Ahad, 8 March 2020 | 10:00am
FELDA antara agensi kerajaan berjaya mencapai matlamat meningkatkan pendapatan rakyat menerusi penerokaan tanah baharu. - Foto hiasan
FELDA antara agensi kerajaan berjaya mencapai matlamat meningkatkan pendapatan rakyat menerusi penerokaan tanah baharu. - Foto hiasan

Perluas potensi koperasi tangani jurang antara dimensi

Slogan ‘kemakmuran bersama’ memang tepat dan bijak untuk Malaysia. Ini kerana wujud ‘jurang pelbagai dimensi’ dalam masyarakat Malaysia antara kelas atau darjat, wilayah, etnik dan peserta rantaian bekalan.

Jika jurang kian membesar, ia pasti menyuburkan benih konflik antara etnik atau wilayah terutamanya, lantas menyumbang kepincangan sosial dan politik. Kepincangan seperti ini akan merencatkan pertumbuhan, keamanan negara dan mungkin pertumpahan darah.

Mengikut World Bank, pekali Gini Malaysia adalah 0.42 pada 2018, ketiga tinggi selepas Filipina (0.44) dan Singapura (0.45). Dikatakan 10 peratus penduduk kelas teratas memiliki hampir 44 peratus harta negara. Angka ini lebih tinggi untuk Amerika Syarikat (AS) dan China.

Sejumlah 10 peratus penduduk berpendapatan rendah memiliki syer perbelanjaan berbanding jumlah keseluruhan pada kadar hanya 2 peratus, namun syer bagi 10 peratus golongan teratas adalah 35 peratus.

Lebih tiga perempat isi rumah miskin di Malaysia dalam golongan B40 adalah Bumiputera (Melayu dan pribumi) dan kebanyakan mereka di Sabah dan Sarawak.

Begitu juga petani padi yang hampir 90 peratus terperangkap dalam B40, tetapi pengilang besar, pengimport, pemborong dan peruncit beras mengaut keuntungan lumayan. Fenomena sama diperhatikan dalam komoditi primer lain seperti kelapa sawit, getah, sayur dan sayuran. Ini jurang dalam rantaian bekalan.

Jurang pelbagai dimensi ini wujud sejak 1960-an lagi. Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menggubal Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada 1970, diikuti Dasar Pembangunan Nasional (DPN) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990.

Statistik mudah di atas membuktikan pencapaian DEB dan DPN masih jauh daripada sasaran.

Hakikatnya, pembangunan masyarakat dari segi ekonomi, sosial dan politik membabitkan usaha semua sudut. Malaysia menerokainya semua, namun antara dasar ketara adalah top-down yang masih berleluasa hingga kini.

Antaranya memang berjaya seperti penerokaan tanah baharu melalui FELDA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan sebagainya. Ini diikuti penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kini mencapai 70 buah mengikut Kementerian Kewangan dan sejumlah 462 mengikut www.index.my.

Dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 mengakui berlaku sabotaj ekonomi besar-besaran. WKB juga melontarkan beberapa ketirisan besar dan penyelewengan dalam kontrak kepada Bumiputera.

Jika sebahagian dana besar ini disalurkan kepada pembangunan berbentuk bottom-up, kemungkinan ketirisan dapat dikurangkan, malah mewujudkan dinamisme luar biasa.

Hakikat tidak disedari ramai, kemakmuran bersama adalah falsafah yang menunjangi koperasi. Jika diteliti prinsip koperasi, semuanya menyasarkan kemakmuran bersama, bukan setakat anggota, tetapi juga masyarakat.

Tujuh prinsip koperasi adalah keanggotaan sukarela dan terbuka; kawalan demokrasi oleh anggota; pembabitan ekonomi oleh anggota; pembahagian untung yang saksama; penggalakan pendidikan; kerjasama antara koperasi dan keprihatinan kepada masyarakat.

Koperasi adalah wahana yang membantu penduduk miskin dan petani di negara seperti Taiwan, Korea, India dan Thailand. Koperasi juga meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan penduduk miskin di negara ini.

Di Barat, lebih 90 peratus petani anggota koperasi (seperti Perancis, Belanda, AS dan pelbagai lagi). Koperasi pengguna juga sama kuat di negara ini.

