Rabu, 11 March 2020 | 11:00am
Barisan Jemaah Menteri (dari, kanan) Menteri Alam Sekitar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Wanita dan Keluarga Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Melawati. - Foto BERNAMA

Lupakan politik, tumpukan khidmat untuk rakyat

Selesai sudah majlis angkat sumpah jawatan menteri Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam. Istiadat penuh bermakna itu membabitkan 31 menteri, termasuk empat menteri kanan, selain 37 timbalan menteri.

Dalam kalangan mereka, ramai bukan kali pertama mengangkat sumpah anggota Kabinet, namun tidak kurang muka baharu. Contohnya wakil PAS yang kali terakhir menganggotai Kabinet lebih empat dekad lalu. Pastinya ia detik bersejarah buat parti itu yang mula mewarnai arena politik negara sejak 1951. Tidak ketinggalan kelompok teknokrat atau profesional yang diberi mandat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui beberapa kementerian.

Kehadiran teknokrat sebenarnya biasa di negara jiran, Indonesia. Presiden Joko Widodo selepas Pemilihan Umum Presiden (PILPRES) 2019 sebagai contoh, mengumumkan senarai Kabinet Indonesia Maju dibarisi 45 peratus wakil parti politik dan 55 peratus kalangan profesional. Jadi, langkah sama diambil Muhyiddin bukan asing dan ia disambut baik pelbagai pihak. Mungkin Malaysia belum sampai tahap seperti Indonesia, namun sekurang-kurangnya inisiatif itu mewujudkan imbangan sihat dalam Kabinet kerajaan baharu.

Secara ringkas, penyenaraian portfolio dalam jemaah Menteri di bawah pentadbiran kerajaan baharu ini mencerminkan penumpuan lebih menjurus. Kementerian tidak dibebani terlalu banyak portfolio atau bidang tumpuan yang pelbagai, sekali gus mengelak penumpuan fungsi terganggu.

Kita percaya penstrukturan semula oleh Muhyiddin meletakkan keutamaan kepada peranan sebenar jemaah Kabinet supaya ia benar-benar berfungsi dalam menyampaikan perkhidmatan secara lebih berfokus. Contoh terbaik pemisahan portfolio di antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kita percaya ia selari kehendak umum, khususnya kelompok akademia yang selama ini bimbang penyatuan kedua-duanya di bawah satu kementerian menyebabkan penumpuan tersasar. Hal ini jelas disedari Muhyiddin yang pernah menerajui Kementerian Pendidikan.

Berbalik soal penstrukturan Kabinet, kita yakin ia waktu terbaik untuk Muhyiddin menetapkan fokus sebenar bagi setiap kementerian. Susun semula agensi dan jabatan supaya ia diletakkan di kementerian yang bersesuaian. Penting juga dipastikan tidak berlaku pertindihan tugas antara jabatan dan agensi.

Dalam hal ini tentunya ramai juga tertanya-tanya nasib agensi yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Di mana agensi berkenaan akan diletakkan selepas ini sama ada Kementerian Kewangan atau Jabatan Perdana Menteri di bawah portfolio ekonomi. Kita yakin kerajaan akan memberi pertimbangan terbaik untuk memastikan letak duduk setiap agensi itu tepat. Jika sebelum ini ada tersilap ‘parkir’ eloklah dikembalikan ke tempat sewajarnya supaya potensi pertumbuhan agensi dapat dijana.

Yang jelas, semboyan untuk masing-masing memulakan tugas sudah dibunyikan. Bagi menteri atau timbalan yang sudah berpengalaman rasanya tidak banyak masalah, namun untuk muka baharu perlu segera mengejar kerana cabaran menunggu cukup besar. Setiap daripada mereka perlu sedar peranan masing-masing untuk berfungsi sebagai anggota Kabinet yang langkah mereka sederap. Jadi kurangkanlah berpolitik dan tumpu berkhidmat untuk rakyat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X