Ahad, 10 Mei 2020 | 11:01am

Cukup-cukuplah berpolitik, tumpu bendung COVID-19

Berpolitik ada had dan batasnya, terutama ketika negara berhadapan COVID-19 yang dikatakan krisis paling mencabar sejak Perang Dunia Kedua.

Sekarang bukan masa untuk menguji siapa paling banyak penyokong atau memancing mana-mana kelompok untuk mengalih sokongan, malah sampai ke tahap undi percaya. Rakyat tentu tidak mahu melihat ahli politik terus-menerus berpolitik demi kepentingan diri dan parti.

Pesan Belalang, cukup-cukuplah berpolitik, sebaliknya berilah ruang kepada semua pihak, termasuk kerajaan untuk membendung COVID-19. Sebarang kealpaan atau tumpuan lari disebabkan ghairah berpolitik, padahnya menimpa semua orang.

Mudahkan barisan hadapan tuntut elaun

Belalang ralat mendengar petugas barisan hadapan, termasuk anggota keselamatan terpaksa mengisi banyak dokumen untuk menerima elaun khas RM200.

Elaun itu sebenarnya diberi untuk meringankan beban kerana terpaksa bertugas tanpa mengira waktu dan perlu menghadapi risiko jangkitan semata-mata menjayakan usaha membendung COVID-19 demi kepentingan semua.

Belalang harap pihak berkenaan memudahkan urusan tuntutan elaun itu. Apatah lagi masalah turut menarik perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bahador yang meminta proses berkenaan disegerakan.

Petugas KKM berpakaian lengkap alat pelindung diri membawa sebahagian penduduk di sekitar Jalan Raja Bot untuk dibawa kuaratin berikutan didapati ada beberapa penduduk berkenaan disyaki positif Covid19. - Foto hiasan/Hazreen Mohamad
Petugas KKM berpakaian lengkap alat pelindung diri membawa sebahagian penduduk di sekitar Jalan Raja Bot untuk dibawa kuaratin berikutan didapati ada beberapa penduduk berkenaan disyaki positif Covid19. - Foto hiasan/Hazreen Mohamad

Usah ambil kesempatan kelonggaran PKPB

Belalang seperti majoriti rakyat lega dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang banyak memberi kelonggaran. Pergerakan dalam negeri sudah dibenarkan, manakala banyak sektor ekonomi dibuka.

Namun, jangan pula ada yang mengambil kesempatan PKPB sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan langkah pencegahan disarankan Kementerian Kesihatan.

Belalang harap tiada yang sampai berbuka puasa dengan keluarga adik-beradik, saudara-mara atau kenalan sehingga nanti wujud pula kluster buka puasa.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X