Selasa, 10 March 2020 | 11:00am

Tugas besar, mencabar menanti Kabinet baharu

Tahniah kita ucapkan kepada anggota Jemaah Menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam. Pengumuman itu melangkaui jangkaan umum bahawa Perdana Menteri akan hanya menamakan beberapa menteri bagi menerajui portfolio penting dan utama. Malah, ia turut mengandungi kejutan seperti pelantikan empat menteri kanan tanpa Timbalan Perdana Menteri, pemilihan teknokrat dan individu berkepakaran dalam bidang tertentu serta penstrukturan semula kementerian yang dibebani bidang tugas besar. Kita percaya ia melambangkan komitmen dan kesungguhan Muhyiddin untuk membentuk pasukan pentadbiran kerajaan baharu dengan segera dan tidak berpanjangan dengan runding politik antara parti yang membentuk gagasan Perikatan Nasional (PN).

Pengumuman Kabinet itu membuktikan pendirian Perdana Menteri kelapan untuk memastikan anggota Kabinet dibentuk adalah dalam kalangan mereka yang bersih dan berintegriti tanpa terpalit dengan pertuduhan di mahkamah. Untuk itu syabas kita ucapkan kepada kepemimpinan parti politik yang berlapang dada untuk bertindak selari dengan kriteria yang sudah ditetapkan Muhyiddin. Bagi yang dilantik, kita mahu mereka mempertahankan integriti ketika menjalankan tanggungjawab di kementerian masing-masing.

- BERNAMA
- BERNAMA

Mereka dipilih menganggotai Kabinet ketika negara berdepan cabaran sangat besar untuk mendepani kesan gelombang wabak coronavirus (COVID-19) yang dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan terbaru, perang harga minyak yang menyebabkan harga komoditi itu menjunam. Itu belum lagi dengan keperluan dan desakan untuk menyelesaikan masalah sedia ada yang menjerut seperti kos sara hidup, harga barang dan perkhidmatan serta peluang pekerjaan yang sebelum ini menjadi isu sehingga menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan lalu.

Justeru, pelantikan itu berbeza dengan anggota Kabinet sebelum ini yang boleh menggunakan alasan masih baharu atau dalam tempoh ‘pembelajaran’. Kita berharap menteri dan timbalannya bekerja secara pantas ibarat kenderaan terus memecut dalam mod kelajuan gear empat atau lima, terutama mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran lalu dan bersedia setiap masa ketika menerajui portfolio dipertanggungjawabkan demi mengatasi cabaran utama.

Dalam membuat pecutan, kita berharap mereka menggunakan sepenuhnya seluruh fungsi kepemimpinan kementerian dan penjawat awam. Apatah lagi Perdana Menteri sendiri mahukan anggota Kabinet berfungsi hingga dapat menyampaikan perkhidmatan lebih berfokus.

Syor kita agar setiap pemimpin yang dilantik, belajar daripada kesilapan sebahagian penyandang lalu sehingga wujud sangkaan daulah terpendam atau mengepung diri sendiri dengan pegawai lantikan politik. Sebarang kenyataan dikeluarkan perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan memikirkan kesan bukan hanya dalam konteks politik, malah implikasi kepada ekonomi dan rakyat. Begitu juga setiap langkah akan diambil, dibincangkan terlebih dahulu dengan semua pemegang taruh, sebelum diumumkan untuk dilaksanakan. Kita tidak mahu lagi ada sebarang keputusan flip-flop yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X