Ahad, 1 March 2020 | 11:00am
Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ketika sidang media. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ketika sidang media. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Permulaan teras politik Melayu, Islam

Kemelut politik tanah air menemui jalan damai apabila Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkenan melantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Pelantikan ini menamatkan polemik dan drama politik yang menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia. Siapa sangka, di sebalik pertarungan politik hebat dua dekad antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba-tiba Muhyiddin yang dilantik.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri hari ini di hadapan YDPA, lantas ura-ura dan gesaan untuk Parlimen dibubarkan tidak lagi relevan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Sudah tentu, perkembangan ini ada hikmahnya kerana proses demokrasi negara membabitkan campur tangan istana dan Majlis Raja-Raja. Lebih penting, ia membabitkan peranan unggul dan kebijaksanaan YDPA.

Muhyiddin bukan figura politik asing. Beliau pernah dilantik pemimpin nombor dua negara pada 2009 sebelum disingkirkan daripada Kabinet pada Julai 2015. Beliau juga pernah dilantik Menteri Besar Johor.

Perbezaan pandangan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjarakkan hubungan Muhyiddin daripada UMNO sehingga beliau bersama Dr Mahathir menubuhkan BERSATU pada 2016.

BERSATU memenangi 13 kerusi Parlimen sebelum kemasukan beberapa bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyeberang parti. Kini BERSATU pula menerima bekas pemimpin PKR.

Ketika penulis membuat kajian lapangan mengenai masa depan kepemimpinan negara sekitar 2003, nama Muhyiddin dalam senarai teratas, selain Datuk Seri Najib Razak, untuk jawatan Perdana Menteri. Namun, rezeki belum menyebelahi beliau ketika itu.

Pelantikan Muhyiddin menandakan Kerajaan Malaysia yang baharu bakal didominasi faktor Melayu, Islam dan Bumiputera. Kerajaan tanpa DAP iaitu gabungan antara BERSATU, UMNO dan PAS khususnya akan memperkukuh kedudukan politik Melayu sebagai teras politik Malaysia.

Ini berbeza dengan naratif kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berasaskan kesetaraan dan tidak mahu dikaitkan sama sekali dengan faktor agama dan perkauman dalam menjayakan perkongsian kuasa mereka.

Persoalan selepas ini, apakah politik Malaysia akan terus tenang? Apakah jaminan pelantikan Perdana Menteri baharu boleh mewujudkan persekitaran politik yang damai, terutama Persidangan Dewan Rakyat sesi pertama tahun ini yang akan bermula 9 Mac ini?

Cabaran pertama, apakah akan ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri baharu? Jika PH yakin mereka mempunyai majoriti dalam Parlimen, mungkin usul tidak percaya boleh dikemukakan pada sesi Parlimen kelak.

Meskipun sukar menahan amarah politik PH, kita berharap mereka berlapang dada dan menerima hakikat politik dengan hati terbuka. Kemelut politik ini sewajarnya memberi pengajaran kepada ahli politik bahawa kepentingan negara mengatasi perbezaan mereka.

Sudah tentu pilihan rata-rata rakyat Malaysia mahu melihat PH menerima kepemimpinan Perdana Menteri baharu dan tidak membawa usul tidak percaya dalam Dewan Rakyat nanti. Jika tidak, kemelut politik akan terus berpanjangan.

Cabaran kedua, bagaimana pembentukan penubuhan kerajaan baharu kali ini. Sudah tentu, kerajaan baharu akan membabitkan perkongsian kuasa antara UMNO, PAS, MCA dan MIC. Kini sudah tersebar barisan Kabinet baharu, namun ia tidak boleh disahkan.

Sudah tiba masanya kerajaan yang bakal dibentuk memberi perhatian semula kepada rakyat dan kesejahteraan mereka, lebih-lebih lagi dalam ketidaktentuan ekonomi yang melanda bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga pada peringkat global.

Cabaran ketiga, bagaimana Perdana Menteri baharu dapat menanggapi seterusnya menyelesaikan isu sensitif yang masih belum selesai seperti kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan penangkapan pemimpin politik berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Bagaimana pula kes 1MDB dan dakwaan rasuah yang membabitkan pemimpin UMNO?

Sudah tentu banyak perkara perlu diselesaikan oleh Perdana Menteri dan kerajaan baharu. Rakyat yang muak dengan krisis politik, perlu diberikan kepercayaan semula agar sokongan kepada kerajaan semakin baik demi kebaikan bersama.

Kita percaya, pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu tidak dapat merungkaikan semua kemelut politik negara yang berlaku mutakhir ini. Namun, buat masa sekarang, inilah pilihan yang kita ada.

Sokongan perlu diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan semasa yang baharu atas semangat demokrasi.

Kita harap dalam tempoh seminggu sebelum sesi Parlimen ini, akan ada tempoh bertenang bagi pemimpin politik dan rakyat Malaysia.

Jangka hayat analisis politik kini hanya bertahan untuk beberapa detik dan sukar untuk kita menjangkakan perkembangan politik yang bakal berlaku.

Penulis adalah Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X