Isnin, 16 Disember 2019 | 11:00am

Kawal, elak graduan 'pintu belakang'

Sebelum ini kita sudah dengar isu lambakan guru, doktor dan jurutera. Kini isu sama berjangkit pula kepada graduan pergigian. Jelas sekali isu ‘mismatch’ atau salah padan antara bekalan dan permintaan, masih menghantui graduan negara kita.

Kita percaya punca perlu dicari. Adakah institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dipersalahkan kerana tidak menawarkan pengajian sesuai untuk kerjaya masa depan. Atau mungkin pelajar dan ibu bapa yang salah kerana tidak memilih pengajian berdasarkan pasaran kerjaya masa depan.

Yang pasti, isu salah padan tidak boleh dipandang ringan. Kesannya amat buruk kepada negara kerana potensi anak muda tidak dapat dimaksimumkan. Lantas penyelesaian harus dicari dan salah satunya, pelajar dan ibu bapa harus diberi kesedaran mengenai prospek kerjaya masa depan.

Pada peringkat kerajaan pula, perlunya kawalan khususnya mengelak penghasilan graduan melalui kaedah ‘pintu belakang’ terutama di institusi luar negara. Kita tidak mahu isu salah padan ini terus-menerus berjangkit kerana akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak muda kita.

- Gambar hiasan/ihsan archive.unimas.my
- Gambar hiasan/ihsan archive.unimas.my

Intervensi tangani punca keciciran murid

Cadangan perluasan pelaksanaan pendidikan wajib sehingga peringkat menengah atas atau hingga Tingkatan Lima cukup baik. Namun apakah ia benar-benar mampu mengurangkan kadar keciciran pelajar, khususnya dalam keluarga miskin luar bandar serta bandar?

Kita percaya cadangan ini perlu diteliti pro dan kontranya. Dari sudut positif, memastikan pelajar di sekolah sekurang-kurangnya hingga Tingkatan Lima akan meningkatkan kadar literasi pendidikan. Ia sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk mengubah kedudukan ekonomi keluarga.

Namun menangani soal keciciran bukan semudah memastikan mereka kekal di sekolah. Kita percaya Kementerian Pendidikan sendiri sudah sedia maklum masalah serta punca utama isu keciciran ini berlaku. Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko juga pernah diwujudkan bagi membendung masalah keciciran murid. Namun sejauh mana ia dipatuhi atau disusuli?

Kita percaya langkah intervensi harus diberi keutamaan. Guru atau pegawai pendidikan pada peringkat daerah dan negeri harus ambil peranan berdepan murid yang berisiko cicir. Kita yakin selagi punca keciciran tidak ditangani, selagi itulah isu ini akan terus berlaku.

Berita Harian X