Isnin, 23 March 2020 | 11:00am
SUASANA lengang di Jalan Bukit Bintang pada hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan selama dua
SUASANA lengang di Jalan Bukit Bintang pada hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan selama dua

Semangat kebersamaan kunci harungi ujian COVID-19

HARI ini (semalam) masuk hari kelima Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan COVID-19 di negara kita.

Saya tahu, pada awalnya sebahagian kita panik dan tertanya-tanya, apa tujuan perintah ini. Sekarang, saya yakin majoriti rakyat Malaysia mulai faham kenapa perintah ini dikuat kuasa kerajaan.

Percayalah, perintah ini demi menghalang penularan COVID-19 pada skala lebih besar. Ia menuntut kita berada di rumah masing-masing dan mengamalkan penjarakkan sosial. Ia penting bagi menghindarkan kita daripada bergaul bebas dengan mereka yang walaupun tidak menunjukkan simptom, mungkin dijangkiti wabak ini.

Pendek kata, perintah ini sebenarnya mampu menyelamatkan ribuan nyawa. Sebab itu, ia wajib kita patuhi.

Saya sendiri, ketika menghadiri beberapa mesyuarat MKN sebelum ini, melihat kesungguhan luar biasa pasukan MKN, Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan seluruh warga Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mencari penyelesaian krisis ini.

Tetapi kita tidak boleh mengharapkan mereka saja. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu turut memainkan peranan. Kita mesti bantu meringankan beban mereka.

Sekiranya penularan wabak ini dapat dikawal, risiko kita dijangkiti akan jadi lebih rendah dan jumlah pesakit COVID-19 juga akan berkurang. Keadaan ini sekali gus meredakan tekanan petugas barisan hadapan yang mengendalikan krisis ini.

Untuk membantu mereka, caranya amat mudah – luangkan masa di rumah. Saya faham, rakyat Malaysia suka keluar berjumpa kenalan masing-masing. Bersilaturahim memang budaya kita.

Namun, penularan wabak ini memerlukan kita mengamalkan gaya hidup baharu, sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa minggu ini. Saya percaya, tidak salah berkorban sedikit, demi manfaat jauh lebih besar untuk negara.

Kita perlu ingat, COVID-19 boleh menjangkiti sesiapa saja dan tidak pandai memilih bulu. Ia tidak memilih warna kulit, miskin atau kaya mahupun tua atau muda. Kita semua berisiko dijangkiti. Sekiranya COVID-19 tidak memilih mangsa, kenapa perlu kita memilih untuk membantu atau tidak?

Dalam keadaan sekarang, bukan saja kita tidak boleh berkira-kira membantu, tetapi juga perlu bersikap terbuka menerima bantuan daripada sesiapa saja yang diyakini ikhlas membantu kita. Bantuan ini termasuk daripada kerajaan luar negara.

Wisma Putra misalnya, sentiasa berkomunikasi dengan Kerajaan China. Keakraban ini yang membuatkan China tanpa ragu menghulurkan bantuan peralatan perubatan - topeng muka, cecair pencuci tangan, kit ujian COVID-19 dan peralatan perlindungan untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Kita juga bekerjasama rapat dengan kerajaan negara jiran seperti Indonesia bagi berkongsi maklumat dan membantu mengenal pasti rakyat Malaysia yang hadir perhimpunan tabligh di sana baru-baru ini. Selain itu, kita berganding bahu dengan Kerajaan Singapura demi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di sana, yang mana sebahagiannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Malah, kita juga sentiasa berhubung dengan rakan negara di Asia Barat bagi mendapatkan pertolongan untuk memerangi COVID-19.

Saya secara peribadi, tidak sangka Malaysia akan mendapat bantuan sebegini banyak dari pelbagai negara. Saya percaya, ia kerana pengiktirafan dan penghormatan mereka di luar sana terhadap Malaysia serta menganggap Malaysia sebagai rakan akrab dalam komuniti antarabangsa.

Bagaimanapun, kita tidak boleh berasa selesa. Kita mesti sedar sikap sebagai rakyat Malaysia turut diperhatikan seluruh dunia. Tiada guna Malaysia menerima pelbagai bantuan, tetapi pada masa sama, sebahagian rakyat tidak patuh perintah kerajaannya sendiri.

Nasihat saya - kita tiada pilihan selain mesti berdisiplin dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini bersungguh-sungguh. Nasihat ini juga saya tujukan kepada rakyat Malaysia di luar negara.

Seperti sedia maklum, walaupun ramai dapat dibawa pulang ke tanah air, masih ada rakyat kita terkandas di luar negara susulan pendirian kerajaan di sana berkait COVID-19.

Kami di Wisma Putra bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian agar semua dapat pulang dengan segera. Biarpun saya tahu, ada segelintir tidak setuju untuk bawa mereka pulang kerana bimbang meningkatkan risiko COVID-19, namun saya tetap ingin menegaskan, saya tidak akan pernah berhenti berusaha untuk membawa rakyat Malaysia pulang. Negara ini milik mereka juga. Jadi, mereka ada hak pulang ke tanah air pada bila-bila masa.

Pun begitu, saya juga mahu mengingatkan mereka yang dibawa pulang ini, apabila tiba di Malaysia, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Pastikan juga diri dikuarantin selama 14 hari. Biarpun agak membebankan, langkah ini penting untuk menghentikan penularan COVID-19.

Kerajaan dan Wisma Putra membantu saudara-saudari pulang. Jadi, saya harap saudara-saudari juga boleh menjadi rakyat yang bertanggungjawab.

Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, dalam kita mendepani COVID-19 ini, ketepikan segala perbezaan dan hapuskanlah kebencian. Sekarang ialah masa untuk mengutamakan kesihatan diri dan kepentingan negara.

Lihat ujian ini sebagai peluang untuk kita semua bersatu padu. Elakkan menjadi penyebar berita palsu. Seruan ini tidak boleh hadir daripada saya seorang saja, ia mesti disampaikan semua pihak dengan apa cara sekalipun.

Kita juga mesti mengingatkan satu sama lain, Malaysia lalui pelbagai ujian sebelum ini dan kita sebagai rakyatnya sudah membuktikan, yang kita boleh mengharunginya bersama dengan syarat, semua kekal tenang dan lakukan perkara yang betul. Saya yakin, kita pasti mampu harungi ujian COVID-19 ini.

Bersabar, setiap krisis pasti ada hikmahnya. Buat masa ini, antara kebaikan dapat dilihat, kita bukan saja lebih mengenali, malah lebih menghargai mereka yang terbabit secara langsung dalam pengendalian krisis ini.

Kepada doktor, jururawat, kakitangan hospital, petugas di lapangan terbang dan pintu masuk negara, anggota polis serta tentera – I salute you!

Saya percaya, apabila krisis ini berakhir kelak, antara kunci kejayaan yang akan dicatat dalam sejarah negara ialah semangat kebersamaan antara seluruh rakyat Malaysia.

Semangat yang sama diamalkan nenek moyang kita dulu dalam menuntut Malaysia yang bebas dan merdeka. Sekarang giliran kita pula, untuk membebaskan negara daripada sebarang kemudaratan.

Demi masa depan yang cerah buat anak, cucu dan cicit kita, kita mesti perangi wabak ini habis-habisan. Saya yakin, Malaysia boleh!

Kepada seluruh rakyat Malaysia - stay safe, stay home dan paling penting stay strong!

Penulis ialah Menteri Luar Negeri.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X