Rabu, 5 Februari 2020 | 11:00am

Syabas buat petugas bawa pulang warga kita

Penghargaan buat semua petugas terbabit misi membawa pulang 107 warga Malaysia dari Wuhan, China, khususnya yang meredah risiko masuk ke lokasi wabak coronavirus itu, demi menguruskan keperluan misi dan rakyat Malaysia di sana. Ia bukan tugas mudah - ibarat nyawa sendiri dijadikan taruhan.

Kita percaya kesediaan mereka memikul tanggungjawab itu kerana masing-masing yakin dengan kemampuan pihak berkuasa, khususnya dalam soal pematuhan protokol keselamatan. Misi ke Wuhan bukan yang pertama digerakkan negara. Ketika pergolakan di Mesir pada 2011, operasi hampir sama, Ops Piramid, dilancarkan dengan 8,341 rakyat Malaysia dibawa keluar dari negara berkenaan. Cuma misi ke Wuhan lebih mencabar kerana risiko penyebaran virus sangat tinggi.

Sebahagian daripada 133 individu, masing-masing 107 rakyat Malaysia yang berdepan perintah berkurung di bandar raya dalam wilayah Hubei, enam pasukan petugas dan 20 anggota misi berkenaan yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Sebahagian daripada 133 individu, masing-masing 107 rakyat Malaysia yang berdepan perintah berkurung di bandar raya dalam wilayah Hubei, enam pasukan petugas dan 20 anggota misi berkenaan yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Namun ,tidak dinafikan ada yang khuatir dengan kepulangan kumpulan dari Wuhan itu. Yang pasti, kerajaan sudah ambil langkah sewajarnya untuk memastikan empat fasa protokol kesihatan dan keselamatan ketat benar-benar dipatuhi.

Bagi keluarga 107 rakyat Malaysia yang dibawa pulang itu pula, nasihat kita biarlah mereka patuhi prosedur keselamatan dan kuarantin sebaik mungkin. Jangan pula ada yang mendesak kerajaan melepaskan mereka lebih awal, sebelum benar-benar disahkan bebas jangkitan. Dalam situasi ini, penting meletakkan kepercayaan tinggi kepada pihak berkuasa, agar risiko penularan virus dapat dikekang.

Pulihara tarikan semula jadi, elak pupus

Sesuatu yang menyedihkan apabila keindahan dan keunikan Tasik Chini di Pahang semakin terjejas. Kenapa ia berlaku? Yang pasti satu antara punca adalah tindakan manusia sendiri.

Apa yang berlaku kepada Tasik Chini hanya sebahagian daripada kerosakan alam semesta. Banyak lagi tarikan berasaskan flora dan fauna menerima nasib hampir sama. Contohnya tarikan air terjun tidak diurus dengan baik atau terabai sehingga prasarananya rosak dan tercemar. Itu belum dikira hutan yang semakin mengecil dengan spesies terlindung juga semakin banyak yang pupus.

Pernahkah kita terfikir andai kata suatu hari nanti tiada lagi tarikan seperti Tasik Chini untuk anak kita kunjungi? Hari ini pun sudah banyak tasik buatan muncul untuk menggantikan tarikan sama yang semakin hilang.

Kita percaya dunia masih perlukan tarikan semula jadi, bukannya dibina manusia. Lihat sahaja Tasik Chini, sehingga hari ini pun masih ada yang mengunjunginya disebabkan legenda besar di sebalik namanya. Ia menjadi bukti tarikan sebegini sentiasa ‘laku’ pada mata pelancong. Apakah kita mahu terus menutup mata melihat keunikan ini sedikit demi sedikit hilang atas nama pembangunan?

Berita Harian X