Rabu, 20 Mei 2020 | 10:01am
AL-SULTAN Abdullah menyampaikan titah Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14
AL-SULTAN Abdullah menyampaikan titah Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14

Titah Seri Paduka di Parlimen rungkai pelbagai isu, persoalan

SELEPAS berhadapan pelbagai kemelut menyesakkan nafas rakyat, mahupun pemerhati politik, termasuk cubaan pembangkang mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14, kelmarin, berlangsung secara aman tanpa sebarang masalah.

Selain kematangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof mengendalikannya, kelancaran sidang Parlimen ini sendiri banyak berpunca daripada kandungan titah Diraja Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merungkaikan banyak isu, sekali gus menjawab pelbagai persoalan bermain dalam fikiran rakyat.

Perkara pertama dirungkai adalah betapa baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita dalam mengendalikan kemelut berpunca peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM.

Keneutralan YDPA dalam mengendalikan kemelut pada 24 Februari lalu jelas terserlah dalam titah baginda bahawa dalam pertemuan dengan Dr Mahathir sekitar jam 5 petang itu, baginda meminta tokoh berkenaan untuk tidak meletak jawatan, tetapi beliau tetap dengan keputusannya.

Dapat dilihat kebijaksanaan YDPA melaksanakan tugas kerana baginda sedar jika Dr Mahathir tetap meletak jawatan sudah tentu krisis akan berlaku sedangkan negara ketika itu sudah mula menghadapi pandemik COVID-19. Namun, baginda tidak memaksa apabila Dr Mahathir tetap dengan keputusannya.

Jika YDPA bersikap memihak ke arah kerajaan yang ada sekarang atas dasar pertimbangan perkauman, sudah pasti baginda langsung tidak akan berusaha meminta Dr Mahathir untuk tidak meletak jawatan, tetapi segera menerimanya tanpa apa-apa keraguan. Namun, hal sedemikian tidak berlaku.

Begitu juga titah YDPA mengenai tanggungjawab baginda melantik PM yang baharu seperti dikehendaki Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada baginda untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dapat diperhati ketelitian YDPA melakukan semua proses diperlukan semata-mata untuk memastikan lantikan PM yang baharu dilakukan secara telus dan adil, termasuk mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli Parlimen untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

Ia termasuk tindakan baginda menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang Ahli Parlimen sebagai bakal PM, selain melanjutkan tempoh bagi parti politik mengemukakan pencalonan agar tempoh cukup diberikan untuk membuat perhitungan secara demokrasi.

Oleh itu, sebarang persoalan mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai PM ke-8 tidak wajar lagi berbangkit. Hanya selepas melalui semua proses terbabit dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, barulah YDPA memutuskan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan melantik beliau ke jawatan itu.

Ketepatan keputusan YDPA melantik Muhyiddin sebagai PM juga jelas terbukti pada sidang Parlimen yang menyaksikan bilangan Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin dan kerajaan beliau mengatasi bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menjadi pembangkang dan tidak menyokong beliau.

Persoalan kepercayaan kepada Muhyiddin tidak sepatutnya berbangkit lagi selepas YDPA dalam titah itu menyebut baginda menaruh keyakinan usaha diambil kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.

Pemimpin politik mesti akur dengan titah YDPA supaya mereka sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Lebih penting, tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan sukar akibat COVID-19.

Pasti ada sebab kukuh dan amat relevan dengan keadaan politik semasa apabila YDPA menitahkan supaya pemimpin politik menjiwai keluh-kesah dan membela nasib rakyat, selain berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja Melayu.

Memang benar juga titah baginda perpaduan dan keharmonian bermula di Parlimen kerana seperti kata pepatah, guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Jika Ahli Parlimen sentiasa menunjukkan kematangan politik positif dan tidak menyogok rakyat dengan api permusuhan serta perpecahan, pasti rakyat akan lebih erat bersatu padu.

Turut perlu diambil berat semua pihak ialah kebimbangan YDPA yang melihat polarisasi kaum masih wujud ketika ini. Oleh itu, pihak berkuasa wajar akur dengan titah itu supaya sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai bertentangan norma, adat dan undang-undang perlu dibendung sebelum merebak.

Begitu juga ingatan penting YDPA supaya kerajaan memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan, termasuk dengan mewujudkan pentadbiran agama Islam inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat.

Seterusnya seruan baginda supaya kerajaan terus komited dalam melaksanakan pelan antirasuah nasional agar setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, termasuk menanam dalam minda pelajar bahawa rasuah sebagai sesuatu yang jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan.

Jika seluruh titah YDPA difahami, pasti persoalan kepercayaan kepada Muhyiddin tidak akan berbangkit lagi. Begitu juga jika kerajaan akur dengan titah supaya kerajaan dapat melaksanakan amanah pemerintahan dengan jujur dan penuh tanggungjawab, serta tidak sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat, pasti ia akan bertahan lama.

Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X