Rabu, 25 March 2020 | 11:20am
Anggota polis dibantu oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto BERNAMA
Anggota polis dibantu oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto BERNAMA

Duduk rumah, bantu negara tangani krisis

Dunia global selepas Perang Dunia Kedua tidak pernah berhadapan dengan krisis kesihatan berskala global seperti COVID-19 ini.

Pasaran saham merudum, nilai mata wang jatuh, banyak negara menutup terus sempadan, industri berasaskan pelancongan terjejas teruk, syarikat penerbangan terpaksa ‘ikat perut’, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa menutup perniagaan.

Rantaian kesan ekonomi daripada COVID-19 mungkin lebih hebat berbanding krisis ekonomi Asia 1997/1998.

Tragedi paling hampir dengan COVID-19 yang sedang melanda ini ialah Spanish Flu yang berlaku pada 1918 ketika Perang Dunia Pertama berakhir.

Ketika itu, dunia terutama Eropah berada dalam keadaan suram akibat peperangan baru berakhir, dianggarkan melebihi 40 juta jiwa terkorban dan puluhan juta lagi cedera dan cacat.

Infrastruktur musnah dan keadaan kebersihan banyak negara ketika itu amat buruk.

Tragedi Spanish Flu dianggarkan mengorbankan lebih 40 juta nyawa di seluruh dunia, bahkan ada menganggarkan jumlahnya mencecah 50 juta. Penyebarannya berlaku pantas kerana mobilisasi tentera yang pulang ke negara masing-masing selepas tamat peperangan.

Selain itu, media yang masih dikawal ketat dalam suasana perang juga belum betul-betul bersedia memberi amaran efektif kepada penduduk.

Pelajaran daripada tragedi 1918 itu amat jelas, kegagalan pemerintah mengawal pergerakan penduduk sejak awal menyebabkan ramai dijangkiti.

Pelajaran daripada Philadelphia vs St Louis vs San Fransisco adalah contoh klasik bagaimana pergerakan kawalan terhad mampu menyelamatkan nyawa ramai manusia.

Ketika jangkitan Spanish Flu masih pada peringkat awal di Amerika Syarikat (AS), Philadelphia mengetepikan amaran pihak kesihatan dan menganjurkan perhimpunan besar-besaran lebih 200,000 orang untuk menyambut tentera yang pulang.

Sementara itu, St Louis mengambil tindakan berbeza, berita tentera terkena wabak menyebabkan sekolah dan perhimpunan awam di St Louis ditutup sepenuhnya. Pergerakan rakyat dihadkan.

San Fransisco pula, mengambil tindakan berbeza, tempat awam tidak ditutup, tetapi penggunaan topeng muka diwajibkan di mana-mana.

Kesannya, jangkitan Spanish Flu di Philadelphia meroket naik, begitu juga dengan jumlah kematian. San Fransisco juga mengalami nasib sama.

St Louis terselamat, walaupun ada juga jumlah angka terjangkit dan yang kehilangan nyawa, ia tidak seteruk apa yang berlaku di Philadelphia dan San Fransisco.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kini sebenarnya ialah ubat pahit yang perlu ditelan untuk mengeluarkan kita daripada kemelut COVID-19.

Kesan sampingannya pasti ada dengan banyak PKS yang akan terjejas. Begitu juga dengan ribuan pekerja yang mungkin hilang pekerjaan.

Namun, jika kita tidak tegas melaksanakannya, besar kemungkinan perintah ini terpaksa dilanjutkan lebih lama, sekali gus menyebabkan kehidupan rakyat lebih terjejas dan banyak sektor, terutama pelancongan domestik terpaksa gulung tikar.

Sejujurnya, dua minggu mungkin tidak akan mencukupi. PKP jika ingin diangkat, mesti ada perancangan yang jelas dan dilaksanakan secara teliti, berperingkat dan tidak mengakibatkan berlaku gelombang ketiga yang lebih membinasakan.

China hampir berjaya dengan ketegasan perintah berkurung. Begitu juga dengan Russia yang menutup sempadan sejak awal lagi. Itali yang walaupun melaksanakan perintah berkurung sejak awal, agak longgar dalam pelaksanaannya hingga menyebabkan ribuan jiwa terkorban dan sistem kesihatan hampir lumpuh.

Ketika ribuan jiwa terkorban, baru tentera dikerahkan di sana. Kita tidak ada pilihan untuk gagal, duduklah di rumah dan bantu negara untuk keluar daripada kemelut ini dengan segera.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X