Rabu, 6 November 2019 | 11:00am

Utamakan alam sekitar berbanding FDI

Malaysia harus tegas untuk tidak akur kepada tuntutan Australia yang mengharapkan Kuala Lumpur dapat menarik balik syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Benar Lynas adalah syarikat Australia dan membuat pelaburan besar di Malaysia tetapi pada masa sama, kepentingan kita untuk menjaga alam sekitar negara juga harus mendapat keutamaan dan perkara ini tidak boleh kita bertolak ansur.

Begitu pun, dalam keadaan ekonomi global kurang memberangsangkan, ditambah pula oleh perang dagang berterusan antara dua gergasi ekonomi dunia, Malaysia sudah semestinya mengharapkan pelaburan langsung asing (FDI).

Apa pun, antara kepentingan negara perlu diberi keutamaan daripada semata-mata mahu mengejar FDI. Kita percaya, kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan tahu apa yang perlu dibuat demi kepentingan rakyat.

Cari jalan terbaik tetap harga sawit

Kita mengalu-alukan cadangan untuk memperkenalkan harga lantai bagi sawit sebagai langkah membantu pekebun kecil serta peneroka FELDA yang terkesan dengan harga komoditi itu. Namun, mekanisme untuk berbuat demikian harus dicari.

Misalnya, kenakan cukai tertentu kepada industri sawit untuk menampung perbelanjaan melaksanakan harga lantai. Ini penting dalam keadaan harga komoditi itu tidak stabil di pasaran antarabangsa, dihambat oleh oleh kempen anti minyak sawit di Eropah.

Sudah pasti jika harga lantai dilaksanakan, golongan pekebun kecil dan peneroka akan memperoleh pendapatan yang selesa terutama bagi mereka yang tidak mengusahakan tanaman kontan lain, dengan hanya mengusahakan ladang sawit.

Bagaimanapun, kajian lanjut perlu dilakukan dalam hal ini kerana perlu mengambil kira harga yang sesuai dan pada masa sama, kemampuan kewangan kerajaan.

Berita Harian X