Khamis, 27 Februari 2020 | 11:00am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Elak kuasa Agong jadi bahan politik

SUASANA yang menimbulkan persoalan politik agak panas kini adalah disebabkan kemungkinan sentimen perkauman dan cita-cita sesetengah pihak untuk menjadi Perdana Menteri.

Politik ialah seni segala mungkin. Justeru, pelbagai kemungkinan berlaku, baik ketara atau tidak agar pihak yang berkenaan akan dapat menyandang jawatan itu. Ini juga bererti banyak muslihat dan kerenah dilakukan, supaya pihak lawan ternafi peluang begitu.

Maka logiknya orang yang paling mercu dalam suasana begitu ialah Perdana Menteri. Peletakan jawatan beliau dengan sendiri memberikan mesej bahawa suatu masalah yang amat besar sedang melanda politik negara.

Secara automatik, anggota Kabinetnya berhenti sama, sesuai dengan amalan demokrasi berparlimen di mana-mana pun.

Bayangkan partinya sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tiba-tiba keluar daripada Pakatan Harapan (PH). Semua 26 Ahli Parlimennya keluar sama daripada kerajaan.

Namun, pelantikan beliau semula sebagai Perdana Menteri interim mencetus persoalan lain pula, persisnya soal di mana kuasanya bermula dan berakhir. Begitulah juga halnya dengan Yang di-Pertuan Agong — di mana letaknya ruang kuasa baginda.

Siaran yang berulang-ulang berlaku di sebuah stesen televisyen utama di mana seorang pengacara kerap mengulangi kata-kata seorang peguam berkenaan batasan kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Kesan yang ditinggalkan — Parlimen patut dibubarkan. Dengan itu satu pilihan raya akan diadakan.

Kata peguam itu, Perdana Menteri interim bukan berkuasa penuh seperti Perdana Menteri sebenar. Pemegang jawatan itu tidak boleh melantik Kabinet dan tidak boleh mengambil inisiatif membubarkan Parlimen. Segala-galanya itu dalam tangan Yang di-Pertuan Agong, katanya.

Apa yang beliau tidak di sebut ialah peruntukan Perlembagaan yang bermaksud Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut nasihat Perdana Menteri. Perlu diingatkan, jawatan pemangku dan interim mempunyai ruang kuasa dan wibawa sama dengan jawatan sebenar.

Kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal 40(1) bergantung kepada bab lain, termasuk yang diakui oleh Kabinet. Namun baginda atas budi bicara boleh melantik Perdana Menteri.

Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong boleh menahan Parlimen daripada dibubarkan atas sebab yang kuat. Namun , baginda tidak boleh secara langsung membubarkan Parlimen.

Di situlah letaknya kuasa baginda yang bergantung pula pada bab lain. Undang-undang biasa adalah berbeza dengan undang-undang Perlembagaan. Ia harus diteliti secara halus kerana implikasinya sangat luas.

Rujukan paling baik ialah kepada Perlembagaan United Kingdom (UK), sumber perlembagaan kita. Perlembagaan UK disifatkan tidak bertulis kerana ia dihimpunkan daripada adat dan adab, kebiasaan dan norma kehidupan rakyat.

Memandangkan begitu lama pengumpulan itu dibuat, maka banyak keputusan undang-undang Perlembagaan dibuat menurut keputusan yang sudah berlaku.

Sejak 802, apabila King Egbert, monarki pertama yang menaiki takhta England, hingga kepada Queen Elizabeth II kini, 1,200 tahun kemudian, UK sudah mempunyai 62 King dan Queen. Usia monarki yang begitu panjang diasaskan kepada sikap salingmenghormati antara Parlimen dengan monarki.

Namun, ada kekecualiannya. Pada 1649, King Charles I dipenggal akibat pertikaian baginda dengan Parlimen.

Lalu pemimpin Parlimen, Oliver Cromwell, mengambil kuasa sebagai ‘Lord Protector’ atau Tuan Pelindung. Namun, 24 tahun kemudian, monarki diwujudkan semula atas hakikat saling mengehsani dan yakin-meyakini antara pihak rakyat dengan King Charles II, putera Charles I, hingga sekarang.

Dengan kata lain, garis halus yang memisahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet-Parlimen harus dikekalkan seharmoni mungkin dan tidak dijadikan bahan politik oleh ahli politik dan peninjau politik.

PH kini sudah kehilangan majoriti di Parlimen. Oleh itu pembentukan kerajaan perpaduan atau unity government memerlukan langkauan garisan parti. Keengganan UMNO dan PAS menyertainya adalah atas kesedaran kedua-duanya tidak rugi apa-apa, malah mungkin untung, jika pilihan raya umum (PRU) diadakan.

DAP dan PKR pasti tidak setuju PRU diadakan kerana hasil kemenangan masing-masing pada pemilihan lalu harus berakhir menurut tempoh dahulu.

Dalam keadaan terhimpit di tembok batu, tidakkah terlintas di minda bahawa model Majlis Tindakan Nasional (MTN) atau NOC 1969 adalah satu alternatif yang boleh diterima untuk hanya menyeberang jambatan di depan mata?

Penulis adalah bekas Presiden Dewan Negara

Berita Harian X