Isnin, 2 March 2020 | 11:57am
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Budi bicara Seri Paduka ikut undang-undang

ISTIADAT angkat sumpah dan penandatangan surat cara Perdana Menteri (PM) di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akhirnya disempurnakan di Istana Negara, semalam.

Meskipun ada mempertikai lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-8, Yang di-Pertuan Agong menentukan sendiri mekanisme untuk melaksanakan pertimbangan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Proses dijalankan memuaskan hati baginda bahawa Muhyiddin mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Mekanisme diguna pakai baginda jelas melangkau syarat ‘mungkin mendapat kepercayaan.’

Pada hakikatnya kesahan pelantikan Muhyiddin tidak boleh dipertikai apabila budi bicara membuat pelantikan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bermula, iaitu selepas tempoh lantikan PM interim berakhir atau meletakkan jawatannya.

Pihak tidak bersetuju hanya boleh mencabarnya jika Tun Dr Mahathir Mohamad masih PM sah dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Isu ini boleh ditimbulkan kerana YDPA melantik Dr Mahathir sebagai PM interim selepas meletak jawatan sebagai PM. Sekiranya masih PM interim yang sah, pihak terkilan mempunyai asas ke mahkamah bagi maksud menyemak keabsahan pelantikan Muhyiddin.

Dari sudut lain, pelantikan interim boleh dipersoal kerana belum mengangkat sumpah dan tandatangan surat cara sebagai PM.

Apabila Dr Mahathir dilantik sebagai PM interim, ada pihak mempertikainya. Pelantikan PM di bawah Perlembagaan Persekutuan boleh dibuat dua keadaan.

Pertama, ketika hayat Parlimen menurut Perkara 43(2)(a), iaitu YDPA hendaklah terlebih dahulu melantik PM untuk mempengerusikan Jemaah Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat atau pertimbangan baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya. Kuasa lantikan ini ialah kuasa budi bicara YDPA dijamin Perkara 40(2)(a).

Menurut Perkara 43(6) seorang menteri termasuk PM tidak boleh menjalankan fungsi kuasa jawatannya melainkan mengangkat sumpah dan menandatangani di hadapan YDPA sumpah jawatan, setia serta simpan rahsia.

Kedua, ketika Parlimen dibubar atau dalam tempoh pembubaran Parlimen, iaitu Perkara 43(2)(a). YDPA boleh melantik dalam tempoh itu PM dalam kalangan ahli Dewan Rakyat lalu, tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen berikutnya, melainkan jika dia ahli Dewan Rakyat baharu.

Tempoh itu sering dirujuk sebagai kerajaan interim atau lebih tepatnya Jemaah Menteri interim.

Berdasarkan itu, pelantikan Dr Mahathir dibuat di bawah peruntukan Perkara 43(2)(a) akan tamat apabila Parlimen dibubarkan atau beliau hilang undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Isu penamaan interim boleh sahaja dianggap prerogatif YDPA kerana wujud keadaan lain antara baginda dengan Dr Mahathir atau kerana belum ditetapkan tarikh angkat sumpah.

Bagaimanapun, fungsi kuasa Dr Mahathir amat terhad selagi belum angkat sumpah dan menandatangani surat cara berkaitan.

Isu menarik untuk dibahaskan bilakah tempoh jawatan PM interim tamat atau meletakkan jawatan. Ketika itu, barulah bermula budi bicara YDPA untuk melantik PM melainkan dihujahkan pelantikan belum sah kerana belum angkat sumpah dan menandatangani surat cara pelantikan PM.

Jika disoroti tempoh seminggu ini, Dr Mahathir hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat secara nyata apabila Ahli Parlimen Muafakat Nasional dan PH menarik balik sokongan, iaitu masing-masing mengusulkan Mahyuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akibatnya YDPA menitahkan satu majlis menghadap dan proses baharu untuk membantu baginda melaksanakan budi bicara.

Ternyata berlaku keadaan menunjukkan Dr Mahathir hilang kepercayaan majoriti ahli dewan.

Perkara 43(4) memperuntukkan ‘apabila PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka PM hendaklah meletak jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan YDPA.’

Justeru, YDPA memanggil pemimpin disokong dua kumpulan menghadap. Ia dipercayai menyebabkan YDPA mengguna pakai peruntukan Perkara 43(4) sebelum memutuskan Muhyiddin sebagai PM.

Proses pencalonan baharu juga menyaksikan hanya nama Muhyiddin dan Dr Mahathir setelah Anwar menarik diri.

Justeru, pelantikan Muhyiddin melalui budi bicara YDPA, iaitu hemat atau pertimbangan baginda, mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Akuan bersumpah (SD) hanya antara mekanisme, tetapi tidak membataskan bagaimana YDPA melaksanakan budi bicara. Apatah lagi jumlah SD dikemukakan selepas YDPA sudah membuat keputusan melantik Muhyiddin.

Kandungan SD juga perlu diperiksa kerana tiada siapa boleh sesuka hati membuat akuan berkanun bercanggah satu sama lain.

Ringkasnya, YDPA melaksanakan budi bicara melantik PM selepas tempoh PM interim tamat kerana baginda berpuas hati Dr Mahathir sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Justeru, pelantikan Muhyiddin sebagai PM tidak boleh dicabar apatah lagi dipertikai kerana baginda melaksanakan budi bicara dijamin Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu pelantikan PM. Jika masih ada pihak mencabar jumlah sokongan Muhyiddin, ia tidak menggugat kesahan pelantikan dan istiadat.

Penulis ialah Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkap Penasihat Gabungan MI’RAJ.

Berita Harian X