Ahad, 15 March 2020 | 11:00am

Lantikan Menteri Kanan inovasi governans pembangunan lestari

TAHNIAH kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mewujudkan Kabinet mantap dan berwibawa. Sudah tentu ia berdasarkan pengalaman dan pandangan jauhnya.

Kabinet ini tidak sahaja memenuhi keperluan penting, iaitu berkhidmat untuk rakyat dan membina jaringan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN), bahkan memberikan perhatian kepada wawasan abad ke-21, pembangunan lestari.

Pelantikan Menteri Kanan yang bakal menjadi penyelaras kepada empat sektor pembangunan negara adalah satu inovasi governans yang hebat. Masing-masing akan melihat dan mengintegrasi saling hubungan pelbagai sektor dalam komponen pembangunan lestari.

Ini tentunya membabitkan pembangunan ekonomi, pembangunan prasarana, pembangunan sosial dan keselamatan negara.

Walaupun, pembangunan alam sekitar tidak dinyatakan secara jelas, pewujudan Kementerian Alam Sekitar secara khusus sebenarnya menggambarkan keprihatinan tinggi mengenai isu pencemaran, warisan tabii dan perkhidmatan ekologi.

Saya amat tertarik dengan konsep empat Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal penting berkaitan kelestarian. Ini membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan.

Dalam sektor pembangunan ekonomi umpamanya, isu pengurusan kewangan dan pertumbuhan ekonomi mempunyai hubungan rapat dengan perdagangan antarabangsa, pembangunan industri, perusahaan perladangan, pelancongan, pembangunan keusahawanan dan koperasi.

Pembangunan prasarana pula membabitkan perkhidmatan kerja raya, pembangunan luar bandar dan wilayah persekutuan, sistem pengangkutan awam, perumahan, pembangunan sumber tenaga dan sumber asli serta aspek pertanian dan alam sekitar. Saya yakin rakyat berharap kemudahan dan kualiti perkhidmatan awam dapat diberikan perhatian tinggi.

Saya tertarik dengan dasar dan budaya pembangunan prasarana di negara maju untuk kepentingan masyarakat awam seperti sekolah, hospital, tempat dan kemudahan awam, kaki lima dan tempat pejalan kaki. Semua prasarana ini dibina seperti untuk digunakan selama 1,000 tahun. Set minda begini masih belum jelas di negara kita, tumpuan hanya diberikan kepada bangunan persendirian, tetapi tidak bagi prasarana awam.

Dalam pembangun sosial, tumpuan diberikan kepada kualiti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pembangunan sumber manusia, pembangunan belia dan sukan serta kebajikan golongan wanita dan keluarga. Dalam konteks ini, isu berkaitan perpaduan kaum, keadilan sosial serta jati diri bangsa Malaysia perlu juga diberikan perhatian.

Komponen keselamatan awam lazimnya kurang diberikan perhatian dalam pemikiran kelestarian kerana beranggapan urusan keselamatan kurang membantutkan agenda pembangunan lestari. Pewujudan Menteri Kanan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara ternyata amat penting bagi memastikan masyarakat berasa selesa, aman dan yakin dengan keselamatan diri, keluarga dan harta. Dalam konteks pembangunan negara, isu keselamatan awam perlu dijadikan komponen penting bagi memastikan kesejahteraan sosial.

Jika semua komponen pembangunan lestari, iaitu ekonomi, prasarana awam, kesejahteraan dan keselamatan sosial yang membabitkan pelbagai kementerian dapat diselaraskan beberapa Menteri Kanan secara berkala, pembangunan negara pastinya berada pada landasan tepat.

Sudah tentu secara khusus, saya tertarik dengan pewujudan Kementerian Alam Sekitar. Saya yakin kementerian ini tidak sahaja memberikan tumpuan kepada isu pencemaran alam sekitar, bahkan memfokuskan agenda pemuliharaan warisan tabii dan komponen perkhidmatan ekosistem.

Isu udara bersih, bekalan air bersih, kawasan riadah, pengurangan risiko bencana dan mitigasi impak perubahan iklim amat berkaitan dengan perkhidmatan ekosistem, justeru ia perlu diberikan perhatian tinggi oleh kementerian ini.

Dalam governans pembangunan lestari berasaskan pendekatan pengurusan bersama, maklumat bermaklum perlu disediakan kumpulan pakar dan sarjana, sementara maklum balas pihak berkepentingan diperlukan untuk memastikan penerimaan. Saya berharap, mesyuarat penyelarasan tidak sahaja ditumpukan kepada beberapa kementerian, sebaliknya perlu membabitkan wakil daripada ilmuwan dan pemimpin masyarakat yang dijemput bersama melontarkan pandangan.

Nampaknya barisan ahli Kabinet sudah mantap, kini tiba masanya mereka untuk bekerja keras demi kepentingan rakyat dan negara.

Bagi rakyat pula, berehatlah sebentar daripada membuat desakan berunsur politik. Berilah kesempatan kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya membuktikan keupayaan mereka hingga akhir penggal sebelum menjelang Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) nanti.

Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari, UKM

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X