 Disember 2020 | 11:00am

Gabungan besar perkukuh PN, stabilkan politik negara

KELULUSAN Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) pada peringkat dasar Khamis lalu, memperlihatkan pelbagai peristiwa menarik. Belanjawan kali ini memang paling mencabar dalam sejarah negara.

Di sebalik keriuhan, kita masih boleh meraikan sesuatu daripadanya apabila jelas melihat prinsip no taxation without representation yang menunjangi belanjawan sesebuah negara masih kukuh diamalkan.

Namun, dari satu sisi diperlihatkan bagaimana lemahnya prinsip itu yang terlalu bergantung kepada majoriti sokongan daripada 222 Ahli Parlimen bersidang. Jelas, ketiadaan majoriti sokongan mampu menjejaskan perjalanan kewangan kerajaan yang menjadi nadi kemakmuran negara.

Mujur masih ada kematangan dan rasa tanggungjawab antara kerajaan dan blok pembangkang sepanjang perbahasan, sebelum belanjawan akhirnya diluluskan biarpun diwarnai drama serta kontroversi mendebarkan.

Menarik diperhatikan adalah persoalan majoriti itu sendiri. Belanjawan 2021 menjadi perdebatan hangat berbanding sebelumnya, disebabkan rapuhnya majoriti dan sokongan diterima kerajaan dalam mempertahankannya.

Blok pembangkang dilihat lebih menyerang kredibiliti kerajaan atas kemampuan mereka memperoleh majoriti untuk mempertahankan usul, berbanding menolak belanjawan itu sendiri.

Sepanjang perbahasan atau perdebatan berlangsung, isu utama ditekankan adalah jumlah nilai dan peruntukan tertentu yang tidak dimasukkan dalam belanjawan.

Secara umum, ini dilihat baik untuk memperkasakan belanjawan itu sendiri. Malah, ia juga bagus untuk perkembangan politik dan demokrasi negara jangka masa panjang.

Jelas kedua-dua pihak menunjukkan kesungguhan untuk menghasilkan satu belanjawan lengkap dan bermanfaat kepada setiap lapisan masyarakat yang terkesan dengan pelbagai kesukaran disebabkan COVID-19.

Namun dari sudut politik, ia masih tidak menunjukkan ada perubahan signifikan, terutama dalam aspek bekerjasama. Jelas, Belanjawan 2021 memperlihatkan politik negara masih berterusan dibelenggu amalan membentuk pakatan politik bagi menentang segelintir parti politik.

Secara umum, ini dapat dilihat apabila setiap parti menjadi amat terbuka dan ada strategi tersendiri dalam memastikan kelangsungan mereka disebabkan masing-masing ada pengaruh, kepentingan dan kekuatan dalam mempengaruhi kerajaan.

Lebih malang, ia menjadi lebih kuat kalau pengaruh dan kepentingan berkenaan mampu menjejaskan kekuatan kerajaan.

Dalam konteks semasa, Belanjawan 2021 menepati ciri-ciri pembentukan pakatan politik seperti dijelaskan. Perkara ini tidak bagus untuk kestabilan politik negara pada jangka masa panjang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri menyedarinya. Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabtu lalu, beliau secara jelas menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebaik pandemik COVID-19 berakhir.

Ini sekali gus secara tersirat menggambarkan kerapuhan kerajaan pimpinan beliau ketika ini yang sudah dua kali hampir dijatuhkan di Parlimen menerusi Belanjawan 2021 serta pelantikan Speaker Dewan Rakyat Julai lalu.

Muhyiddin sedar PN gagal menjadi sebuah grand coalition atau gabungan besar dalam membentuk kerjasama politik ampuh dan mantap. Berbanding Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Harapan (PH) – walaupun singkat jangka hayatnya – PN lebih goyah dan bercelaru konsepnya.

Bercelaru kerana adanya Muafakat Nasional (MN) yang turut sama wujud dan menyaingi PN sebagai gabungan politik. Goyah kerana pakatan PN bersifat kerjasama sementara yang longgar dan bersyarat.

Lebih malang, BERSATU yang menunjangi PN tidak memiliki kuasa perundingan yang mampu mewujudkan keseimbangan kalaupun tidak kuasa pemutus dalam menentukan keputusan.

Justeru, keperluan memperbesarkan PN sebagai sebuah gabungan yang lebih besar sangat perlu.

Ketika BN berkuasa, kerjasama dibentuk sebagai sebuah pakatan besar sangat kukuh dan bertahan lebih lama.

Dalam BN, UMNO mampu 'mengatur permainan' disebabkan jumlah besar kerusi yang dikuasainya dalam Parlimen. Pada masa sama, UMNO bijak dan memahami konsep tolak ansur yang menjadi asas penting dalam sesebuah kerjasama dan pembentukan konsensus.

Tiga inti pati amalan dalam BN ketika itu – kerahsiaan, tidak mempolitikkan isu dan prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju – berjaya mengelak perasaan syak wasangka dan politiking melampau mana-mana pihak, selain faktor insentif ditawarkan bagi mengendurkan persaingan.

Agak mustahil BERSATU menjadi seperti UMNO dalam PN. Sebarang percubaan menjadikan BERSATU parti dominan dalam PN, hanya akan membawa perpecahan PN itu sendiri.

Ini dapat diperhatikan ketika BERSATU berada dalam kerajaan PH. Idea menjadikan BERSATU kuat dan berpengaruh dengan menambah kekuatan melalui penghijrahan Ahli Parlimen UMNO ke BERSATU ternyata memecahkan PH.

Dengan UMNO kini bersama BERSATU sebagai sebuah kerajaan dan UMNO belum boleh bekerjasama erat dengannya, menyaingi UMNO secara terbuka jelas bukan tindakan bijak.

Tambahan pula berbanding ketika dalam PH, BERSATU dan UMNO adalah saingan setara dari sudut ideologi dan konsep - sebagai wadah siasah orang Melayu.

Sudah tentu lebih banyak manfaat diperoleh dengan bekerjasama berbanding bersaing sesama sendiri. Justeru, ada beberapa prasyarat perlu dilakukan bagi membolehkan kerjasama sebagai satu gabungan besar itu wujud.

Pertama, setiap parti mampu menerima dan menyesuaikan kepentingan masing-masing sebagai sebuah pakatan. Kedua, setiap parti sanggup mengetepikan perbezaan dan bersedia berkompromi bila-bila masa dan ketiga, ada kesedaran bahawa politiking berlebihan oleh mana-mana pihak akan merugikan pakatan secara keseluruhan.

Kalau tiga prasyarat ini dapat dilakukan, tidak mustahil PN akan muncul sebagai pakatan politik kuat dan mampu membawa kestabilan politik kepada negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban

Berita Harian X