Namun di Malaysia, pertumbuhan koperasi memerlukan banyak penambahbaikan. Koperasi sepatutnya disasarkan kepada sektor masyarakat yang memerlukan seperti pertanian dan pengguna miskin, tetapi hasrat ini masih jauh ketinggalan.

Dari segi prestasi ekonomi, nyata sektor perbankan hanya terdiri dua entiti, tetapi syer aset mereka daripada jumlah keseluruhan adalah 77 peratus, perolehan (64 peratus), yuran (24 peratus) dan anggota (13 peratus) pada 2018. Pola sama diperhatikan untuk sektor perkhidmatan.

Koperasi dalam kluster ‘besar’ yang hanya menyumbang 1.9 peratus daripada bilangan entiti, tetapi syer mereka dalam perolehan adalah 95 peratus. Sebaliknya koperasi ‘kecil mikro’ terdiri 83 peratus daripada jumlah entiti, menyumbang hanya 1 peratus kepada perolehan.

Jika koperasi besar dikeluarkan daripada senarai analisis, pola struktur koperasi tidak banyak berubah. Koperasi bersaiz sederhana menyumbang 4 peratus daripada bilangan koperasi, tetapi sumbangan kepada perolehan adalah 60 peratus.

Koperasi kecil mikro yang menyumbang 85 peratus daripada bilangan entiti tetapi syer perolehan hanya mencapai 13 peratus.

Jurang besar wujud dalam sektor pertanian bagi semua komoditi. Syer bilangan koperasi pertanian adalah 22 peratus tetapi syer yuran daripada jumlah keseluruhan hanya 5 peratus, aset dan perolehan masing-masing pada paras 3 peratus pada 2018.

Data ini merumuskan gerakan koperasi memihak kepada sektor perbankan dan perkhidmatan, serta bukan golongan sasar seperti pengguna miskin, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan petani.

Jika negara mahukan kemakmuran dinikmati bersama rakyat jelata, gerakan koperasi perlu diperluaskan ke pelosok masyarakat yang terpinggir tanpa mengira darjat, etnik dan wilayah. Strategi diperlukan adalah:

Pertama, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan dan amalan koperasi perlu dibudayakan sepenuhnya di bangku sekolah ke tahap institusi pengajian tinggi (IPT). Ini termasuk keperluan Pusat Kecemerlangan koperasi di IPT, sebagaimana di negara maju. Dengan ini negara akan melahirkan koperator terlatih dan menghayati konsep koperasi sepenuhnya seperti di Jepun dan Korea.

Kedua, untuk menggalakkan pertumbuhan koperasi yang meluas, dicadangkan Akta Koperasi 1993 dikaji semula supaya keahlian dikurangkan daripada 50 orang (semasa) kepada lima orang sebagaimana di Australia dan Korea. Pada tahap awal, mungkin modal kecil, tetapi kerjasama dalam bilangan yang kecil adalah efektif dan memudahkan kesepakatan berbanding dengan 50 orang. Ia juga menggalakkan pertumbuhan yang organik koperasi pada masa depan.

Ketiga, dicadangkan penubuhan Bahagian atau Unit Pengembangan Koperasi untuk meningkatkan kemahiran perniagaan dan teknikal serta pemantauan ketat ke atas gerakan koperasi, menjadi satu kemestian.

Keempat, koperasi perlu diterima sebagai sebagai PKS supaya menerima faedah bantuan dan sokongan kepada sektor itu.

Kelima, menggalakkan start-up kalangan usahawan muda dalam koperasi kerana mereka biasa dengan konsep collaborative commons. Antaranya termasuk perkongsian maklumat seantero dunia, hiburan (seperti muzik, video) ilmu melalui Wikipedia, buku melalui web, berkongsi kereta, rumah sewaan (Airbnb) dengan kos rendah dan kadangkala sifar.

Landasan perusahaan ini adalah koperasi yang dipanggil collaborative commons atau kerjasama beramai-ramai untuk menjana perkongsian perkhidmatan atau barangan untuk faedah semua. Ia diamalkan generasi millennial dan membuktikan kejituan koperasi.

Penulis adalah Felo Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia dan Anggota Majlis Penasihat Pertanian Negara

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X