Khamis, 7 Mei 2020 | 9:08am
PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat beri peluang ekonomi negara kembali dipacu dengan peraturan SOP yang ketat. - Foto Fali Hamzah
PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat beri peluang ekonomi negara kembali dipacu dengan peraturan SOP yang ketat. - Foto Fali Hamzah

Persediaan menjana semula ekonomi pasca PKPB

Kerajaan sudah memulakan fasa menjana semula ekonomi dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin lalu.

Maksudnya, hampir semua sektor ekonomi dibuka dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat dan komprehensif ditetapkan kerajaan. Adakah ini satu tindakan wajar dan tepat pada masanya?

Pertama sekali, kita perlu faham bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu strategi jangka pendek. Adalah tidak realistik untuk kita membuka PKP hanya apabila tiada lagi kes jangkitan baharu dan sehingga vaksin untuk COVID-19 ditemui.

Ini mungkin memakan masa satu atau dua tahun lagi, ataupun lebih. Kos PKP juga amat tinggi, seperti kehilangan pendapatan serta daya tahan dan daya saing ekonomi negara. Bagi rakyat pula, ia meliputi pelbagai aspek, terutama kehilangan pekerjaan, masalah mental, keganasan rumah tangga, pembangunan sosial, fizikal dan intelek kanak-kanak serta identiti individu itu sendiri secara keseluruhan.

Ketika ini, ekonomi global dijangka mengalami kemelesetan dan jumlah rakyat Malaysia dijangka dibuang kerja meningkat. Lihat sahaja apa berlaku pada hari pertama PKPB dilaksana. Ramai dalam kalangan rakyat ke kedai pajak gadai. Apakah maksudnya ini kepada ekonomi rakyat?

Hakikatnya, kita belum lagi menang sepenuhnya dalam menentang wabak COVID-19, tetapi kita sudah melandaikan lengkung jangkitan dan berjaya dalam membina kapasiti sistem kesihatan terutama untuk melaksanakan pemeriksaan secara besar-besaran pada masa hadapan.

Pada ketika sekitar 49 hari PKP dilaksanakan, Malaysia berjaya memenuhi enam kriteria ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum PKP dibuka. Itu pun kita tidak membuka PKP ini sepenuhnya, sebaliknya bersyarat.

Dalam menilai sama ada ini masa sesuai untuk melakukan PKPB, kita juga perlu faham trade-off atau akibat yang terbabit terutama aspek kesihatan, ekonomi, dan sosial. Menurut kenyataan Perdana Menteri dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja lalu, kita sudah berada pada fasa ketiga, iaitu menjana semula ekonomi.

Dua fasa sebelum ini adalah ketegasan dan membina ketahanan. Pada hujung bulan ini, kerajaan akan membentangkan pelan pemulihan ekonomi negara. Maksudnya, selepas menjana semula ekonomi dalam PKPB, negara akan beralih kepada fasa pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baharu pasca PKPB.

Persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk fasa pemulihan ekonomi ini? Apakah strategi ekonomi yang akan dirangka kerajaan dalam fasa pemulihan ini? Adakah peniaga dan rakyat secara keseluruhannya bersedia dalam memahami dan melaksanakan normal baharu ini?

Seperti kita tahu, apa yang kita dan seluruh dunia alami sekarang tidak pernah berlaku sebelum ini. Wabak COVID-19 adalah isu global sebab itu kerjasama global penting untuk mengukur kebersediaan kita dalam membuka ekonomi secara berperingkat.

Dalam konteks Malaysia, ini penting supaya fasa pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan jayanya dan fasa seterusnya iaitu fasa memperkasa dan akhirnya menyusun semula struktur ekonomi dapat dicapai.

Matlamatnya supaya ekonomi kita bukan sahaja pulih, tetapi dapat dipacu semula ke landasan betul pada masa hadapan. Oleh itu, elemen pelaksanaan itu penting.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) perlu sampai ke sasarannya. Jika tidak mencukupi, mungkin strategi ekonomi dalam pakej berkenaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan skim upah subsidi boleh ditambah secara berperingkat dan dimasukkan dalam strategi pemulihan ekonomi negara yang akan diumumkan kelak.

Mungkin juga, dalam strategi pemulihan ekonomi negara ini, kerajaan boleh menambah strategi, langkah dan program baharu yang khusus kepada ekonomi rakyat, seperti memperkenalkan skim gaji wajar ataupun pendapatan asas nasional.

Segala kekangan dalam pelaksanaan strategi pada setiap fasa perlu ditangani segera. Begitu juga dalam masa menjana semula ekonomi ini, persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan negeri penting dalam usaha bersama menangani kedua-dua isu kesihatan dan ekonomi ini.

Normal baharu dalam aktiviti ekonomi, sosial dan kehidupan secara keseluruhan perlu dipatuhi dan dijadikan budaya seperti penjarakan sosial, memakai topeng muka, kerap mencuci tangan dan sebagainya.

Ini perlu diberi keutamaan supaya penularan wabak COVID-19 dapat terus dibendung pada ketika aktiviti ekonomi yang hampir semuanya dibuka. Dalam aspek pekerjaan, jelas sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) penting untuk diperkasakan pada masa hadapan.

Ini kerana, daripada sekitar 15 juta tenaga buruh di Malaysia, hampir 10 juta ataupun dua pertiga daripadanya adalah PKS. Untuk itu, dalam rangka strategi sederhana, ekosistem PKS perlu diperkasa. Ini boleh dibuat dengan memperkukuhkan lagi institusi sedia ada dan memperhebatkan infrastruktur yang ada dalam sektor ini.

Dari aspek infrastruktur misalnya, kita sudah ada Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dibangunkan pada 2017. Begitu juga dalam jangka masa panjang, pembinaan projek pengangkutan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi sebahagian projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) perlu diperkasakan pada masa hadapan untuk kebaikan penggiat industri dalam PKS dalam jangka masa pendek dan panjang.

Begitu juga strategi terhadap industri makanan, rantaian bekalan global, penggunaan teknologi tinggi, pendigitalan dalam sektor pendidikan dan sistem perlindungan sosial, yang memerlukan satu perubahan komprehensif dan sistematik.

Strategi khusus bagi sektor yang begitu terkesan seperti pelancongan dan perhotelan juga perlu digubal segera.

Akhirnya, apa jua yang kita lakukan seterusnya perlu berdasarkan fakta dan analisis saintifik dan juga kerjasama dengan negara lain di dunia terutama di rantau ini.

Penulis ialah Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia.

Berita Harian X