Jumaat, 17 Julai 2020 | 10:42am

Sikap di Parlimen cerminan kualiti wakil rakyat

PERSIDANGAN dan perbahasan di Parlimen yang menjadi badan perundangan bertanggungjawab melulus dan meminda undang-undang, Perlembagaan serta dasar kerajaan sering diikuti rakyat.

Parlimen Malaysia terbahagi kepada Dewan Rakyat yang anggotanya dipilih pada pilihan raya dan Dewan Negara dengan anggotanya dilantik berdasarkan Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan menjadi undang-undang, ia dibahaskan di kedua-dua Dewan sebelum perkenan Yang Di-Pertuan Agong. Perbahasan berpandukan Peraturan Majlis Mesyuarat.

Dengan kedudukan itu, sudah tentu menjadikan perbahasan di Dewan Rakyat sering diikuti rakyat kerana membabitkan wakil yang mereka pilih .

Namun, sejak beberapa tahun lalu, perbahasan di Dewan Rakyat sering dikritik kerana kualiti yang rendah, manakala bahasa dan tingkah laku anggota Dewan tidak menggambarkan profesionalisme sebagai wakil rakyat.

Penggunaan bahasa kesat, panggilan nama tidak sesuai, tidak menghormati peraturan mesyuarat serta gangguan ketika seseorang anggota Dewan sedang bercakap antara beberapa kritikan terhadap sebahagian wakil rakyat di Dewan.

Sikap segelintir anggota Dewan tidak menghormati peraturan mesyuarat memberikan imej tidak baik kepada masyarakat.

Apatah lagi persidangan Parlimen sering dihadiri pelajar, di samping disiarkan secara langsung untuk tatapan masyarakat. Sikap tidak profesional dengan penggunaan bahasa tidak sopan membawa reaksi negatif masyarakat yang menonton perbahasan berkenaan.

Ramai mengeluh dan kecewa dengan tingkah laku sebahagian Ahli Parlimen yang seolah-olah langsung tidak menghormati kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi di negara ini.

Sikap dan tingkah laku anggota Dewan Rakyat turut mencerminkan kualiti keperibadian seseorang wakil rakyat. Selepas dipilih, sudah tentu rakyat meletakkan harapan tinggi kepada wakil berkenaan untuk memperjuangkan isu yang berkait dengan mereka.

Kemiskinan, pengangguran, peluang pekerjaan, kenaikan kos sara hidup, peningkatan kadar jenayah, bantuan kepada B40 dan rumah mampu milik antara isu sangat dekat dengan masyarakat.

Jadi, sudah tentu masyarakat mahukan wakil rakyat membahaskan isu sebegini demi menjaga kepentingan mereka.

Namun, apabila perbahasan disaksikan lebih kepada perkara remeh dan memperlihatkan tingkah laku serta sikap tidak profesional, tentu masyarakat akan kecewa dengan wakil rakyat dipilih itu.

Namun, majoriti anggota Dewan Rakyat menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik ketika berbahas. Ramai wakil rakyat membuat persiapan rapi sebelum mengemukakan soalan kepada wakil kerajaan.

Kualiti soalan dan perbahasan bermutu sudah tentu menonjolkan imej baik, bukan sahaja kepada wakil rakyat berkenaan bahkan kepada negara kerana siaran langsung perbahasan boleh ditonton negara jiran yang memahami bahasa Melayu seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Rakyat pasti menginginkan wakil mereka menunjukkan kualiti perbahasan yang baik seperti sering mereka tonton ketika wakil rakyat di Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berbahas secara profesional serta beretika.

Kita sudah tentu tidak mahu senario perbahasan sehingga melempar kerusi, bergaduh dan bercakaran sesama sendiri seperti berlaku di Taiwan, Hong Kong serta Korea Selatan turut berlaku di negara ini.

Justeru, wakil rakyat kita perlu sentiasa mengemas kini maklumat mereka agar setiap soalan dikemukakan dan pandangan diberi berdasarkan ilmu pengetahuan serta penyelidikan.

Di samping itu, pandangan dan soalan dikemukakan perlu dengan nada dan ucapan berhemah serta mengikut peraturan mesyuarat agar sidang Parlimen berjalan lancar dan tiada insiden tidak diingini berlaku.

Wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu terdiri daripada mereka mempunyai latar belakang berbeza dengan pelbagai pengalaman politik. Oleh itu, sudah tentu anggota Dewan berpengalaman dapat menunjukkan contoh dan teladan baik kepada anggota yang muda supaya turut sama terbabit dalam perbahasan dengan mengemukakan soalan serta pandangan berkualiti melalui tingkah laku berhemah dan sopan.

Adalah wajar untuk wakil rakyat terbabit dalam perbahasan menilai semula tindakan dan tingkah laku mereka ketika bersidang. Jangan menganggap apa yang mereka lakukan, terutama ketika berbahas tidak memberikan kesan kepada masyarakat.

Walaupun masyarakat tidak menyuarakan secara terbuka kehampaan dan kekecewaan terhadap cara serta tingkah laku tidak sopan dan profesional sebahagian kecil anggota Dewan, wakil rakyat perlu menyedari setiap tindakan mereka ditonton umum.

Apa yang baik pasti sikap berhemah akan menjadi ikutan di samping mendapat pujian masyarakat. Namun, tingkah laku yang tidak sesuai pasti memberi kesan negatif kepada masyarakat, terutama generasi muda yang mempunyai aspirasi untuk terbabit dalam politik sebagai pewaris kepemimpinan pada masa depan.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Intergriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X